CRIT Esports telah mengumumkan yang kejohanan esukan yang memfokuskan pelajar-pelajar universiti iaitu ACS EDU Tour kembali lagi tahun ini untuk musim ketiga. Kejohanan ini akan menyertakan hadiah terkumpul RM200,000 dan melibatkan lebih 6,400 pelajar dari 100 universiti dari 16 kawasan seluruh Malaysia.

Mereka juga mengesahkan yang permainan PUBG Mobile akan dipertandingkan bagi kejohanan ini.

Kejohanan ini akan dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu ‘Kelayakan Universiti’, Majors dan Peringkat Akhir.

  • Kelayakan Universiti – berlangsung pada bulan Jun sehingga Oktober. Mereka akan bertanding untuk menjadi salah satu daripada 16 pasukan yang akan mewakili kawasan untuk ke Majors.
  • Majors – 16 pasukan dari setiap kawasan akan bertempur sesama mereka untuk menjadi satu wakil mewakili kawasan mereka ke Peringkat Akhir.
  • Peringkat Akhir – 1 pasukan dari setiap kawasan akan bertanding dengan kawasan lain untuk menjadi juara keseluruhan bagi kejohanan ini.

Bagi musim ketiga ini, CRIT Esports telah bekerjasama dengan Unifi TV yang akan menjadi penyiar rasmi dan kejohanan ini boleh ditonton secara eksklusif melalui saluran baharu iaitu Unifi eSports (Saluran 702).

Selain itu, ZTE juga diumumkan sebagai penyedia telefon rasmi iaitu Nubia Neo 2 5G, selain itu mereka juga melancarkan kempen derma Scream for Charity Campaign dengan setiap derma sekurang-kurangnya RM1, penderma akan diberikan tiket cabutan bertuah.

Bagi menggalakkan penglibatan wanita di dalam esukan, acara ini juga bekerjasama dengan SAFI dengan jika pasukan wanita memenangi kejohanan ini, mereka juga akan membawa pasukan tersebut untuk menonton PUBG Mobile Global Championship (PMGC) yang akan berlangsung di London.

Anda boleh layari laman rasmi ACS Edu Tour untuk maklumat lanjut termasuk juga cara pendaftaran.

Sohor Kini