Kingdom of the Planet of the Apes sangat berjaya untuk membuang perasaan saya mengenai ini sekadar filem untuk meneruskan kutipan di box office menggunakan IP yang tersedia, sebaliknya filem berani untuk membawa satu penceritaan yang baharu dan pada masa yang sama masih memberikan ‘hadiah’ bagi yang sudah mengikuti siri filem ini, terutama untuk siri olahan semula yang bermula dengan Rise of the Planet of the Apes dan berakhir dengan War for the Planet of the Apes yang ditayangkan 7 tahun yang lepas.
Filem ini berlaku 300 tahun selepas kejadian di dalam War for the Planet of the Apes dan tidak lagi digerakkan oleh Caesar yang menjadi pendorong utama untuk trilogi yang lepas, walaupun begitu, nama Caesar masih dipetik terutama melalui watak antagonis utama untuk filem ini iaitu Proximus Caesar yang menjadi ketua untuk satu kerajaan mawas, dia menjadikan nama Caesar sebagai cara untuk mengawal mawas-mawas lain dengan mengatakan dia membawa kata-kata Caesar yang merupakan pemula kepada puak mawas.
Tiadanya Caesar, filem ini memerlukan satu sauh yang baharu untuk menggerakkan penceritaan dan saya sangat gembira kerana filem ini berjaya untuk hadir dengan watak bernama Noa lakonan Owen Teague. Noa merupakan seekor cimpanzi yang sebahagian daripada satu puak ‘Eagle Bearer’ kerana setiap orang dewasa di dalam puak tersebut akan mempunyai seekor burung helang peliharaan sendiri. Namun, selepas puak dia diserang oleh puak Proximus Caesar dia memulakan perjalanannya untuk membalas dendam dan juga menyelamatkan puaknya yang diculik.
Di dalam perjalanan tersebut, dia terserempak dengan Raka iaitu seekor orang utan yang membawa ‘ajaran’ sebenar Caesar. Melalui pengetahuan yang dimiliki oleh Raka, Noa mula mengenali mengenai Caesar yang mati 300 tahun lepas, selain itu mereka juga berjumpa dengan seorang manusia lakonan Freya Allan yang digelar sebagai Mae. Dia mengikuti Noa dari kampungnya lagi, di atas permintaan Raka dengan mengatakan yang Caesar hidup bersama dengan manusia, Noa juga membiarkan Mae untuk mengikuti mereka.
Seperti yang kita ketahui daripada filem yang lepas, Simian Flu telah mengakibatkan manusia hilang keupayaan untuk bercakap dan 300 tahun kemudian di dalam filem ini, manusia menjadi satu puak kuno yang tidak mempunyai suara dan hidup bagaikan haiwan, pada awalnya, Mae dianggap sebegitu, tetapi kemudian berlaku kejadian semasa dia cuba melarikan diri daripada puak Proximus Caesar, yang dia mempunyai suara dan memanggil Noa membuatkan Noa menyedari yang Mae mungkin mempunyai rahsia sendiri.
Filem ini berjaya untuk menggantikan watak Caesar melalui Noa dengan menjadikannya satu watak yang seperti Caesar pada awalnya masih belajar mengenai makna kehidupan mereka dan bagaimana ingin untuk mengemudi kehidupannya selepas melihat pelbagai perkara yang berbeza di dalam pengembaraannya. Pada masa yang sama, filem ini juga menjadikan Noa sebagai satu watak yang tahu yang mempunyai hati yang baik terutama terhadap keluarga dan rakan-rakannya tetapi pada masa mempunyai keazaman untuk mendapatkan apa yang dia inginkan, seperti diperlihatkan di adegan pertama filem ini lagi.
Dengan memfokuskan kepada keganasan puak Proximus Caesar dan juga Noa yang cuba untuk menyelamatkan puaknya, menjadi filem ini tidak membosankan dengan sentiasa terisi dengan aksi dan juga perkara yang serba sedikit mendedahkan keadaan dunia pada waktu itu. Aksi-aksi dilakukan dengan baik, CGI serta rekaan dunia adalah sebaik filem-filem sebelum ini, tetapi dengan CGI dengan kualiti yang lebih baik. Dengan kebanyakan watak pada waktu ini sudah boleh bercakap, penyampaian penceritaan adalah lebih baik berbanding lebih bergantung harap kepada bahasa isyarat sebelum ini terutama dengan lakonan baik oleh kesemua watak.
Selain daripada kisah mengenai Proximus Caesar melawan dengan Noa, Kingdom of the Planet of the Apes juga menyertakan penceritaan mengenai manusia melalui watak Mae dan ia dilakukan dengan baik dan menarik. Jika tiga filem lepas, manusia digambarkan sebagai satu spesis yang sering melakukan kerosakan, tetapi melalui watak Mae, ia disampaikan dengan lebih positif, seperti Noa dan Proximus Caesar sendiri, manusia juga ingin terus hidup di dalam dunia ini dan mereka juga akan terus berusaha untuk mendapat hak tersebut. Ia memberikan satu dimensi baharu di dalam penceritaan tetapi juga menyertakan beberapa persoalan yang harap terjawab dengan filem susulan yang saya harap sudah di dalam perancangan.
Perlu ataupun tidak tonton filem-filem sebelum ini? Saya boleh katakan ia akan menjadi lebih menarik jika anda sekurang-kurangnya mengetahui mengenai watak Caesar, yang walaupun tidak lagi muncul di dalam filem ini, kerana sudah 300 tahun berlalu, akan tetapi jiwanya masih diperlihatkan di dalam filem ini yang memberi perasaan yang mungkin tidak akan terasa bagi yang tidak mengetahui ataupun tidak ingat mengenainya.
Akhir kata, Kingdom of the Planet of the Apes bukanlah satu filem yang cashgrab semata-mata, tetapi ia menyertakan satu permulaan penceritaan yang menarik dan saya berharap akan diteruskan untuk sekurang-kurangnya satu trilogi baharu. Walaupun Caesar sudah tiada, tetapi watak Noa diperkenalkan untuk meneruskan jiwa bagi filem ini, tambahan watak manusia seperti Mae juga membantu untuk membawa dimensi tambahan kepada penceritaan dan watak antagonis iaitu Proximus Caesar juga dilakukan dengan memuaskan.
Kingdom of the Planet of the Apes mula ditayangkan pada 9 Mei 2024.