Skip to main content

The Sympathizer iaitu siri terbaru di HBO Go yang merupakan adaptasi kepada novel berjudul sama oleh Viet Thanh Nugyen. Siri ini memfokuskan kepada kejadian semasa peperangan Vietnam dan juga selepas kejatuhan Vietnam Selatan dan kekalahan Amerika Syarikat d perang tersebut. Penceritaan disampaikan dengan memfokuskan kepada satu watak iaitu “Captain”. Captain mempunyai pelbagai ‘wajah’ ataupun perwatakan, dia bukan sahaja polis rahsia untuk Vietnam Selatan tetapi juga merupakan perisik kepada Vietnam Utara. Selain ingin melihat Vietnam Utara memerintah Vietnam dia juga sering melakukan tugasan yang diberikan oleh The General iaitu ketua tentera untuk Vietnam Selatan dan Claude iaitu ejen CIA, tambahan pada itu, dia juga berdarah kacukan Vietnam dan Perancis.

Konflik personaliti ini menjadi premis utama untuk siri ini, yang menjadi lebih rumit selepas kejatuhan Saigon iaitu ibu negara untuk Vietnam Selatan ke tangan Vietnam Utara, berbanding dapat meraikan kejayaan tersebut, dia sebaliknya diminta oleh Man iaitu sahabatnya dari kecil yang juga perisik bagi Vietnam Utara untuk menjadi pelarian ke Amerika Syarikat agar dia dapat terus memastikan General tidak merancang untuk kembali merampas Vietnam. Dia ke Amerika Syarikat bersama dengan Bon seorang lagi sahabat baiknya yang juga merupakan tentera untuk Vietnam Selatan yang kehilangan anak dan isterinya semasa di dalam pelarian.

Di Amerika Syarikat, Captain meneruskan tugasnya sebagai perisik dan menghantar laporan-laporan terbaru mengenai General kepada Vietnam tetapi lama-kelamaan dia menjadi semakin keliru mengenai tugasannya dan juga kesetiaannya. Dia juga mula mengalami konflik identiti mengenai siapa dirinya sebenar dan mula tidak yakin dengan apa yang dilakukan oleh dirinya sendiri, selain daripada itu terpaksa menghadapi sikap perkauman di Amerika Syarikat. Siri ini melakukan percubaan yang baik untuk menyampaikan kisah ini dengan memastikan saya memahami mengenai konflik yang sedang berlaku akan tetapi ada masa saya merasakan struktur penceritaan agak sukar untuk diikuti, satu-satunya yang membantu saya untuk mengisi sesetengah bahagian adalah kerana saya mengetahui penceritaan daripada buku. Bagi yang menonton tanpa sebarang pengetahuan mengenainya mungkin akan menjadi sedikit mengelirukan.

Ini ditambah lagi, hanya di episod terakhir segala perkara yang berlaku mula dijelaskan akan tetapi bagi saya ia sedikit terlalu lambat dan menjadikan impaknya kurang menjadi. Siri ini disampaikan secara imbas kembali oleh Captain yang menceritakan semula apa yang berlaku di dalam hidupnya (atas sebab tertentu) oleh itu penceritaan berlaku dengan tidak secara linear, ia akan melompat kedepan, kebelakang yang bagi saya tiada masalah kerana ia adalah berdasarkan plot yang sedang disampaikan. Namun, saya merasakan struktur penceritaan boleh dilakukan dengan lebih baik untuk menjadikan saya sebagai penonton sekurang-kurangnya boleh dengan lebih jelas mengetahui apa yang sedang berlaku.

Walaupun kecelaruan penceritaan dan juga struktur ini memberi kesan kepada pengalaman tontonan saya, akan tetapi saya tidak boleh menyalahkan mana-mana pelakon di dalamnya seperti Hoa Xuande sebagai Captain yang membawa wataknya dengan sangat baik sekali, dia benar-benar menjiwai watak yang keliru dengan apa yang sedang dilakukannya dan juga keliru dengan apa yang sepatutnya dia buat dengan apa yang harus dia buat. Selain itu, Robert Downey Jr. membawa beberapa watak berlainan di dalam siri ini dan setiap watak yang dibawanya dilakukan dengan sangat berkesan, mengingatkan saya bukan kepada Tony Stark tetapi Kirk Lazarus di dalam filem Trophic Thunder. Robert Downey Jr. membawa beberapa watak bukan sekadar pilihan kreatif sebaliknya ia merupakan bahagian penting untuk plot penceritaan dan juga perwatakan Captain.

Sebagai satu filem komedi, penceritaan The Sympathizer disampaikan dengan lebih ringan akan tetapi masih memperlihatkan dengan jelas kekejaman peperangan dan juga perkara-perkara yang tidak baik perlu dilakukan oleh Captain untuk tugasannya. Gabungan komedi dan perkara ini, bersesuaian dengan konflik yang dialami oleh Captain dengan dia ada masanya seorang yang tenang, dan mempunyai pemikiran tersendiri tetapi ada masa menjadi seorang yang bertentangan. Bahagian komedi ini juga membantu untuk menjadikan sesetengah bahagian menjadi lebih menarik, contohnya semasa Captain diupah untuk membantu pengarah filem menghasilkan filem mengenai peperangan Vietnam. Bahagian komedi membolehkan penglibatan lebih ramai watak dengan perwatakan yang pelbagai tanpa membuatkan ia terasa janggal.

Akhir kata, The Sympathizer merupakan satu siri yang mempunyai bahagian yang seronok untuk ditonton terutama dengan ia juga disampaikan dengan elemen komedi akan tetapi pada masa sama, masih memperlihatkan dengan jelas mengenai kesan peperangan, terutama perang Vietnam yang menjadi subjek utama, sifat perkauman terhadap orang Asia di Amerika Syarikat, kesetiaan kepada negara dan juga sahabat. Namun, permasalahan penyampaian dan juga penstrukturan penceritaan menjadikan siri ini sedikit bercelaru dan kurang menjadi untuk menterjemahkan kisah dan juga mesej utama buku The Sympathizer dalam bentuk siri TV.

The Sympathizer mempunyai 7 episod dan akan mula disiarkan di HBO Go pada 15 April 2024 secara mingguan.

The Sympathizer
Siri yang berlatar belakangkan perang Vietnam membawa kisah 'Captain' yang keliru dengan identitinya sebagai perisik untuk pelbagai pihak, dan juga keliru dengan dirinya sendiri. Elemen komedi menjadikan filem ini menarik tetapi struktur penceritaan yang kurang baik, sedikit mengganggu mesej yang cuba disampaikan.
Positif
Lakonan yang berkualiti terutama Hoa Xuande Dan Robert Downey Jr.
Pembawaan yang baik untuk pelbagai masalah
Elemen komedi yang baik
Negatif
Struktur penceritaan yang kurang kemas dan mengelirukan
Terlalu bergantung kepada penjelasan di bahagian akhir penceritaan
8

Leave a Reply