Godzilla x Kong: The New Empire hadir 3 tahun selepas Godzilla vs. Kong, oleh itu filem ini mempunyai satu tugasan yang penting iaitu memastikan penampilan Godzilla dan Kong kali ini membawa magis yang sama dengan sebelum ini, ataupun lebih baik dan saya boleh katakan filem ini berjaya melakukannya tetapi tidak secara sepenuhnya. Penampilan Godzilla dan Kong dibina dengan baik, sebab mengapa mereka berdua kembali perlu “bersama” juga dilakukan dengan memuaskan akan tetapi filem ini sedikit mengecewakan di bahagian yang penting iaitu kemeriahan pertempuran di antara titan-titan itu sendiri.

Saya tidak pasti kejadian di dalam filem ini beberapa tahun selepas Godzilla x Kong, namun diperlihatkan yang selepas pertempuran dengan Kong serta Mechagodzilla, Godzilla sudah beberapa kali membuat kemunculan di bumi, manakala Kong masih lagi berada di Hollow Earth yang menjadi rumah baharunya, namun Monarch mula menyedari terdapat isyarat misteri yang dikeluarkan oleh Hollow Earth yang turut menarik perhatian Godzilla. Mendengar isyarat tersebut, Godzilla bagaikan membuat persediaan dengan menjadi menyerap pelbagai kuasa. Manakala Kong pula, mula menyedari yang dia bukan satu-satunya gorila di Hollow Earth.
Dengan pelbagai misteri ini, Monarch juga mula menyiasat mengenai apa yang berlaku dan berbanding filem Godzilla vs. Kong sebelum ini, penglibatan manusia dan juga Monorach terasa lebih baik walaupun pada permulaan masih terasa janggal terutama dengan pengenalan beberapa watak baharu. Rebecca Hall dan Brian Tyree Henry kembali membawa watak mereka iaitu Dr. Ilene Andrews dan Bernie Hayes, selain itu Kaylee Hottle kembali membawa watak Jia membawa watak masing-masing dengan memuaskan, Dan Stevens yang membawa watak baharu iaitu Trapper menjadi seorang lagi comic relief bersama dengan Bernie Hayes, jika tidak kerana wataknya agak penting di dalam penceritaan ini, saya boleh katakan penambahan watak tersebut tidak sangat diperlukan.

Misteri filem ini disampaikan dengan mencukupi, ia tidak terasa unik ataupun sukar untuk dijangka, sebaliknya lebih banyak melakukan perkara yang sama dengan seperti sebelum ini iaitu mereka menjumpai sesuatu yang secara mudahnya menyelesaikan kesemua misteri ini, ia masih menarik tetapi bagi menjadi misteri utama untuk filem ini, ia terasa sedikit mengecewakan. Agak menarik apabila ia didedahkan, tetapi pada masa yang sama saya juga berkata kepada diri sendiri, itu sahaja? Selain itu, penglibatan Monarch juga terasa sedikit janggal, mereka cuba menjadikannya sebagai organisasi yang mengetahui mengenai titan ini, akan tetapi di dalam filem ini, mereka terasa kecil dan bukan organisasi besar selain daripada semasa memakaikan tangan baharu di Kong. Selepas menonton siri Monarch di Apple TV+, saya lebih berharap penglibatan mereka dilakukan dengan lebih baik.
Walau bagaimanapun kesemua perkara di atas merupakan sampingan sahaja untuk filem ini, pertempuran di antara titan seperti Godzilla dan Kong merupakan fokus utama sekurang-kurangnya untuk saya. Oleh itu, saya sedikit kecewa kerana kebanyakan pertempuran di dalam filem ini terasa terlalu ringkas dan tidak dapat mengulangi seperti apa yang berlaku di dalam filem sebelum ini, pembinaan sudah cukup baik, dengan Godzilla memperkasakan dirinya, manakala Kong pula menyiasat mengenai hadirnya gorila lain, akan tetapi apabila mencapai klimaks pertempuran terakhir, tanpa saya sedari ia sudah berakhir. Tambah mengecewakan, CGI serta pertempuran itu sendiri dilakukan dengan sangat baik dan saya menyukai setiap minit daripadanya tetapi mengecewakan kerana ia terlalu ringkas dan ada pertempuran yang sekadar memperlihatkan kesan sahaja tanpa sebarang pertempuran diperlihatkan.

Akhir kata, Godzilla x Kong: The New Empire berjaya memberi sebab ataupun premis yang baik untuk sekali lagi membawa Godzilla bersama dengan Kong di dalam satu filem, pembinaan serta misteri dilakukan dengan baik tetapi penyelesaiannya sedikit mengecewakan kerana pertempuran-pertempuran titan ataupun gergasi terasa berakhir terlalu cepat sebelum ia menjadi lebih menarik. Bagi yang sekadar ingin melihat Godzilla dan Kong, filem ini masih cukup menarik tetapi tidak boleh berharap untuk menjadi lebih daripada itu. Saya boleh katakan yang MonsterVerse masih tidak mempunyai filem yang boleh dianggap sebagai “Endgame”.
Godzilla x Kong: The New Empire mula ditayangkan pada 28 Mac 2024