Skip to main content

Bagi saya, perkara yang akan menentukan kandungan berdasarkan sejarah baik ataupun tidak, pertamanya saya akan melihat jika kandungan tersebut membuatkan saya tertarik dengan sejarah yang menjadi sumber, tanpa mengambil kira jika kandungan itu benar-benar mengikut sejarah ataupun sekadar dongeng semata-mata. Shogun siri terbaru yang tiba di Disney+ Hotstar sangat berjaya di dalam perkara ini, ia membuatkan saya terus berminat untuk mengetahui lanjut mengenai sejarah Shogun di Jepun, melalui penyampaian penceritaan dan juga perwatakan yang berkualiti tinggi menjadikannya satu siri yang wajib ditonton oleh semua. Shogun merupakan siri yang dihasilkan oleh Rachel Kondo dan Justin Marks berdasarkan novel berjudul sama oleh James Clavell yang dilancarkan pada tahun 1975. Ini juga bukan adaptasi pertama, dengan sebelum ini ia juga telah menerima siri TV pada tahun 1980.

Shogun memfokuskan kepada tiga watak utama iaitu Lord Yoshii Toranaga lakonan Hiroyuki Sanada yang merupakan sebahagian daripada Regent yang memerintah Jepun pada waktu itu sementara menunggu putera cukup umur, akan tetapi dia telah disingkirkan daripada jawatan tersebut selepas dituduh ingin merampas kuasa pemerintahan. John Blackthorne lakonan Cosmo Jarvis merupakan pelayar dari Britain yang terdampar di Jepun di dalam misinya untuk melawan Portugal. Selepas disingkirkan, Yoshii Toranaga telah meminta bantuan John Blackthorne untuk melatih tentera samurai agar dapat bersedia untuk melawan dengan Regent lain. Oleh kerana John Blackthorne tidak berbahasa Jepun, Yoshii Toranaga telah meminta mengarah Toda Mariko lakonan Anna Sawai untuk menjadi penterjemah yang juga watak utama seterusnya bagi siri ini.

Ketiga-tiga watak ini membawa watak mereka dengan sangat baik sekali, dengan Yoshii Toranaga seorang pemerintah yang sangat licik, manakala John Blackthorne pula seorang yang terus bersifat seperti diri sendiri walaupun dikelilingi oleh orang asing manakala Toda Mariko walaupun sekadar mengikut arahan untuk kebanyakan perkara tetapi pada masa sama mempunyai pemikiran dan persepsi sendiri yang terus dihormati oleh Yoshii Toranaga dan juga John Blackthorne. Perhubungan di antara ketiga-tiga watak ini menjadi perkara utama yang menggerakkan penceritaan Shogun tetapi pada masa yang sama watak-watak lain juga di sertakan dengan cukup sempurna memberi drama politik yang sangat menarik untuk diikuti. Siri ini berjaya untuk membawa kerumitan politik di Jepun pada waktu itu dengan pelbagai jawatan serta orang yang terlibat dalam bentuk yang bukan sahaja mudah untuk diikuti tetapi juga menarik.

Perkara yang paling berjaya mengenai siri ini adalah sukar untuk menjangkakan apakah perancangan oleh mana-mana pihak, contohnya Yoshii Toranaga sentiasa membuat perancangan akan tetapi ia bukan sahaja disorok daripada watak-watak lain tetapi juga saya sendiri sebagai penonton. Apabila rancangan tersebut berlaku ia akan memberi kejutan kepada semua, dan memberi pengalaman tontonan yang baik berbanding penonton sudah mengetahui apa yang berlaku lebih awal dan sekadar melihat watak-watak lain terkejut dengan perkara tersebut. Sedikit kekurangan bagi saya untuk siri ini adalah perhubungan di antara John Blackthorne dan Toda Mariko ada masa terasa terlalu panjang yang membawa kepada beberapa interaksi yang kurang menarik, tetapi perhubungan mereka berkembang selepas itu yang menjadi ia lebih menarik dan penting di dalam penceritaan.

Akhir kata, Shogun adalah satu siri drama politik yang sangat berjaya di dalam penghasilannya. Setiap episod mempunyai sesuatu yang menarik, tidak kira mengenai politik ataupun perkembangan perhubungan di antara watak. Selain perebutan kuasa pemerintahan Jepun, penglibatan peperangan agama di antara Katolik dan Protestan, dan juga peranan wanita di dalam politik Jepun disampaikan dengan berkesan memberikan pelbagai lapisan penceritaan untuk Shogun. Jika anda ternanti-nanti siri seterusnya seperti Game of Thrones, Shogun adalah satu alternatif yang sangat berbeza akan tetapi pada masa sama memberi kepuasan yang sama di dalam penceritaanya.

Shogun sudah boleh ditonton di Disney+ Hotstar

Shogun
Shogun adalah satu siri drama politik yang sangat berjaya di dalam penghasilannya. Setiap episod mempunyai sesuatu yang menarik dengan pelbagai lapisan, tidak kira mengenai politik, agama ataupun perkembangan perhubungan di antara watak.
Positif
Drama politik yang menarik
Lakonan yang baik oleh semua watak
Produksi yang berkualiti tinggi
Negatif
Perhubunga di antara beberapa watak utama mengambil sedikit masa untuk berkesan
10

Leave a Reply

Final Score