Skip to main content

Argylle sebagai satu filem perisikan telah melakukan satu dosa besar iaitu bahagian permulaan dan pertengahan gagal untuk membina filem ini dengan baik, apabila bahagian akhir menjadi lebih menarik ia terasa terlalu lambat dan gagal untuk menjadikan satu filem yang akan diingatkan oleh saya apabila keluar dari pawagam. Matthew Vaughn sebagai pengarah untuk filem ini, gagal untuk membawa impak pembukaan seperti filem-filem beliau sebelum ini seperti Kingsman. Namun, dengan ia juga adalah satu filem komedi, dengan senarai pelakon yang baik, Argylle masih lagi filem yang seronok untuk ditonton tetapi jangan berharap sesuatu yang lebih daripada itu.

Filem ini adalah mengenai Elly Conway lakonan Bryce Dallas Howard iaitu seorang penulis buku novel genre perisikan iaitu mengenai Aubrey Argylle yang dilakonan oleh Henry Cavill (secara imaginasi). Semasa di dalam perjalanan untuk melawat ibu bapanya, Elly Conway telah diberitahu oleh Aidan lakonan Sam Rockwell iaitu seorang perisik sebenar mengenai dia menjadi sasaran satu organisasi yang digelar ‘Division’ kerana novel yang ditulisnya benar-benar terjadi di dunia sebenar. Namun, selepas Elly Conway bersama dengan Aidan dia menyedari penglibatannya adalah lebih lagi daripada sekadar penulis buku novel.

Masalah utama untuk permulaan bagi filem ini adalah penyampaian-nya yang bercelaru, saya faham ia disampaikan sebegitu kerana untuk menggambarkan mengenai pemikiran Elly Conway yang keliru dengan segala yang berlaku, tetapi saya merasakan ia boleh dilakukan dengan lebih baik. Tambahan pada itu, keadaan yang mengelirukan ini juga telah memberi kesan kepada aksi-aksi pada permulaan, saya tidak merasakan ia seronok untuk ditonton walaupun ada beberapa aksi menarik yang diperlihatkan. Bagi saya, ia adalah perkara yang sedikit mengecewakan.

Perkara ini juga memberi kesan kepada pembinaan watak untuk Elly Conway, Aidan dan watak-watak lain terutama daripada Division, sepanjang bahagian awal ini saya kurang berminat untuk mengetahui mengenai mereka, yang bagi saya adalah satu peluang yang terlepas kerana selepas kesemua ‘plot twist’ didedahkan, penceritaan menjadi lebih lancar dan penyampaian juga menjadi lebih kemas dan pengalaman tontonan secara langsungnya menjadi lebih menarik. Watak-watak yang hadir juga kini lebih menyerlah dan diberikan ruang yang mencukupi untuk membawa watak mereka tanpa sebarang gangguan.

Namun, dengan bahagian yang baik ini boleh dikatakan di bahagian akhir sahaja, ia tidak berjaya untuk mengangkat filem ini menjadi lebih baik kerana perasaan bosan saya semasa bahagian pertama terus terasa sehingga kredit berakhir, filem ini mempunyai adegan pasca-kredit, oleh itu pastikan anda nantikannya walaupun mungkin ingin cepat-cepat keluar kerana kecewa dengan filem ini. Saya berpendapat yang jika mereka memendekkan bahagian pengenalan filem ini, dan lebih memfokuskan kepada bahagian yang lebih menarik, ia akan menjadi satu filem yang lebih mudah untuk disukai.

Argylle mempunyai plot twist yang baik sebagai satu filem perisikan yang juga menjadi penyebab mengapa bahagian akhir lebih menarik kerana pendedahan untuk segala twist-twist tersebut, ia bukanlah mendalam ataupun terlalu tersembunyi, kerana saya sudah boleh jangkakan pertengahan filem lagi, akan tetapi pendedahan dilakukan dengan baik untuk saya menerimanya dan juga merasa berpuas hati walaupun ia sekadar mengesahkan teori saya.

Adegan aksi dilakukan dengan baik, dengan melibatkan beberapa pelakon aksi seperti Henry Cavill, John Cena dan juga Bryce Dallas Howard sendiri. Bagi yang menyukai aksi-aksi di dalam filem Kingsman, Argylle boleh dikatakan membawa gaya yang sama yang untuk saya sudah mencukupi untuk menjadi lebih menarik dan tidak membosankan kerana filem ini tidak takut untuk memberikan aksi yang tidak masuk akal, namun sedikit terganggu pengalaman menonton kerana CGI serta kesan visual yang kurang meyakinkan.

Kesimpulannya, Argylle mempunyai premis yang baik untuk menjadi satu filem perisikan komedi yang baik akan tetapi sebahagian besar filem ini disampaikan dengan kurang kemas, dan bercelaru yang gagal untuk memberi pengalaman tontonan yang baik. Bahagian akhir, selepas segala plot twist didedahkan, penyampaian menjadi lebih ringkas dan secara langsung menjadikannya lebih kemas, tetapi sedikit terlalu lambat.

Penafian: Tayangan untuk Argylle disediakan oleh United International Pictures bagi tujuan ulasan ini. Filem ini sudah mula ditayangkan.

Argylle
Argylle mempunyai premis yang baik untuk menjadi satu filem perisikan komedi yang baik akan tetapi sebahagian besar filem ini disampaikan dengan kurang kemas, dan bercelaru yang gagal untuk memberi pengalaman tontonan yang baik. Bahagian akhir, selepas segala plot twist didedahkan, penyampaian menjadi lebih ringkas dan secara langsung menjadikannya lebih kemas, tetapi sedikit terlalu lambat.
Positif
Aksi Yang Menarik
Plot Twist Disampaikan Dengan Baik
Negatif
Bahagian Awal Bercelaru Dan Membosankan
Tiada Watak Yang Berkembang Dengan Baik
CGI Kurang Baik
6

Leave a Reply

Final Score