Ulasan Yu Yu Hakusho (2023)

Yu Yu Hakusho adalah siri manga/anime yang boleh dikatakan sebagai klasik dan telah menjadi inspirasi untuk pelbagai siri-siri yang terbaru yang menyertakan pelbagai elemen menarik dan memfokuskan kepada aksi-aksi pertempuran yang menarik, bersama dengan kisah perlawanan di antara manusia dan makhluk ghaib ataupun digelar sebagai Yotai di dalam siri ini. Melalui adaptasi siri aksi nyata oleh Netflix, saya boleh katakan mereka melakukan satu penghasilan yang baik untuk menghasilkan replika pertempuran daripada manga ataupun anime, tetapi dengan penceritaan yang lebih dipadatkan dan saya boleh katakan lebih kompak tetapi masih lagi satu tontonan yang menarik.

Jika anda mengikut siri manga ataupun tonton siri anime yang juga tersedia di Netflix, ada beberapa perkara yang anda perlu tahu. Siri aksi nyata ini telah membuang kebanyakan bahagian di dalam membina watak Yusuke, ia masih mengekalkan perkara asas seperti bagaimana dia mati, selain daripada itu, seperti bagaimana dia menjadi “detektif”, bagaimana dia berlatih dengan Genkai, bagaimana dia bertemu dengan Hiei, Kurama, dan Gouki, dan juga bagaimana ‘Dark Tournament’ kesemua perkara ini diringkaskan dan sekadar memperlihatkan secara permukaan sahaja. Ia adalah sedikit mengecewakan kerana terdapat pelbagai adegan yang menarik di bahagian-bahagian tersebut, tetapi pada masa sama saya juga faham mengapa mereka melakukannya. Ia adalah untuk menjadikan siri aksi nyata ini sekadar pengenalan sahaja kepada siri Yu Yu Hakusho, tanpa menyampaikan-nya dengan terlalu mendalam.

Bagi anda yang tidak pernah mengikut Yu Yu Hakusho, siri ini adalah mengenai watak utama Yusuke yang juga merupakan seorang pelajar yang bermasalah tetapi mempunyai hati yang baik. Semasa dia cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada dilanggar, dia telah terbunuh yang membawanya berjumpa dengan anak kepada raja alam barzakh, Koenma. Koenma kemudian memberi peluang kepada Yusuke untuk kembali hidup tetapi dengan syarat dia mesti menjadi detektif untuk menyiasat kejadian-kejadian aneh yang berlaku di dunia manusia. Yusuke bersetuju dan mula menyiasat mengenai kejadian aneh yang berlaku, dia juga menerima kuasa spirit yang digunakan olehnya untuk melawan dengan Yokai.

Secara umumnya saya boleh katakan penceritaan yang disertakan adalah memuaskan tidak kira jika anda mengikuti siri ini, ataupun masih baharu. Walaupun diringkaskan, ia masih mempunyai beberapa elemen yang menjadikannya menarik. Pelakon-pelakon untuk beberapa watak utama seperti Yusuke yang dilakonkan oleh Takumi Kitamura, Kurama dilakonkan oleh Jun Shison, Hiei yang dilakonkan oleh Kanata Hongo dan Kazuma yang dibawa oleh Shuhei Uesugi, kesemua mereka membawa watak tersebut dengan baik. Bagi saya perhubungan di antara watak utama adalah penting di dalam pergerakan penceritaan, dan siri ini melakukan perkara ini dengan memuaskan. Ia tidaklah sebaik seperti karya asal, tetapi saya masih menyukai perhubungan di antara mereka. Selain watak utama, siri ini juga dibantu oleh watak-watak lain, termasuk juga watak jahat yang turut membawa watak-watak mereka dengan baik.

Selain itu, seperkara yang baik lagi, membuatkan saya menyukai siri ini adalah pertempuran di dalamnya dilakukan dengan baik, koreografi perlawanan sangat menarik dan bagaimana mereka menyampaikannya juga kelihatan kemas, termasuk juga semasa melakukan pelbagai kuasa. CGI di dalam siri ini bukanlah yang terbaik, tetapi saya boleh katakan ia adalah efektif, contohnya watak Toguro iaitu watak jahat yang boleh membesarkan badannya, ia diperlihatkan dengan baik dan saya boleh katakan ia kelihatan meyakinkan dan tidak kelihatan janggal. Bercakap mengenai janggal, satu perkara yang saya boleh katakan sedikit janggal adalah Yu Yu Hakusho merupakan siri yang dikeluarkan pada tahun 90-an, pemakaian yang digunakan adalah bersesuaian pada waktu itu, manakala siri ini mengekalkan pakaian tetapi berlaku di waktu sekarang, oleh itu saya boleh katakan ia kelihatan sedikit out of place. Namun, saya masih menyukai mereka mengekalkannya kerana ia adalah ikonik.

Akhir kata, siri aksi nyata Yu Yu Hakusho meringkaskan banyak bahagian daripada penceritaan asal siri ini, ia adalah untuk menjadikannya lebih kompak. Walaupun, ia akan mengecewakan ramai peminat kerana tiadanya beberapa adegan, tetapi secara keseluruhannya ia masih lagi satu kisah yang menarik dan tidak membosankan. Ini ditambah lagi dengan lakonan, perwatakan dan pertempuran dilakukan dengan sangat baik. Ia bukanlah satu kandungan terbaik bagi siri ini, tetapi bagi peminat ataupun yang baru ingin mengenali mengenai siri ini, ia adalah satu tontonan yang memuaskan.

Penafian: Tontonan awal untuk Yu Yu Hakusho disediakan oleh Netflix bagi tujuan ulasan ini. Disiarkan di Netflix pada 14 Disember 2023.

YuYu Hakusho (2023)
YuYu Hakusho adalah satu siri aksi nyata berdasarkan siri manga klasik. Siri ini dihasilkan dengan baik dan menyeronokkan walaupun kebanyakan penceritaan diringkaskan dan tidak menyertakan banyak bahagian daripada sumber asal.
Positif
Pertempuran Dilakukan Dengan Baik
Penceritaan Kompak Dan Kekal Menarik
Perwatakan Dan Lakonan Yang Baik
Negatif
Banyak Bahagian Penceritaan Diringkaskan
Latar Masa Berlainan
8

Sohor Kini