Ulasan Syif Malam

Sebagai seorang yang meminati filem seram, aku turut kadangkala akan menghiburkan diri dengan genre seram komedi. Tetapi di Malaysia biasanya filem genre ini tidak menarik, kecuali jika filem tersebut adalah oleh arwah Mamat Khalid – misalnya Zombi Kampung Pisang. Baru-baru ini aku cuba memberanikan diri untuk menonton Syif Malam sebuah filem seram komedi baharu daripada Empire Films bersama-sama dengan Thinkerbell Studios.


Pengalaman Menonton

Syif Malam diadaptasi daripada filem pendek di YouTube oleh Awanimbus yang mengisahkan tiga orang rakan bekerja sehingga lewat malam di sebuah pejabat yang menyeramkan. Gangguan bermula selepas salah seorang daripada mereka berkongsi cerita mitos pejabat yang kononnya memerlukan seorang manusia dikorbankan setiap tahun. Mereka kemudian meminta bantuan seseorang yang mendakwa pakar dalam hal mistik tetapi gangguan semakin menjadi-jadi sehinggalah kebenaran didedahkan. Kebenaran ini kemudiannya mengubah mereka bertiga menjadi insan yang lebih baik.

Filem ini diarahkan oleh Fairus Anuar berdasarkan skrip oleh beliau sendiri. Taqim Zaki, Anas Ridzuan, Shahkimin, Zera Hariz, Kamarul Eqifshah, Sobri Anuar, Riezman Khuzaimi, Ismeth dan Mili Supina adalah pelakon yang membabitkan diri dalam Syif Malam. Filem ini turut mempunyai konsep dan idea yang sangat menarik kerana aku faham dan terhibur dengan cubaan filem ini disampaikan kepada penonton.

Durasi filem ini adalah 1 jam 41 minit dan ia terasa seakan menonton filem 4 jam. Satu jam pertama adalah sangat perlahan sehinggakan aku sudah mula rasa mengantuk dan mahu tidur. Filem ini berpotensi menjadi ubat untuk insomnia jika anda ada masalah untuk tidur. Perjalanan filem ini mengambil masa yang sangat lama sehingga aku rasakan konsep asal filem pendek adalah lebih baik.

Elemen komedi dalam filem ini sebenarnya melucukan kerana berjaya membuatkan aku tersengih, kerap tersenyum tetapi tidak ketawa terbahak-bahak. Komedi yang banyak cringe dan terlalu try hard hanya jadi kadangkala sahaja kerana jika diteruskan tanpa henti ia akan menjadi bosan dan tidak lucu kerana seakan cuba menyampaikan lawak yang tiada siapa faham.

Elemen seram di dalam filem ini agak baik. Rekaan hantu yang mengerikan, ada rasa geli, ada sedikit elemen takut kejut dan kesan bunyi seakan filem Ju-On. Bukan itu sahaja, filem ini turut cuba mengambil inspirasi filem seram Hollywood untuk mempunyai kelainan sendiri seperti looping tanpa henti olah salah seorang watak atau hantu yang tidak berwajah.

Sayang sekali prestasi lakonan oleh watak-watak utama tidak begitu memberangsangkan kerana tidak mempunyai emosi yang realistik serta kelihatan seakan sekumpulan kawan-kawan berlakon sketsa untuk YouTube atau TikTok sahaja. Adunan bunyi filem ini juga tidak menarik kerana ia terlampau bingit sehingga setiap perbualan mempunyai bass yang terlampau dalam. Suntingan filem juga agak aneh dengan peralihan animasi yang tidak konsisten serta cubaan menggunakan CGI yang amat kartun.

Kesimpulan

Aku boleh berikan pujian yang pengarah ada idea serta konsep menarik untuk sebuah filem seram komedi tempatan. Cuma dengan penyampaian yang perlahan, struktur penceritaan yang entah ke mana, suntingan yang lemah dengan adunan muzik yang bingit – Syif Malam mungkin boleh berjaya dan menjadi jika pembangunan filem ini mengambil masa sedikit lebih lama. Nasihat saya jika anda ingin menonton filem ini pastikan ada minuman bertenaga atau jika anda ada insomnia inilah pengubatnya.

Filem ini akan ditayangkan bermula 7 Disember akan datang, ulasan ini adalah berdasarkan akses awal yang Rekomen Filem berikan.

Syif Malam
Idea dan konsep yang menarik untuk sebuah filem seram komedi tempatan. Cuma penyampaian filem ini yang entah ke mana sehingga durasi 1 jam 41 minit terasa seakan 4 jam. Inilah filem pengubat insomnia tahun 2023.
Positif
Idea dan konsep yang menarik.
Negatif
Penyampaian filem yang entah ke mana.
Prestasi lakonan yang tidak memberangsangkan.
Suntingan filem seperti adunan muzik serta kesan visual yang mengecewakan.
4

Sohor Kini