Golden Screen Cinemas atau GSC telah melancarkan pawagam baharu iaitu Velvet. Ia merupakan pawagam butik yang mewah dan premium dengan rekaan retro moden. Pawagam ini dibangunkan bersama-sama dengan Alliance Bank dan terletak di Retail Park 163, Mont Kiara.

Menariknya, Velvet tidak akan menayangkan semua filem yang GSC biasa tawarkan tetapi hanya akan menawarkan filem-filem arthouse yang artistik, filem kultus, koleksi filem antarabangsa terpilih dan juga beberapa filem blockbuster Hollywood dengan genre seram, ngeri aksi serta pelbagai lagi. Velvet turut mempunyai ruang makan dan bar terbuka yang menyajikan makanan dan minuman yang diilhamkan daripada filem.

Velvet dilihat memfokuskan kepada penawaran kerusi berkembar dengan kerusi individu yang dihadkan. Harga tiket adalah bermula RM100 untuk seorang dan RM200 untuk sepasang. Sempena promosi pembukaan, tiket boleh didapatkan pada harga RM70 seorang dan RM140 sepasang pada hari minggu. Sementara pada hujung minggu seorang adalah RM90 dan RM180 sepasang.

Khusus untuk pemegang kad Alliance Bank, sesi bersantai dan temujanji untuk menonton wayang akan ditawarkan. Selain itu bermula 1 Disember 2023 sehingga 28 Februari 2024, tiket akan ditawarkan pada diskaun 50% dan menerima tiket percuma untuk setiap pembukaan akaun Alliance Bank SavePlus atau kad kredit mereka.