Ulasan Godless: The Eastfield Exorcism

Selepas menonton The Pope Exorcist yang memberi pengalaman menonton yang menarik untuk sebuah filem seram mengenai paderi yang menghalau setan, filem The Exorcist: Believer pula ditayangkan yang agak mengecewakan. Nampaknya Malaysia tidak cukup dengan dua filem exorcist kerana filem ketiga pula iaitu Godless: The Eastfield Exorcism tiba ke pasaran tempatan.


Pengalaman Menonton

Filem ini mengambil inspirasi kisah benar daripada kisah wanita yang bernama Joan Vollmer. Vollmer turut mati dalam keadaan sama di dalam filem di mana beliau telah diikat pada kerusi oleh suami iaitu Ralph bersama dengan tiga orang lain dalam jemaah zilot yang sama iaitu David Klingner, Leanne Merlyn Reichenbach, dan juga Matthew Paul Nuske

Dalam filem ini ia menceritakan kisah Lara (Georgia Eyers) yang disyaki oleh doktor mengalami penyakit skizofrenia. Dia menjadi sebegini selepas satu kemalangan yang melibatkan anak sulung dia dan juga suami. Lara kemudiannya berkahwin dengan Ron (Dan Ewing) yang kononnya kuat agama dan memaksa Lara untuk dirawat oleh seorang penghalau setan yang kononnya pakar tetapi tidak diiktiraf oleh gereja serta Vatican.

Ini menyebabkan pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku, termasuklah kematian Lara. Filem ini disampaikan dengan penceritaan yang cukup realistik, penuh dengan drama yang mendebarkan serta ia cukup lancar kerana tidak rasa bosan atau meleret. Filem seram ini langsung tidak seram kerana terlampau bergantung kepada elemen takut kejut dengan runut bunyi yang kuat. Lagipun, seram bukan tujuan utama filem ini kerana ia lebih kepada memberitahu kepada orang ramai yang peristiwa di dalam filem pernah dan boleh berlaku lagi di dunia sebenar.

Godless: The Eastfield Exorcism adalah sebuah filem yang ringkas yang pada hemat saya adalah lebih menarik berbanding The Exorcist Believer. Ia tidak bergantung kepada CGI untuk penyampaian cerita, ia tidak meleret dengan memasukkan adegan yang tidak patut serta hanya menunjukkan keburukan apabila mempercayai penghalau setan yang tidak diiktiraf.

Filem ini memberikan satu pengalaman menonton yang baik. Selain drama yang mendebarkan elemen komedi turut diselitkan kerana garis masanya yang berlaku pada tahun 1994, kebanyakan watak tidak mempunyai pemikiran yang matang serta terlampau mempercayai banyak konspirasi seperti air sinki yang ditapis tidak sihat, vaksin ada mikrocip untuk kerajaan memantau rakyat dan mudah terpedaya dengan kepercayaan agama sesat.

Prestasi lakonan oleh Georgia Eyers sangat menarik kerana menjadi wanita yang dirasuk yang paling realistik. Saya sendiri pernah saksikan rakan sekolah dan di universiti yang dirasuk, apa yang Eyers bawakan adalah lebih kurang sama. Dia mengamuk dan bercakap perkara yang entah apa-apa, kemudian kembali menjadi diri sendiri dan terus senyap. Dan Ewing yang menjadi suami dia turut mempunyai emosi yang realistik sebagai seorang lelaki yang dungu dan terdesak yang kononnya apa yang dia cakap sahaja betul.

Tim Pocock menjadi penghalau setan sesat dalam filem ini iaitu Daniel. Saya baru tahu hari ini yang beliau adalah pelakon Scott Summers/Cyclops dalam X-Men Origins: Wolverine. Prestasi beliau cukup menarik yang berjaya menipu jemaah zilot dalam filem ini sehingga melibatkan ramai orang menjadi suspek pembunuhan.

Konsep filem ini tidak dinafikan baik. Cuma beberapa aspek dalam suntingan, warna dan pergerakan kamera adalah seakan sebuah filem yang dihasilkan oleh amatur dan bukannya profesional. Beberapa watak sampingan turut tidak menjadikan filem ini menarik kerana prestasi lakonan mereka yang lemah. Filem ini bukanlah untuk semua orang, kerana walaupun druasi 1 jam 30 minit ia masih terasa sedikit perlahan. Filem ini sebenarnya sesuai menjadi filem pendek kurang 1 jam kerana selepas 30 minit, pengakhiran filem ini sudah boleh diramal.

Kesimpulan

Peminat filem seram akan kecewa dengan filem ini kerana ia tidak seram. Terlampau banyak bergantung kepada elemen takut kejut yang klise dan mudah diramal. Walau bagaimanapun, filem ini mempunyai penceritaan yang menarik dan cukup realistik. Satu filem yang boleh membantu penonton menerima kesedaran mengenai erti kesabaran.

Godless: The Eastfield Exorcism
Sebuah filem yang mengambil inspirasi kisah benar di mana seorang wanita mati dibunuh oleh penghalau setan yang kononnya pakar. Ia mempunyai penceritaan yang realistik dan drama yang mendebarkan. Tetapi ia sepatutnya menjadi filem pendek kerana durasi 1 jam 30 minit masih rasa lama.
Positif
Penceritaan yang realistik dengan drama yang mendebarkan.
Prestasi lakonan watak Lara yang menarik dan meyakinkan.
Negatif
Filem 1 jam 30 minit masih rasa panjang.
Filem seram yang tidak seram.
6

Sohor Kini