The Hunger Games adalah francais filem yang diadaptasi daripada buku dengan judul sama oleh Suzanne Collins. Filem ini ditayangkan pada 2012 kemudian diteruskan setiap tahun dengan Catching Fire, Mockingjay Part 1, dan Mockingjay Part 2 yang menjadi penutup kepada francais ini pada tahun 2015. Kini selepas 8 tahun, filem prekuel pula diperkenalkan iaitu The Hunger Games: The Ballad Songbirds and Snakes juga diadaptasi daripada novel Collins.
Kisah prekuel ini berlaku 64 tahun sebelum kisah Katniss Everdeen. Ia memfokuskan kepada bagaimana watak Coriolanus Snow menjadi presiden di Panem dengan menceritakan kisah dia ketika masih muda dan di ambang sambutan ulang tahun lke-10 Hunger Games atau penterjemahan rasmi Kejohanan Kebuluruan.
Apakah Kisahnya?
Dalam filem ini, Coriolanus Snow masih lagi berusia sekitar 18 tahun. Kisah dia ketika kanak-kanak, seperti bagaimana keluarga Snow dianiaya ketika peperangan dan menjadi dunia Hunger Games yang semua kenal iaitu Capitol tempat orang kaya dan District tempat orang yang lebih miskin. Selepas satu konflik untuk Snow menerima anugerah dengan hadiah wang tunai, dia ditugaskan untuk menjadi mentor kepada gadis District 12 iaitu Lucy Gray Baird.

Gadis ini berjaya mengambil perhatian ramai dengan kemampuan menyanyi dan Snow pula berjaya mengubah konsep permainan battle royale ini agar lebih ramai orang Capitol menonton dan memberi sumbangan kepada setiap pemain.
Pengalaman Menonton
Saya telah menonton kesemua filem Hunger Games dan filem-filem ini bukanlah kegemaran saya tetapi saya masih sukakan konsep battle royale barat yang jelas sekali mengambil inspirasi filem jepun pada tahun 2000 iaitu Battle Royale. Filem ini walau bagaimanapun tidak memfokuskan kepada perlawanan ini sebaliknya adalah kepada perkembangan watak Coriolanus Snow. Filem ini adalah filem dia, bagaimana dia yang merupakan seorang yang baik hati menjadi kejam dan tidak berperikemanusiaan hanya kerana kepentingan diri sendiri.





Filem ini turut berjaya memaparkan dunia silam Panem dan District. Elemen teknologi vintaj fiksyen yang cantik, kawasan District yang nampak mengerikan, “pentas” Kejohanan Kebuluruan yang bagus yang pasti boleh membuat orang ramai terbayang yang inilah dunia Hunger Games jika berlaku 64 tahun sebelum kisah Katniss Everdeen.

Cara watak Snow disampaikan cukup baik cuma tidak memuaskan kerana motivasi diri dia untuk menjadi Snow yang semua orang kenal dalam filem Hunger Games tidak mencukupi. Lakonan Tom Blyth walau bagaimanapun adalah sangat cemerlang kerana reaksi wajah yang realistik membenarkan penonton membaca niat sebenar dia.

Filem ini turut menyertakan beberapa watak pembantu seperti Lucy Gray Baird lakonan Rachel Zegler yang menjadi kekasih kepada Snow. Lucy turut menjadi gadis yang mengubah Snow menjadi lebih kejam. Watak-watak lain pada saya hanya memberi rencah menjadikan penceritaan Snow lebih menarik seperti Josh Andrés Rivera sebagai Sejanus Plinth iaitu rakan Snow, Hunter Schafer sebagai Tigris Snow yang menjadi rakan kepada Katniss di dalam Hunger Games, kemudian ada Peter Dinklage sebagai Casca “Cas” Highbottom yang membenci waris Snow, turut terdapat Jason Schwartzman sebagai Lucretius “Lucky” Flickerman yang dipercayai adalah bapa atau mungkin atuk kepada Caesar Flickerman lakonan Stanley Tucci dan juga Viola Davis sebagai Dr. Volumnia Gaul yang mencipta cabaran dalam Hunger Games.

Turut terdapat beberapa watak lain yang diperkenalkan menjadi pencabar kepada Lucy dalam Kejohanan Kebuluruan kesepuluh filem ini. Pada hemat saya, mereka tidak cukup kreatif dan hanya bertindak atas dasar desakan ingin hidup bebas. Mereka menjadi benci kepada Lucy kerana hanya dia yang berjaya memikat hati ramai orang.

Penceritaan filem ini amat perlahan, kerana durasi 157 minit terasa seakan 300 minit. Walaupun begitu, saya faham konsep yang pengarah dan penulis cuba sampaikan cuma ia seakan tidak mempunyai penstrukturan cerita yang konsisten membuatkan saya hampir tertidur mengikuti perkembangan watak masing-masing. Filem ini turut mempersembahkan bakat nyanyian Rachel Zegler yang mana pada saya jika sekali atau dua kali sudah memadai tetapi jika lebih seakan menonton filem Bollywood pula cuma kurang tarian.

The Hunger Games: The Ballad of Songbirds and Snakes masih berjaya membuatkan saya rasa cemas untuk saat-saat genting seperti bagaimana Lucy akan menyelamatkan diri, bagaimana Snow sebagai Mentor akan membantu dua dan turut menimbulkan persoalan niat sebenar Snow yang kadangkala jelas dan kemudiannya berubah dengan pantas sehingga mengelirukan.

Filem ini sebenarnya ada potensi yang baik. Saya sukakan visualnya, saya sukakan runut bunyi tetapi saya tidak suka cara suntingan yang rasa bosan kerana tidak menunjukkan dunia silam Capitol dan District dengan lebih mendalam. Perkara lain adalah filem ini terlampau beria-ia menyelitkan perkataan Mockingjay dan Katniss seakan ingin memberi peringatan kepada orang ramai yang ini adalah filem Hunger Games kerana mungkin pihak studio tidak puas yang “The Hunger Games” sudah ada pada judul.
Kesimpulan
Apa-apa pun, pada hemat saya filem ini masih seronok untuk ditonton. Cuma anda perlu bersabar sahaja untuk perjalanan cerita yang agak perlahan ini. Filem ini adalah untuk peminat setia Hunger Games dan juga kepada mereka yang menggemari filem yang disampaikan melalui perkembangan watak.

Berdasarkan memori saya, apa yang saya ingat pada filem Hunger Games – filem ini boleh dikatakan lebih menarik kerana kurang menyertakan elemen politik Capitol dan tidak fokus sepenuhnya kepada permainan yang kejam ini. Jika anda ingin tonton filem ini, The Hunger Games: The Ballad of Songbirds and Snakes akan ke pawagam 17 November ini.