Skip to main content

Jika aplikasi penstriman dibuka sekarang anda boleh melihat kandungan popular ialah dalam genre aksi, cinta romantik, dan komedi. Atas sebab yang sama majoriti kandungan yang ditawarkan tidak mempunyai perbezaan yang ketara cuma dengan pelakon, penerbit dan platform berbeza. Oleh sebab itulah sejak For All Mankind (FOM) mula ditawarkan di Apple TV+ pada tahun 2019, aku akan cuba sedaya upaya mempromosikan kepada rakan-rakan sepejabat kerana ia sebuah siri yang mempunyai premis yang amat unik.

Selepas empat musim, aku masih akan sarankan mereka yang sedang buntu mencari apa yang perlu ditonton untuk menstrim FOM. Tiada siri lain yang memberikan sejarah alternatif “Perang Angkasa Lepas” antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet di dekad 60an. Keunikan semakin meningkat kerana setiap musim baharu masa akan melangkau sehingga sedekad dan sebahagian besar barisan pelakon akan berubah. Paling hampir kepada formula unik ini ialah The Crown di Netflix.

Jadi apa boleh aku katakan mengenai musim ke-empat FOM? Jawapan ikhlas aku ialah benda yang sama tetapi kali ini dengan fokus kepada topik yang sedang hangat sekarang di dunia sebenar iaitu hak asasi pekerja, perbalahan kuasa-kuasa besar dunia dan golongan yang tersepit di tengah-tengah.

2003 Alternatif

Kita kini di tahun 2003, beberapa dekad selepas penempatan pertama di Marikh berjaya dibangunkan dunia masih bergolak. Kerana kejayaan koloni Happy Valley, Kesatuan Soviet masih lagi wujud dengan hubungannya dengan Amerika Syarikat adalah semakin teguh kerana persaingan dengan syarikat swasta Helios.

Kini dihidangkan pula dengan kehidupan di permukaan Marikh yang kini sudah menjadi rutin. Sama seperti bagaimana markah di Bulan daripada musim kedua juga menjadi rutin. Pekerja dari Bumi kini dihantar ke Happy Valley untuk memastikan operasi perlombongan asteroid dapat dilakukan. Kerana kemajuan teknologi, manusia sudah memulakan misi melombong asteroid yang di dunia sebenar masih sekadar teori.

Wujud kasta pekerja dan kasta angkasawan a di Happy Valley yang menimbulkan ketegangan dalam operasi harian. Admiral Baldwin (dahulunya Colonel Baldwin) kini menjadi ketua operasi. Beliau sudah semakin tua tetapi masih ingin terlibat dengan pelbagai misi harian yang seharusnya diberikan kepada anggota lebih muda.

Formula Sama Tapi Tak Serupa

FOM tidak lengkap tanpa sekurang-kurangnya satu insiden besar. Ini sudah menjadi trope setiap musim di FOM kerana insiden yang besar akan menjadi pemangkin kepada masalah yang lebih besar yang menjurus kepada beberapa plot yang semakin serius. Walaupun formula FOM masih lagi sama tetapi penceritaan dan pengembangan watak musim ini berjaya membuatkan aku menekan butang “episod seterusnya” dalam aplikasi Apple Screener. Aku sudah menonton sebanyak tujuh daripada sepuluh episod FOM musim ini dan aku boleh katakan penerbit masih belum kekeringan idea.

Bintang musim ini ialah Toby Kebbell yang memegang watak pekerja Happy Valley yang tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan kepada golongan pekerja di Marikh. Tumpuan musuh ini lebih kepada apa yang berlalu di Marikh. Tetapi “drama” di bumi masih lagi diteruskan menimbulkan persoalan kepada penonton “adakah ini akan berlaku apabila manusia mula menakluki Marikh dalam masa satu generasi sahaja lagi?”.

Yang membuatkan FOM menarik selama ini ialah ia bijak menggabungkan fantasi dengan dunia realiti. Musim ketiga ialah mengenai perlumbaan ke Marikh. Musim ini perlumbaan adalah untuk McGuffin yang berbeza dan aku tak akan mendedahkan spoilernya.

Cuma yang aku boleh katakan FOM musim ke-empat ialah musim yang paling berpijak di bumi yang nyata dan relevan dengan situasi di dunia sekarang walaupun plotnya berputar mengelilingi sebuah planet yang terletak 403 juta kilometer daripada bumi. Oleh sebab yang sama aku sekali lagi aku sarankan peminat sains fiksyen khususnya sejarah alternatif menonton For All Mankind kerana aku selfish dan mahukan musim kelima diumumkan dengan kadar segera!

Leave a Reply