Epic Games ialah syarikat disebalik enjin permainan video Unreal Engine yang digunakan oleh sejumlah besar pembangun-pembangun permainan untuk membangunkan pelbagai jenis permainan video dan komputer yang popular.
Syarikat tersebut juga mempunyai gedung permainan atas-talian Epic Games Store yang juga merupakan satu lagi platform selain dari Steam yang digunakan oleh pelbagai pembangun permainan untuk menjual permainan-permainan komputer.
Untuk mempopularkan lagi platform Epic Games Store, Epic Games dilihat telah memperkenalkan program First on Epic dan Now on Epic yang membolehkan pembangun permainan parti ketiga untuk pertimbangkan mengeluarkan permainan-permainan mereka di platform tersebut.
First on Epic membolehkan pembangun permainan dengan akaun pembangun Epic untuk menyimpan 100 peratus hasil jualan permainan mereka selama enam bulan pertama sekiranya ia dilancarkan di Epic Games Store terlebih dahulu, dan tidak mempunyai sebarang perjanjian dengan platform-platform lain.
Selepas enam bulan pertama tersebut, pecahan jualan akan kembali ke potongan 88 peratus / 12 peratus seperti biasa.
Now on Epic pula membolehkan para pembangun yang sudahpun menjual permainan-permainan komputer mereka di platform lain untuk membawa tajuk yang sama di platform tersebut dan menyimpan 100 peratus hasil jualan pada enam bulan pertama yang sama seperti apa yang ditawarkan pada program First on Epic.
Program Now on Epic memerlukan pembangun untuk meluncurkan sekurang-kurangnya tiga tajuk permainan komputer sedia ada yang dilancarkan sebelum 31 Oktober 2023 dan sedang aktif dijual di gudang permainan komputer lain seperti Steam dan sebagainya.
Pembangun yang tidak mempunyai tiga tajuk permainan yang sedang aktif dijual boleh membawa katalog permainan mereka ke Epic Games Store, dan mula menjual permainan-permainan mereka disana, asalkan ia diterbitkan di Epic Games Store pada 30 Jun 2025.
Epic Games kini dilihat sangat aktif dalam meningkatkan jumlah permainan yang dijual di platform mereka. Setakat ini, platform telah memperlihatkan pemberian permainan komputer percuma dan juga diskaun-diskaun yang sangat besar untuk mendapatkan perhatian gamer PC.
Sumber: GameDeveloper