The Nightmare Before Christmas adalah filem animasi gerak-henti yang dicipta oleh Tim Burton, skrin oleh Caroline Thompson dan diarahkan oleh Henry Selick. Filem ini ditayangkan pada tahun 1993, mengisahkan Jack Skellington iaitu Pumpkin King di Halloween Town yang tertarik dengan perayaan Krismas selepas memasuki bandar Christmas Town dan cuba membawa perayaan ini di bandar yang penuh dengan hantu dan raksasa.

Kini selepas 30 tahun, pengarah iaitu Henry Selick menyatakan beliau mempunyai idea untuk prekuel di mana ia memfokuskan kisah bagaimana Jack Skellington dipilih menjadi raja di bandar Halloween. Walau bagaimanapun menurut Selick, sebarang idea hanya boleh diputuskan oleh Burton sendiri.

Selick turut yakin yang Burton mungkin tidak akan menerima mana-mana idea baharu untuk The Nightmare Before Christmas, kerana menurut beliau kenapa perlu menyentuh semula filem yang sudah dikenali ramai dan sudah menjadi ikonik.
Bagi yang berminat dengan filem animasi gerak-henti ini, di Malaysia anda boleh menontonnya di Disney+ Hotstar yang boleh dilanggan pada harga RM54.90 untuk tiga bulan.
Sumber – People