Semalam kami telah melaporkan bahawa Nintendo dilihat akan menyokong konsol Nintendo Switch sehingga sekurang-kurangnya bulan April 2025 dengan kemaskini baru, tatkala mereka dijangka akan memperkenalkan konsol Nintendo Switch baru pada tahun hadapan.
Terkini, sebuah pengumuman baru juga telah dibuat oleh syarikat pembuat permainan video dari Jepun tersebut, dimana mereka akan menamatkan sokongan fungsi atas-talian untuk dua konsol lama mereka, iaitu Nintendo Wii U dan juga Nintendo 3DS sekitar April 2024 kelak.

Ini berikutan penutupan gedung permainan atas talian Nintendo eShop kedua-dua konsol Wii U dan 3DS yang telah ditutup pada bulan Mac tahun ini. Penutupan perkhidmatan-perkhidmatan atas-talian ini termasuklah untuk ciri seperti SpotPass yang digunakan untuk mengesan rangkaian WiFi terbuka dan juga permainan-permainan seperti Puzzle Swap dan Badge Arcade untuk 3DS.
Walaupun begitu, StreetPass masih boleh digunakan, kerana ia tidak memerlukan sebarang mesin pelayan untuk pengguna mengakses data StreetPass antara satu-sama lain. Terdapat juga kebarangkalian untuk perkhidmatan-perkhidmatan ini ditamatkan lebih awal sekiranya mereka menghadapi kesukaran untuk menyokongnya sebelum April 2024.
Sumber: Nintendo


