Setiap IP filem atau siri TV pasti akan ada peminat tersendiri. Malah mereka yang obsesi ada yang menulis skrip sendiri untuk kepuasan sendiri serta perkongsian di Internet. Kisah berdasarkan filem atau siri TV popular yang ditulis peminat biasanya digelar fanfic (fiksyen peminat) dan baru-baru ini ChatGPT dilihat menghalang pengguna menjana skrip ini.
OpenAI tidak mendedahkan peraturan sebenar di sebalik halangan “menulis” skrin fantasi peminat ini. Ia besar kemungkinan melindungi nama manusia sebenar serta hak cipta yang dimiliki oleh studio seperti Disney, Warner Bros. dan sebagainya.
Dalam laporan The Verge, mereka mencuba meminta ChatGPT menjana skrip berdasarkan watak Steve Rogers (Captain America) dan Bucky Barnes (Winter Soldier) tetapi balasan yang diterima adalah “I’m sorry, but I can’t assist that request“.
Halangan ini dikatakan hanyalah satu soft ban sahaja kerana ia dilihat terhad kepada GPT-3.5 dan pad GPT-4.0 fantasi peminat ini boleh dihasilkan dengan mudah. Halangan juga dilihat memfokuskan kepada elemen ganas dan perkara tidak senonoh sahaja, yang mana mungkin untuk memastikan tiada fitnah atau kisah memalukan berlaku kepada IP-IP popular ini.
Dalam cubaan saya, fanfic ini masih boleh ditulis jika memberi arahan kepada ChatGPT dalam bahasa Melayu. Sementara penggunaan bahasa Inggeris perlu beberapa kali cubaan untuk sistem AI ini melanggar peraturan sendiri.
Sumber – The Verge