Skip to main content

Apabila Netflix mengesahkan bahawa mereka akan membangunkan siri aksi nyata One Piece selepas Cowboy Bebop, saya diantara mereka yang mempunyai firasat tidak sedap hati mengenainya kerana kegagalan majoriti, jika tidak semua olahan aksi nyata siri anime sebelumnya.

Akan tetapi, dengan setiap pendedahan oleh pihak Netflix mengenai pembangunan siri ini, dari pemilihan pelakon, kepada rekaan set, lakonlayar dan juga penglibatan Eiichiro Oda, saya sedikit sebanyak membuka minda bahawa ada kemungkinan bahawa Netflix akhirnya akan berjaya memperkenalkan sebuah siri aksi nyata anime yang baik.

31 Ogos akhirnya tiba, dan saya menghabiskan sehari untuk maratonton siri One Piece aksi nyata ini. Lapan episod diperkenalkan, dan memperlihatkan babak-babak penceritaan dari bab pertama, Romance Dawn sehinggalah penghujung jalan cerita Arlong Park.

Jika anda seorang peminat tegar One Piece (seperti saya), nasihat saya sebelum anda mula menonton siri aksi nyata ini adalah untuk anda jangan mengharapkan penceritaan 1:1 dan membandingkannya dengan siri manga mahupun anime.

Untuk memudahkan pengetahuan anda, 60 episod siri anime telah dipadatkan dalam lapan episod siri aksi nyata dengan setiap episod memakan masa satu jam, jadi tidak hairanlah jika penceritaan aksi nyata adalah berbeza apabila dibandingkan dengan anime dan manga.

Siri aksi nyata One Piece dilihat menggunakan jalan cerita asal sebagai asas penceritaannya sendiri. Sebagai contoh, selepas insiden diatas kapal lanun Alvida, Luffy dan Koby bertemu dengan Zoro di Pulau Shell, tetapi kisah tentang bagaimana watak-watak ini bertemu adalah berbeza sama sekali dengan bagaimana mereka bertemu didalam manga dan anime.

Tema ini dilihat berterusan untuk watak-watak lain, termasuklah Nami, Usopp dan juga Sanji. Bagi peminat lama One Piece, cara penceritaan ini pastinya akan merasa sangat janggal kerana motivasi watak-watak ini mengikuti Luffy dalam cita-citanya untuk menjadi Raja Lanun dilihat berbeza dengan apa yang dibaca atau ditonton sebelum ini.

Dan dengan perubahan penceritaan ini pastinya juga ada perbezaan dari segi adegan-adegan tertentu yang tidak ditunjukkan dalam aksi nyata ini. Satu contoh tanpa beberan yang boleh saya berikan ialah pada jalan cerita di Restoran Baratie sebelum Sanji menjadi kru Lanun Topi Jerami sangat berbeza dalam aksi nyata apabila dibandingkan dengan apa yang diperlihatkan pada manga dan anime.

Ini bukanlah sesuatu yang negatif semata-mata. Apa yang saya suka mengenai aksi nyata ini ialah penceritannya yang padat dan cepat beralih dari satu jalan cerita ke jalan cerita yang lain. Salah satu kritikan mengenai siri anime One Piece ialah ia sering terlalu meleret, jadi siri aksi nyata ini adalah seperti satu nafas yang baru.

Satu lagi aspek yang saya suka mengenai aksi nyata One Piece ini ialah pemilihan para pelakon. Inaki Godoy (Luffy), Mackenyu (Zoro), Emily Rudd (Nami), Jacob Gibson (Usopp) dan Taz Skylar (Sanji) semuanya memainkan watak-watak mereka sebaik yang diharapkan.

Hubungan diantara watak-watak ini juga tidak janggal sama sekali. Perwatakan Luffy dalam aksi nyata dilihat sama seperti didalam manga dan anime, Zoro dan Sanji dilihat selalu bergaduh walaupun dalam saat-saat yang mencemaskan, Nami sentiasa merancang untuk menjadi kaya dan perangai Usopp membuatkan saya tidak kering gusi.

Watak-watak antagonis seperti Buggy The Clown, Captain Kuro dan Arlong juga semuanya dimainkan dengan cukup baik sekali, dan pada pendapat saya, Jeff Ward yang memainkan watak Buggy ialah antagonis terbaik dalam siri aksi nyata One Piece setakat ini.

Dua watak sampingan yang saya tidak sangkakan akan dilihat sepanjang siri ini ialah Koby dan juga Garp. Bagi anda yang tidak tahu-menahu mengenai watak-watak ini, saya hanya akan mengatakan bahawa kehadiran mereka dalam siri ini sedikit janggal, tetapi masih lagi boleh dikatakan agak bertepatan dengan jalan cerita asal One Piece.

Pengenalan Garp khususnya sesuatu yang saya rasakan agak dipaksa, mungkin kerana mereka mahukan seorang watak “antagonis” disepanjang siri ini yang mahu memburu Luffy dan kumpulan lanun Topi Jerami. Keputusan ini bagi saya agak aneh kerana watak-watak antagonis yang lain cukup memadai memainkan peranan tersebut menentang Luffy dan konco-konconya.

Satu lagi perkara mengenai One Piece yang saya sukai ialah penggunaan easter egg didalam siri ini untuk peminat-peminat yang mengikuti siri ini untuk sekian lamanya. Penggunaan lagu Binks’ Sake dalam sebuah episod awal dilihat memberikan nostalgia kepada sebuah adegan khusus dalam siri anime, manakala dialog mengenai pencarian Baroque Works memperlihatkan kemungkinan bahawa Netflix mungkin mempunyai pelan untuk menyambung siri ini ke musim baru.

Malah jika anda tonton kembali salah satu video treler untuk aksi nyata ini, terdapat sekeping poster untuk seorang lanun yang akan diperkenalkan dalam satu jalan cerita selepas lanun Topi Jerami memasuki Grand Line.

Beralih pula kepada bahagian-bahagian yang saya tidak begitu gemari pada siri aksi nyata ini. Selain daripada adegan pertarungan dalam episod pertama dan kedua, babak-babak aksi One Piece ini bagi saya rasa sangat kekok dan amatur.

Apabila saya melihat Zoro menentang pihak Marine pada episod kedua, saya berasa teruja kerana kepakaran Mackenyu dalam babak-babak aksi nampak menyerlah kerana dia juga memainkan watak Enishi Yukishiro, salah satu antagonis utama dalam siri filem Rurouni Kenshin.

Sayangnya, untuk episod-episod seterusnya, babak aksi bagi saya kelihatan sangat tak bermaya, dan terdapat beberapa adegan dimana suntingannya kurang kemas. Untuk sebuah siri yang sepatutnya penuh dengan babak-babak berlawan, ini merupakan salah satu daripada kelemahan yang paling ketara dalam siri ini.

Satu lagi kekurangan yang saya perasan dilihat pada motivasi mengapa watak-watak ini memasuki kumpulan Lanun Topi Jerami, khususnya untuk watak-watak seperti Usopp dan juga Sanji. Penceritaan yang dipadatkan di Pulau Syrup dan Baratie menjadikannya lebih mudah untuk diikuti, tetapi sayangnya bagi saya ia juga menyebabkan saya terfikir apakah yang mendorong watak-watak ini untuk mengikuti Luffy ke Grand Line untuk mencari harta karun One Piece.

Secara keseluruhannya, saya boleh katakan bahawa siri aksi nyata One Piece oleh Netflix ini adalah adaptasi aksi nyata barat pertama yang saya agak suka. Saya tidak boleh lari daripada perasaan berat sebelah kerana saya membaca manga ini sejak saya di bangku sekolah lagi.

Adaptasi One Piece ini merupakan adaptasi anime pertama yang saya tidak akan ragu-ragu untuk syorkan kepada mereka yang mahu berjinak dengan dunia One Piece, khususnya jika mereka rasakan bahawa 1000 bab manga dan episod anime adalah terlalu berat untuk mereka.

Untuk peminat lama dan tegar One Piece, nasihat saya ialah untuk cuba lupakan apa yang anda tahu dan sudah hafal tentang One Piece dan menikmati siri aksi nyata ini sebagai penceritaan baru siri kegemaran kita.

Saya juga berharap bahawa Netflix akan terus membangunkan musim kedua untuk siri ini, kerana ia mempunyai potensi untuk menjadi siri aksi nyata jangka-masa panjang, khususnya apabila mereka sudahpun memperlihatkan kumpulan-kumpulan lanun lain seperti Baroque Works, yang merupakan sebahagian daripada penceritaan yang meloncatkan populariti One Piece bukan sahaja di Jepun, tetapi di seluruh dunia.

Oh ya, dan sebagai bonus, alih suara dalam bahasa Jepun memperlihatkan pelakon suara anime yang menyuarakan watak-watak dalam siri ini, jadi ini adalah satu lagi easter egg yang sangat menarik untuk siri ini.

Ulasan One Piece
Adaptasi aksi nyata One Piece boleh dikatakan adaptasi siri anime dan manga pertama yang baik oleh Netflix, dan boleh dinikmati oleh peminat baru dan lama siri ini.
Positif
Adaptasi anime ke aksi nyata yang baik untuk pertama kalinya
Pemilihan pelakon yang tepat
Penceritaan yang padat
Easter egg untuk peminat lama anime dan manga
Negatif
Motivasi watak-watak untuk menyertai Luffy
Suntingan yang perlu diperbaiki
Adegan aksi yang memerlukan koreografi lebih baik
7

Leave a Reply