Microsoft nampaknya sudah mula untuk menamatkan sokongan buat salah satu daripada konsol terlaris mereka, iaitu Xbox 360 dengan pengumuman bahawa mereka akan menutup gedung digital Xbox 360 Store dan juga Marketplace pada 29 Julai 2024 kelak.
Dengan penutupan gedung ini, ia difahamkan bahawa pengguna tidak akan boleh membeli permainan digital dan sebagainya melalui konsol Xbox 360 selepas tarikh tersebut. Dalam pada itu, aplikasi Movies & TV juga akan dikeluarkan daripada konsol tersebut, dan kandungan ini tidak lagi boleh ditonton selepas tarikh tersebut.
Microsoft mengatakan bahawa permainan-permainan Xbox 360 digital yang dibeli oleh mereka sebelum ini masih lagi boleh dimuat-turun melalui komputer desktop gaming ataupun konsol Microsoft Xbox Series X/S kerana permainan-permainan Xbox 360 semuanya disokong oleh konsol-konsol terbaru ini tanpa masalah.
Penutupan gedung Xbox 360 ini juga tidak akan memberi kesan kepada permainan yang sudahpun berada didalam konsol tersebut. Malah, permainan-permainan multi-pemain juga boleh dimainkan tanpa masalah.
Permainan-permainan Xbox 360 ini juga masih akan menerima kemaskini sekiranya diperlukan, dan akan boleh dimuat-turun tanpa masalah, khususnya kerana permainan-permainan ini masih lagi disokong pada PC dan juga konsol Xbox Series.
Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara ini, anda boleh ke laman web Xbox untuk membaca lebih lanjut mengenainya.