Penulis dan pelakon di Amerika Syarikat kini sedang mogok kerana studio-studio yang tidak adil dengan mereka. Antara perkara yang mereka inginkan perubahan adalah pembayaran gaji yang adil serta tidak menggunakan sistem kecerdasan buatan ke atas penulis dan pelakon.
Terbaru, Netflix telah menyenaraikan kerja kosong di syarikat mereka dan ia mula menerima kecaman. Jawatan ini adalah untuk Product Manager – Machine Learning Platform iaitu pengurus produk platform pembelajaran mesin atau pengurus produk AI.
Gaji yang ditawarkan bermula $300,000 setahun dan boleh mencapai sehingga $900,000 iaitu sekitar RM1,356,000 ke RM4,068,000. Skop kerja yang disenaraikan walau bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kerja berkaitan pembangunan atau produk filem/siri TV. Ia lebih kepada pembelajaran mesin strategi syarikat, mengumpul maklum balas pengguna dan lain-lain bahagian korporat.
Dengan apa yang telah dilaporkan setakat ini, penulis dan pelakon yang tidak menerima bayaran gaji yang adil serta ada potensi mereka digantikan dengan AI – ramai persoalkan Netflix yang menawarkan kerja seperti ini dengan gaji yang tinggi.
Adakah ini langkah awal Netflix akan berubah menjadi Streamberry seperti dalam episod pertama Black Mirror 6 – Joan Is Awful?
Sumber – The Intercept