Menurut buku teks fizik tingkatan empat KBSM yang aku gunakan di sekolah dahulu, terdapat dua jenis reaksi nuklear. Satu ialah pembelahan nuklear dan satu lagi ialah pelakuran. Dalam reaksi pembelahan, neutron yang terhasil akan menghasilkan tindak balas berantai yang akan hanya terhenti selepas tiada lagi isotop Uranium untuk dibelah. Dalam pelakuran pula dua isotop bergabung juga untuk menghasilkan tenaga yang besar.
Oppenheimer ialah sebuah filem mengenai J Robert Oppenheimer (Cillian Murphy) yang dikenali sebagai bapa bom atom yang menggunakan reaksi pembelahan nuklear. Kita mengikuti kehidupan beliau dari seorang pelajar di Cambridge yang tidak begitu cekap di makmal sebelum menjadi antara ahli fizik teoretikal yang penting kerana teori beliau mengenai kewujudan lohong hitam. Kehidupan peribadi beliau sebelum, ketika dan selepas Manhattan Project – projek membangunkan bom atom pertama – diceritakan dalam filem sepanjang 3 jam ini.
Filem ini adalah berasaskan buku biografi American Prometheus yang ditulis oleh Kai Bird dan Martin J Sherwin yang memenangi anugerah Pulitizer 2006.
Sebelum membaca ulasan ada baiknya jika aku lakukan penafian. Aku seorang insan yang boleh dikategorikan sebagai seorang science dan history nerd tegar. Maka ulasan ini akan diwarnai (ada yang mungkin katakan dicemari) oleh pengetahuan aku mengenai apa sebenarnya berlaku di Manhattan Project.
Yang Bagus
Yang bagus mengenai Oppenheimer ialah sinematografi dan kesan khas. Aku menonton Oppenheimer pada skrin IMAX. Ya bagi golongan purist, di Malaysia tidak ada skrin IMAX 70mm sebenar kerana di Malaysia hanya ada IMAX Digital sahaja. Tetapi aku boleh katakan tanpa prejudis (dan aku boleh akui aku seorang purist) bahawa pengalaman aku menonton pada skrin IMAX Malaysia tiada celanya. Seperti mana jika anda tak pernah memiliki PlayStation 5, grafik PlayStation 4 sebenarnya ok sahaja.
Stylistic choice untuk memaparkan babak moden dalam monokrom dan babak flashback dalam warna juga adalah menarik. Ia memudahkan penonton mengikuti jalan cerita yang melompat-lompat dari tahun ke tahun secara rawak. Nolan tidak menggunakan grafik pada skrin untuk menunjukkan babak yang ditonton berlaku pada tahun berapa. Hanya muka pelakon yang dituakan menggunakan solekan menjadi indikator berapa lama masa telah berlalu. Ini juga menyelesaikan masalah masa yang berlaku dalam Dunkirk yang cuba memaparkan tiga plot yang berlaku pada waktu berbeza secara linear sehingga mengelirukan kali pertama ia ditonton.
Ketiga yang aku suka ialah easter eggs yang hanya disedari jika anda seorang peminat sains. Ada banyak cameo pelakon-pelakon ternama yang membuatkan aku tersenyum kerana watak yang dilakonkan. Sebagai seorang nerd, menarik melihat Neils Bohr, Werner Heisenberg, Ernest Lawrence, Albert Einstein, Leo Szilard dan Richard Feynman di layar perak.
Tanpa spoiler, ada dua watak yang sangat kecil dilakukan oleh pelakon yang memenangi Oscar. Salah seorang daripadanya memegang watak yang namanya hampir sama dengan nama sebenar beliau. Apabila babak ini muncul di skrin aku tergelak besar kerana ia sangat tongue in cheek. Jangan pergi ke iMDB untuk melihat senarai cameo kerana ia antara kejutan ini yang membuatkan Oppenheimer seronok ditonton.
Nolan meneruskan tema “subvert the viewers expectation” yang dilakukan beliau dalam Dunkirk. Anda mungkin mengagak akan ada babak letupan besar dengan mayat-mayat, manusia menjadi debu dan bangunan terbakar kerana Little Boy. Langsung tak ada. Impak bom atom langsung tidak ditunjukkan dengan hanya reaksi wajah yang melihatnya sahaja terpapar pada skrin.
Kenapa begini? Kerana subjek filem ini ialah Oppenheimer dan kita hanya melihat reaksi beliau selepas menyedari apa yang telah dilakukan oleh beliau dan pasukannya di Los Alamos. Ini adalah sebab mengapa beliau mengatakan “I am become death destroyer of worlds”. Jika anda benci dengan gerakan subversi jangkaan penonton, aku boleh katakan dengan penuh keyakinan Oppenheimer bukan untuk anda.
Yang Kurang Bagus
Filem ini sepanjang tiga jam. Filem panjang bukan masalah bagi aku kalau ianya menarik seperti Lord of The Rings Extended Edition atau The Dark Knight. Isunya ialah filem bermula dengan letupan besar yang menggegarkan organ dalaman sebelum kemudian memberikan tumpuan kepada kehidupan seorang saintis fizik teoretikal yang langsung tidak menarik dan ini tidak dibantu oleh beberapa babak yang terpotong secara mengejut.
Babak kedua filem adalah sangat perlahan keran memberikan tumpuan kepada aktiviti Oppenheimer di luar makmal. Penglibatan beliau dalam politik sayap kiri dan perangai kaki perempuan beliau adalah penting untuk jalan cerita tetapi cara ia dipaparkan di skrin pada hemat aku adalah terlalu glacial. Nasib baik aku berjaya seludup kopi ke dalam panggung kerana kalau tidak mungkin terlelap.
Bukan salah Nolan Lembaga Penapisan Filem merasakan manusia dewasa Malaysia tidak cukup “bersedia” untuk menonton sedikit adegan ranjang. Akibatnya ada babak yang rasa tak lengkap atau kehilangan konteks. Tambah aneh apabila tubuh pelakon ditutup auratnya dengan baju CGI yang sangat ketara membuatkan babak serius hilang impaknya.
Isu terakhir ialah sekali lagi sesetengah pelakon bakatnya seperti tidak digunakan dengan baik. Watak yang dipegang Emily Blunt dan Florence Pugh terasa seperti pengisi ruang dibazirkan. Ada jenaka di kalangan peminat Nolan iaitu beliau tidak boleh menulis filem tanpa watak perempuan utama dibunuh untuk menghasilkan konflik. Nolan Dead Women Trope ini berterusan dalam Oppenheimer.
Bunyi
Runut bunyi Oppenheimer oleh Ludwig Göransson adalah minimalis meneruskan apa yang telah dilakukan oleh beliau dalam Tenet sebelum ini. Berjaya menimbulkan ketegangan apabila diperlukan lebih-lebih lagi pada babak ketiga filem di mana bom Trinity diletupkan buat pertama kali. Babak ini adalah antara yang paling mengujakan untuk ditonton kerana berjaya membuatkan penonton turut merasakan tekanan Oppenheimer untuk memastikan ujian pertama tidak menemui kegagalan.
Tetapi pada waktu yang sama runut bunyi Göransson yang minimalis membuatkan ia tidak kekal dalam kepala seperti runut bunyi filem Nolan sebelum ini. Tidak ada tema epic seperti “Time” dalam Inception atau ikonik seperti “Why so Serious” dalam TDK.
Namun begitu aku cukup suka dengan sound design yang lain. Pengguna bunyi sekeliling untuk menghasilkan mood serta audio realistik apabila bom diletupkan harus diberi pujian. Dalam hal ini kesan bunyi, Oppenheimer adalah yang terbaik dalam katalog Nolan selepas Interstellar.
Perlu Tengok?
Adakah Oppenheimer perlu ditonton? Jika ada seorang peminat tegar Nolan jawapannya cukup mudah. Pergi beli tiket IMAX sekarang kerana dari segi visual, kesan bunyi dan stylistic choice ianya tidak mengecewakan.
Jika anda bukan peminat pula, aku hanya boleh sarankan kepada mereka yang ingin melihat Nolan perlahan-lahan menjadi Terrence Malick. Pengarah yang seakan merasakan berdosa menghasilkan filem komersial semasa muda dan kini memilih untuk menghasilkan filem paling seni dan sinematik sehingga mengorbankan pacing apabila sudah berusia.
Oppenheimer kepada Nolan ialah seperti The Thin Red Line kepada Malick. Ia sebuah filem yang Indah, sinematik, subversi kepada genre, terlalu panjang, pacing kelaut, ada momen levity yang genius, babak mendebarkan yang padu, cameo pelakon-pelakon ternama tak disangka, penuh easter eggs dan pengakhiran yang pasti dibicarakan oleh peminat filem pasca ditonton kerana ia membuatkan mereka berfikir.
Dalam pembelahan nuklear, neutron ditembak untuk membelah isotop Uranium. Filem Oppenheimer aku ramalkan akan membelah bagi pendapat penonton-penontonnya. Pendapat aku pula ialah Oppenheimer ialah pelakuran sains, sinema dan subversi yang kurang sempurna.