Kandungan dokumentari di Netflix, Disney+ Hotstar, Prime dan Apple TV+ sejak kebelakangan ini aku rasakan kurang menarik. Kadang kala subjek menarik yang boleh diceritakan dalam satu dokumentari panjang diubah menjadi dokusiri beberapa episod. Dokumentari Connor McGregor di Netflix beberapa minggu lalu ialah contoh siri dokumentari yang panjang tetapi terasa kosong kerana insiden-insiden negatif melibat “The Notorious” tidak disentuh dengan lebih mendalam.

Apabila Tour De France Unchained (TDFU) tiba ke Netflxi minggu lalu, aku skeptis dengan ulasan awal yang mengatakan ia akan membuatkan sesiapa sahaja yang menontonnya menjadi peminat sukan basikal paling ternama dunia. Selepas habis menonton kesemua lapan episod, aku boleh katakan andaian ini benar dan adalah tidak melampau jika TDFU akan memberikan impak yang sama seperti dokusiri Formula 1 Drive To Survive.

Dosa Armstrong

Bagi yang tidak berapa arif dengan Tour De France (TDF), bayangkan LeTour De Langkawi tetapi versi yang lebih mencabar, ternama, lumayan ganjarannya dan berlangsung di Perancis. Ia sudah wujud sejak 1903 dan dilihat sebagai perlumbaan berbasikal yang paling mencabar kerana laluannya diubah sepanjang tahun dengan perlumbaan berlangsung sealam 23 hari. Ia menerima prestij tertinggi kerana ia adalah perlumbaan kembara tertua dengan setiap juara akan dikenali di seluruh dunia.

Marco Pantani, Miguel Indurain dan Lance Armstrong adalah antara nama-nama pemenang yang aku kenali semasa membesar di dekad 90an. Kalau anda tidak tahun nama-nama pemenang moden anda tidak boleh dipersalahkan kerana skandal penggunaan dadah TDF antara tahun 1999 hingga 2005 menyebabkan nama acara sukan ini tercalar teruk.

Kemenangan Lance Armstrong sebanyak tujuh tahun berturutan telah dibatalkan oleh pihak penganjur kerana kesalahan mengambil dadah EPO yang meningkatkan prestasi pengambilnya. Kerana dadah ini dipercayai digunakan oleh majoriti pelumba, secara rasminya tiada pemenang TDF antara 1999-2005 diumumkan walaupun selepas kemenangan Armstrong dilucutkan.

Apa itu Domestique, Peloton, GC dan Lain-Lain

Seperti Drive to Survive, lapan episod Tour De France Unchained mengikuti pasukan dan pelumba berbeza. Episod pertama melakukan tugas yang baik memperkenalkan sejarah TDF kepada penonton dan menceritakan mengapa ia dilihat sebagai perlumbaan paling mencabar. Tumpuan diberikan kepada pasukan yang dilihat underdog pada episod awal.

Kemudian dalam episod-episod seterusnya kita mengikuti perjalanan hidup pelumba yang memulakan kerjaya sebagai pekerja kilang ikan, melihat tekanan pada bahu pelumba dari Perancis untuk menjaga maruah negara, apakah perbezaan antara setiap tahap perlumbaan, apakah DOMESTIQUE, GCs serta peloton dan bagaimana pelumba kencing ketika ditengah-tengah perlumbaan? Kesemua persoalan ini dan banyak lagi dijawab dalam Tour De France Unchained.

Mungkin ada yang akan mengatakan cara setiap episod disusun dan formatnya terlalu mengikut formula Drive to Survive. Lengkap dengan pelumba dan ahli pasukan bantuan dipaparkan mencarut serta mempunyai kebencian dengan ahli pasukan lain. Ini menjadikan TDF tidak sesuai ditonton oleh semua peringkat umur.

Tetapi formula Drive to Survive sudah jelas berjaya bukan sahaja dalam menarik minat penonton sepanjang lima musim di Netflix tetapi menjadi penyebab mengapa jumlah penonton acara Formula 1 sekarang meningkat setiap tahun selepas bertahun seakan hidup segan mati tak mahu.

Sama ada anda bersetuju ataupun tidak, ini ialah formula yang paling mujarab untuk menghasilkan sebuah dokumentari mengenai sukan yang acaranya panjang, mempunyai puluhan pasukan dan ratusan penunggang masing-masing dengan personaliti aneh tersendiri.

Perlu Tengok Atau Tidak?

Jawapan kepada persoalan di atas ialah pastinya ya. Jika anda peminat sukan berbasikal aku tak perlu menjual siri dokumentari terbaik mengenai sukan ini kepada anda sekarang. Aku yakin jika anda peminat anda mungkin sudahpun khatam siri ini sebanyak dua kali. Bagi bukan peminat pula, aku yakin selepas menonton Tour De France Unchained kebarangkalian anda menjadi peminat adalah hampir 80%.

Siri ini berjaya menimbulkan minat untuk anda peduli dengan pasukan yang dianggap paling sampah dalam perlumbaan, kagum dengan pengorbanan yang dilakukan demi menjadi pemegang jersi kuning dan menyedari setiap peserta Tour De France mungkin adalah superhero yang suka menyeksa diri semata-mata untuk melihat had kemampuan diri mereka sendiri. Tunggu apa lagi? Strim Tour De France Unchained di Netflix sekarang. Semoga bertemu anda di kelompok peloton!

Sohor Kini