Sejak ke belakangan ini tular di media sosial video pendek dengan tema filem Wes Anderson. Filem-filem beliau cukup terkenal kerana mempunyai warna pastel yang cantik, set penggambaran yang sedap mata memandang dan biasanya setiap filem akan menyertakan pelakon-pelakon hebat.
Filem terbaru beliau adalah Asteroid City yang akan masih belum ditayangkan di Malaysia. Baru-baru ini Variety melaporkan Anderson mempunyai satu lagi filem yang akan ditayangkan di Netflix iaitu The Wonderful Story of Henry Sugar. Filem pendek dengan durasi 37 minit ini diadaptasi daripada buku The Wonderful Story of Henry Sugar and Six More karya Roald Dahl. Ini menjadikan filem ini sebagai karya kedua beliau yang diadaptasi daripada buku Dahl selepas Fantastic Mr. Fox.
Filem ini mengisahkan Henry Sugar iaitu orang kaya yang gemar berjudi. Suatu hari beliau mendapat tahu mengenai seorang ahli silap mata yang boleh melihat menembusi apa-apa sahaja. Henry kemudian mencuri buku individu ini untuk belajar kemahiran sama untuk berjudi.
Genre filem ini adalah pengembaraan komedi dengan melibatkan pelakon seperti Benedict Cumberbatch, Ralph Fiennes, Dev Patel, Ben Kingsley, Rupert Friend, dan Richard Ayoade. Filem ini dijadualkan untuk disiarkan pada sekitar September di Netflix.