Pejam celik siri Assassin’s Creed sudah memasuki tahun ke-16 kewujudannya dan sebanyak 12 permainan utama telah dilancarkan setakat ini. Awal pagi tadi treler tata main Assassin’s Creed Mirage telah diperlihatkan dengan ia jelas menunjukkan siri ini akan kembali ke fitrah asal.
Kami katakan kembali kerana dari segi permainan ia lebih mirip Assassin’s Creed Unity dengan sentuhan Brotherhood. Parkour kembali menjadi elemen utama dengan watak menggunakan kepakaran akrobatik untuk mengembara di Baghdad dan melarikan diri apabila dikejar.
Penggunaan pelbagai gajet aktif seperti sumpit dan pisau yang boleh dilontar juga dikembalikan. Elemen yang tidak disertakan dalam Valhalla sebelum ini. Lebih penting sekali dari segi arahan visual ia mengingatkan kami kepada Assassin’s Creed pertama dari tahun 2007.
Kembali ke fitrah tidak bermaksud kesemuanya dikitar semula. Buat pertama kali penggunaan helang untuk mengintai sasaran boleh dihalang sekiranya terdapat pengawal yang boleh menembak. Watak Basim yang dikawal perlu membunuh pengawal terlebih dahulu sebelum helang boleh digunakan.
Satu lagi ciri baharu ialah pembunuhan sehingga tiga musuh dengan pantas yang tidak pernah diperlihatkan sebelum ini. Mengingatkan kami kepada ciri menembak secara berantai dalam Splinter Cell: Conviction. Assassin’s Creed Mirage akan ke PS4, PS5, siri Xbox dan PC pada 12 Oktober ini..