Jika anda seorang peminat moden siri permainan JRPG Final Fantasy, nama Naoki Yoshida adalah cukup terkenal kerana beliau adalah individu yang bertanggungjawab untuk menghidupkan kembali permainan MMORPG Square-Enix, Final Fantasy XIV dari ambang penutupan.

Setelah 10 tahun menghasilkan kandungan untuk permainan tersebut, Naoki Yoshida kini diberi tanggungjawab untuk menerbitkan sebuah permainan Final Fantasy utama, dan yang terbaru iaitu Final Fantasy XVI.

Permainan tersebut akan dilancarkan pada 22 Jun ini untuk konsol Sony PlayStation 5 secara eksklusif, dan PlayStation Asia baru sahaja mengumumkan bahawa Naoki Yoshida sendiri akan terbang ke Malaysia untuk bertemu dengan para peminat Final Fantasy di rantau ini di Kuala Lumpur.

Beliau akan berada di pusat membeli-belah Sunway Pyramid pada 1 Julai ini untuk bertemu dengan orang ramai, dan bagi anda yang berminat untuk bertemu lebih rapat lagi dengan beliau, anda boleh berpeluang untuk berjabat tangan dan bersapa dengannya sekiranya anda diantara 80 individu bernasib baik yang dipilih untuk bertemu dengannya.

Untuk ini, anda hanya perlu pra-tempah Final Fantasy XVI di kedai-kedai penjual permainan sah dan mendaftarkan minat anda di laman web ini. Penyertaan dibuka untuk rantau Asia Tenggara, termasuklah dari negara-negara seperti Singapura, Indonesia dan Thailand, tetapi Malaysia merupakan satu-satunya negara yang akan menerima 80 penyertaan, yang jauh lebih banyak berbanding negara-negara lain.

Sekiranya anda, seperti saya ialah peminat tegar Naoki Yoshida, sila tempah salinan Final Fantasy XVI anda dan cuba nasib anda untuk bertemu dengannya secepat yang mungkin.

Sohor Kini