Tayangan perdana filem Fast X baru sahaja usai di Amerika Syarikat malam tadi dan pagi ini beberapa berita mengejutkan mula dilaporkan. Pertama sekali Fast X yang menurut perancangan asal akan dibahagikan kepada dua, kini mungkin akan diubah menjadi sebuah trilogi sekaligus menjadikan siri utama The Fast and The Furious mempunyai 12 filem kesemuanya.

Ini disahkan sendiri oleh Vin Diesel yang juga merupakan penerbit siri filem yang sudah berjaya mengutip $6 bilion di box office global. Menurut Diesel, wakil studio Universal meminta beliau mengubah perancangan asal Fast X menjadi sebuah trilogi selepas menonton Fast X. Pengesahan rasmi masih belum dilakukan kerana ini sekadar temubual di karpet merah.

Lebih menakjubkan menurut laporan The Wrap pula, Dwayne “The Rock” Johnson juga disahkan kembali semula ke siri ini. Watak Luke Hobbs tidak muncul dalam Fast 9 kerana The Rock bertengkar dengan Vin Diesel. Pertelagahan antara dua pelakon ini menyebabkan filem Hobbs and Shaw diterbitkan pada tahun 2019. Sebelum ini Diesel cuba memujuk The Rock untuk kembali menerusi Instagram tetapi ditolak secara baik oleh bekas ahli gusti ternama ini.

Sohor Kini