Permainan video Fallout ialah yang aku rasakan antara yang terbaik pernah dihasilkan jika Fallout 4 dan Fallout 76 boleh dilupuskan daripada ingatan menggunakan Nebuliser Men in Black. Premis Fallout adalah mudah tetapi membolehkan ratusan kisah menarik diceritakan. Dalam setiap siri Fallout misteri di dalam bilik kebal bawah tanah menjadi titik tolak jalan cerita watak yang dikawal.

Tetapi sehingga sekarang, lebih 25 tahun sejak permainan pertama Fallout diterbitkan oleh Black Isle Studios kita masih belum melihat adaptasi filem atas siri rasminya. Bagi peminat tegar yang sudah tidak sabar menanti, aku boleh katakan setakat ini siri Silo di Apple TV+ ialah sehampir mungkin kepada adaptasi Fallout.

Apakah Silo?

Silo bukan siri copy ori Fallout untuk Apple TV+. Sebaliknya ia adaptasi daripada siri 9 buku Silo yang ditulis oleh Hugh Howey. Premis Silo ialah mengenai kehidupan ribuan manusia di dalam sebuah kubu bawah tanah. Dalam tiga episod pertama yang boleh distrim sekarang, watak-watak utama cuba merungkai misteri mengenai apakah yang wujud di luar kubu. Seperti dalam Fallout, mereka diberitahu bahawa udara di bumi sudah teruk tercemar mengakibatkan tiada manusia boleh hidup di luar Silo.

Tetapi selepas beberapa generasi terkurung di dalam Silo, wujud sebilangan kecil penduduk yang mula mempersoalkan fakta sejarah yang diceritakan secara turun temurun. Apakah sebenarnya terjadi menyebabkan ribuan manusia kini hidup seperti tikus mondok? Adakah benar udara di luar tercemar sehingga boleh membunuh? Siapa sebenarnya yang membina Silo? Kesemua persoalan ini cuba dijawab dalam musim pertama yang mempunyai 10 episod kesemuanya.

Pantas dan Mendebarkan

Tidak seperti kebanyakan siri misteri pasca-apokalips yang aku pernah tonton sebelum ini, Silo bergerak pantas. Setiap episod berakhir dengan cliffhanger yang membuatkan aku menjerit “kenapalah siri ini mingguan bukan terus semua macam siri Netflix?”. Bukan sahaja penceritaan dalam tiga episod pertama kemas, proses worldbuilding Silo juga tidak membosankan. Walaupun aku tak pernah membaca langsung buku-buku yang telah dihasilkan, aku boleh mengikuti plot utama, sejarah, dan mengenali watak-watak utama dengan mudah.

Ini dibantu oleh lakonan yang baik oleh teraju-teraju utama Silo yang terdiri daripada Rebecca Ferguson, Tim Robbins, David Oyelowo dan Rashido Jones. Menarik sekali melihat Tim Robbins dan Rebecca Ferguson berlakon siri TV. Kali terakhir seingat aku Rebecca Ferguson berlakon siri TV ialah pada awal 2000an dalam siri White Queen. Walaupun pada skrin kecil, Ferguson masih mampu memberikan lakonan yang mantap seperti mana mantapnya beliau sebagai Elsa Faust dalam siri Mission Impossible.

Selain lakonan yang mantap, kesan khas Silo juga harus diberikan pujian. Silo setinggi ratusan tingkat di bawah tanah nampak realistik. Kesan khas siri TV sekarang kerap kali tidak konsisten. Tetapi aku baru menonton tiga episod dan hanya boleh berharap kualiti boleh dikekalkan. Dalam siri Extrapolations juga di Apple TV+ sebelum ini, kualiti kesan khas menjadi semakin rendah di penghujung siri.

Patut Skrin Ke Tidak

Berdasarkan tiga episod pertama, aku sarankan Silo ditonton kerana setakat ini tidak ada episod yang membosankan, penceritaan adalah amat kemas setakat ini dan pelakonnya pula mantap-mantap belaka. Siri Fallout mungkin tidak akan wujud dalam masa terdekat tetapi Silo mengisi kekosongan ini dengan jayanya. Mungkin selepas ini boleh sarankan Apple untuk menerbitkan permainan video Silo pula untuk melengkapkan roda kehidupan.

Sohor Kini