Disney+ Hotstar adalah platform penstriman video Disney untuk pasaran luar Amerika dan Eropah. Melalui Hotstar, studio boleh memfokuskan kandungan asli tempatan berbanding Disney+ yang fokus kepada kandungan milik Disney sahaja.
Walaupun ramai merungut kenapa perlu aplikasi berasingan, kenapa di Malaysia Disney+ Hotstar masih tiada di semua televisyen pintar dan kenapa tidak boleh digunakan di luar negara Disney masih tidak mendengar keluhan jutaan pengguna mereka.
Baru-baru ini Disney mula menguji antaramuka baharu untuk pengguna Disney+ Hotstar di Malaysia. Antaramuka ini dikatakan adalah berasaskan Hotstar X yang diperkenalkan di India. Kemaskini antaramuka ini cuba membawakan rekaan tersendiri sambil mengekalkan elemen Hotstar yang semua sudah selesa.
Dalam kemaskini ini Disney membawakan sokongan profil di bawah Ruang Saya atau My Space. Buat masa ini hanya ada satu profil pengguna satu profil kanak-kanak sahaja boleh digunakan dengan kemampuan tukar gambar. Profil tambahan hanya akan tiba di masa akan datang. Di Ruang Saya juga terdapat butiran langganan, senarai peranti lain yang log masuk akaun, serta tetapan aplikasi seperti pilihan Muat Turun dan Kawalan Ibu bapa.
Di Ruang Saya turut akan memaparkan senarai tontonan pengguna dan senarai untuk teruskan menonton kandungan yang tidak habis ditonton. Bar di bawah juga kini hanya tiga ikon iaitu Laman Utama, Cari dan Ruang Saya memberikan fleksibiliti kepada pengguna untuk lebih mudah akses kandungan. Ruangan cari juga dioptimasikan agar keputusan keluar dengan lebih pantas.
Prestasi keseluruhan aplikasi juga adalah jauh lebih pantas dan lancar. Di skrin utama masih mudah mengakses kategori Siri, Filem atau Karya Asli. Sementara di hadapan turut ada tiles utama kategori besar seperti Disney, Pixar, Star Wars dan banyak lagi. Kategori Star pula memaparkan semua kandungan bukan milik Disney.
Setiap kandungan yang ditekan turut memaparkan butiran gaya baharu seperti judul besar di tengah, tahun, durasi, sokongan bahasa dan rating di bawah. Butang-butang Senarai Tontonan, Kongsi, dan Muat Turun juga lebih kemas tetapi saiz ikon dan sinopsis kini bertambah kecil. Untuk televisyen, aplikasi kini menyokong 4K, Dolby Atmos dan Dolby Vision. Sokongan IMAX masih belum dapat disahkan lagi.
Perubahan ini dilihat ditawarkan kepada pengguna Disney+ Hotstar Beta untuk Android dan pengguna Apple TV terpilih.