Diablo IV ialah permainan ARPG keluaran Activision-Blizzard yang akan dilancarkan pada 6 Jun kelak untuk platform PC dan juga konsol permainan Sony PlayStation dan Microsoft Xbox. Terkini, syarikat tersebut telah mengemaskini senarai spesifikasi PC yang diperlukan untuk menggerakkan permainan ini pada tetapan grafik yang berbeza.
Senarai spesifikasi ini terbahagi kepada empat, iaitu spesifikasi minima, spesifikasi pertengahan, spesifikasi tinggi untuk dimainkan pada resolusi Full HD dan juga spesifikasi Ultra 4K untuk mereka yang mahu menggerakkan permainan ini pada resolusi 4K.
Apa yang menarik mengenai senarai spesifikasi ini ialah untuk spesifikasi Ultra 4K, Diablo IV nampaknya menyarankan pengguna untuk menggunakan pilihan CPU yang tidaklah begitu baru, tetapi jumlah memori yang banyak (32GB) dan kad grafik sekurang-kurangnya NVIDIA GeForce RTX 3080 untuk kuasa grafik yang berkuasa, ataupun NVIDIA GeForce RTX 4000 supaya mereka boleh memanfaatkan teknologi penjanaan bingkai tambahan DLSS 3.0.
Dalam pada itu, pengguna juga nampaknya akan perlu untuk menyediakan jumla storan sebesar 90GB untuk memuat turun versi penuh permainan ini.
Sumber: Blizzard