Skip to main content

Tan Sri Michelle Yeoh ialah sebuah nama yang tidak asing lagi dalam industri perfileman Hollywood, dimana beliau telah hadir didalam sejumlah besar siri televisyen dan filem yang cukup popular sekali, dan diantaranya ialah Star Trek.

Didalam siri televisyen Star Trek: Discovery, beliau membintangi watak Kapten dan Maharani Philippa Georgiou yang merupakan watakk protagonis/antagonis didalam siri tersebut. Siri televisyen tersebut akan tamat disiarkan pada tahun 2024 kelak selepas lima musim disiarkan melalui platform penstriman Paramount+.

Akan tetapi, penjelajahan Philippa Georgiou didalam siri Star Trek nampaknya tidak akan berakhir kerana Paramount baru sahaja mengesahkan bahawa Michelle Yeoh akan kembali memainkan watak tersebut dalam filem Star Trek: Section 31.

Rumusan plot untuk filem ini ialah selepas insiden-insiden di Star Trek: Discovery selesai, Philippa Georgiou memasuki pula satu bahagian rahsia Starfleet Command yang dinamakan Section 31 yang bertanggungjawab untuk melindungi United Federation of Planets daripada ancaman-ancaman makhluk asing.

Nama Section 31 bukanlah sesuatu yang asing dalam dunia Star Trek. Ia diperkenalkan buat pertama kalinya didalam siri Star Trek: Deep Space Nine dan pernah juga diperlihatkan didalam iterasi Star Trek yang lain seperti Star Trek: Into Darkness dan Star Trek: Lower Decks.

Filem Star Trek: Section 31 ini sudahpun mula diplan sejak 2019 dan akan dikepalai oleh nama-nama seperti Craig Sweeny, Olatunde Osunsanmi dan Rod Roddenberry, anak kepada pencipta siri Star Trek, Gene Roddenberry.

Sumber: Empire Online

Leave a Reply