Di dalam filem Renfield, sangat jelas pengarah Chris Mckay bersama dengan penulis Robert Kirkman ingin hadir dengan filem yang straightforward yang dipenuhi dengan jenaka, aksi ganas, dan darah, banyak darah. Saya boleh katakan mereka berjaya melakukannya dengan sangat cemerlang.
Sepanjang 93 minit untuk filem ini, satu duration yang pendek jika dibandingkan dengan filem-filem sekarang, Renfield memberi pengalaman tontonan yang padat dan bergerak pantas tetapi pada masa sama memberi ruang untuk membina watak-watak, dan saya boleh katakan terdapat pelbagai watak yang setiapnya disampaikan secara ringkas tetapi berkesan.
Filem ini adalah mengenai Renfield lakonan Nicholas Hoult untuk beberapa dekad telah menjadi hamba kepada Dracula lakonan Nicolas Cage, dan sering ditugaskan dengan tanggungjawab untuk membawa mangsa kepada Dracula dan juga membantu apabila Dracula diserang oleh pemburu. Dia juga mempunyai kuasa apabila memakan serangga.
Perasaan tidak puas hati ini bertambah apabila dia bertemu dengan Rebecca Quincy lakonan Awkwafina yang merupakan seorang polis dan sangat bersungguh-sungguh untuk melawan dengan Teddy Lobo lakonan Ben Schwartz iaitu ketua kongsi gelap yang juga bertanggungjawab membunuh ayahnya walaupun polis-polis lain menjaga Lobo kerana telah dirasuah.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila Renfield secara tidak sengaja telah terlibat di dalam urusan Teddy Lobo yang membuatkan dia diburu oleh kumpulan kongsi gelap, tetapi pada masa sama diburu oleh polis kerana disyaki melakukan pembunuhan. Di dalam kecelaruan ini berlakukan segala bagai pertempuran dan filem ini menghasilkan sesi pertempuran yang sangat ganas dan sangat seronok untuk ditonton, melainkan anda tidak sukakan darah.
Menjadi lebih baik dengan setiap aksi pertempuran ini tidak dipotong ataupun saya tidak perasan jika ada bahagian yang dipotong. Penonton akan disajikan dengan aksi seperti memotong tangan, dan menggunakan tangan tersebut untuk memukul penjahat lain, ataupun tumbukan yang mematahkan tulang dengan diperlihatkan video x-ray seperti di ‘dalam permainan ‘Fatality’ di dalam permainan Mortal Kombat.
Selain aksi ganas ini, filem ini juga memberikan perkembangan watak yang berkesan dengan watak Renfield dan juga Rebecca Quincy dilakukan dengan baik, perhubungan di antara mereka berdua juga dilakukan dengan baik walaupun secara ringkas sahaja. Saya boleh katakan ini adalah lakonan Awkawafina yang berlainan dengan kebiasaan untuknya, selain membawa elemen komedi tetapi dia juga membawa lapisan lain di dalam filem ini.
Lakonan serta penulisan yang baik untuk kedua-dua watak itu, membuatkan watak Dracula tidak sangat menyerlah di dalam filem ini. Walaupun di bawah oleh Nicolas Cage serta poster promosi dipenuhi dengan watak Dracula akan tetapi, wataknya terasa sampingan sahaja dan sedikit kecewa kerana tidak benar-benar diberi peluang untuk dikembangkan lagi ataupun membawa sesuatu yang lebih menarik.
Mungkin sebab itulah filem ini digelar sebagai Renfield berbanding Dracula, namun jika anda tonton filem ini untuk menonton watak Dracula ataupun Nicolas Cage anda mungkin sedikit kecewa dengan apa yang diperlihatkan. Walaupun begitu, bahagian-bahagian di dalam filem ini masih lagi akan memberikan penonton pengalaman yang sangat baik terutama yang menyukai gory.
Pengalaman menonton filem ini juga ditambah-baik lagi dengan rekaan kostum, serta make-up yang sangat berkesan untuk memperlihatkan Dracula. Penggunaan muzik juga sangat efektif yang membantu setiap aksi di dalam filem ini menjadi lebih rancak.
Penafian: Tayangan awal untuk Renfield disediakan oleh UIP Malaysia bagi tujuan ulasan ini. Renfield akan mula ditayangkan pada 13 April 2023.