Selama ini animasi tempatan seperti BoBoiBoy dan Mechamato dihasilkan sepenuhnya oleh satu studio animasi di Cyberjaya iaitu Monsta. Baik siri animasi atau filem kedua-duanya mereka hasilkan sendiri. Tetapi bermula dengan BoBoiBoy Galaxy Musim 2 animasi tidak lagi akan dihasilkan oleh Monsta 100%.
Nizam Abd Razak selaku CEO Monsta memberitahu semalam yang mereka akan mula bekerjasama dengan individu serta studio luar. Melalui inisiatif Monsta Satellite, Monsta akan menghasilkan BoBoiBoy Galaxy Musim 2 dan projek lain berkaitan BoBoiBoy dengan pekerja bebas atau studio luar negara.
Monsta turut berubah kepada perisian Blender untuk menghasilkan animasi mereka. Perubahan ini dilakukan kerana ramai peminat asal BoBoiBoy kini sudah dewasa dan bekerja ada di antara mereka berminat untuk terus menjayakan animasi tempatan. Malah ada juga yang sedia mempunyai studio animasi sendiri.
Kelak kita akan nampak produksi animasi Monsta yang lebih lancar, pantas dan jelas sekali efisien. Saya sendiri tidak sabar melihat apakah perubahan dari segi kualiti akan berlaku dalam animasi Monsta akan datang.