CD Projekt Red, pembangun permainan video popular dari Poland baru-baru ini telah mengumumkan bahawa syarikat tersebut telah mencatatkan pendapatan tahunan sebanyak 953 juta PLN ($220 juta) pada tahun 2022.

Ia juga telah mengesahkan keuntungan bersih sekitar 347 juta PLN ($80 juta) dan mengatakan bahawa sebahagian besar daripadanya ialah kerana IP Cyberpunk 2077 mereka. Permainan video tersebut dilancarkan pada tahun 2020 dan menerima kecaman yang hebat kerana pelbagai isu yang membelenggu permainan tersebut.

Sepanjang 2021 dan 2022, CD Projekt Red dilihat telah memperbaiki permainan tersebut dan menambahkan kandungan serba baru, dan juga mengembangkan IP tersebut kepada siri animasi Cyberpunk Edgerunners di Netflix yang menerima pujian yang cukup banyak sekali.

Siri animasi tersebut dilihat pemangkin kepada peningkatan jualan permainan juga, mungkin kerana perkaitan diantara jalan cerita siri animasi tersebut, dan juga kehendak penonton untuk menikmati senario-senario didalam permainan tersebut.

Dari segi kandungan baru, CD Projekt Red turut mengesahkan bahawa DLC Cyberpunk 2077: Phantom Liberty akan dijual pada penghujung tahun ini, dan butiran mengenai DLC tersebut akan diperlihatkan sekitar bulan Jun ini.

Sohor Kini