Ulasan Razer Basilisk V3 Pro

Razer Basilisk V3 Pro adalah tetikus premium yang merupakan versi lebih baik untuk Basilisk V3. Tetikus ini sudah dikeluarkan pada Ogos tahun lepas, dan selepas beberapa bulan menggunakannya, saya boleh katakan Basilisk V3 Pro adalah antara tetikus yang terbaik pernah saya guna dan menjadikan berbaloi walaupun dengan harga permulaan yang tinggi.

Apa Di Dalam Kotak

Di dalam kotak selain mempunyai tetikus Razer Basilisk V3 Pro itu sendiri, terdapat juga USB receiver yang tersimpan di bahagian bawah tetikus, di belakang bateri untuk memudahkan penyimpanan apabila tidak digunakan ataupun berada di luar. Terdapat juga kabel USB-A ke USB-C jika ingin digunakan secara berwayar ataupun mengecas dan dongle adapter jika ingin memudahkan pemasangan receiver di tempat yang sukar untuk diakses.

Kami juga disediakan dengan Wireless Charging Puck dan Razer Mouse Dock Pro yang diperlukan jika ingin mengecas tetikus ini secara nirwayar, akan tetapi kedua-dua barangan ini tidak tersedia di dalam kotak dan perlu dibeli secara berasingan sama ada Wireless Charging Puck sahaja ataupun kedua-dua barangan dalam satu berkas.

Rekaan

Basilisk V3 Pro membawa rekaan yang sama seperti Basilisk V3 akan tetapi dengan tiga penambah-baikkan – versi Pro boleh digunakan secara nirwayar, tetapi juga boleh digunakan secara berwayar menggunakan port USB-C yang terdapat di bahagian depan untuk memudahkan penggunaan tetikus semasa mengecas. Seterusnya versi Pro menggunakan sensor yang lebih baik dan juga switch-optikal Gen-3 bagi butang kiri dan kanan untuk memberi pengalaman tekanan yang baik dan lebih jitu.

Bagi saya, tetikus ini mempunyai rekaan yang agak besar dengan lebar untuk cengkaman lebih kurang 62 mm. Saya dapat menggunakannya dengan selesa akan tetapi jika anda mempunyai saiz tangan yang lebih kecil, pengalaman mungkin akan berbeza. Saya juga menyukai di bahagian tepi terdapat bahagian untuk merehatkan ibu jari, yang bukan sahaja memberi cengkaman lebih tetapi menjadikan penggunaan lebih selesa.

Basilisk V3 Pro bagi saya bukanlah tetikus yang ringan, dengan berat 113 gram, saya akan terasa tetikus ini di-tangan dan juga semasa digunakan. Oleh kerana saya lebih gemar tetikus yang mempunyai ‘rasa’, berat untuknya adalah baik, namun jika anda mencari tetikus yang ringan ini bukan tetikus untuk anda.

Tetikus ini juga mempunyai logo dan jalur LED di bahagian roda dan juga bahagian bawah tepi yang menyokong Razer Chroma RGB. Kedudukan jalur LED ini memberi kesan lampu ke bawah tetikus yang memberikan kesan underglow.

Penggunaan

Saya boleh katakan yang Basilisk V3 Pro mempunyai antara lantai tetikus terbaik dengan penggunaan terasa sangat baik, menggerakkan tetikus tidak kira tahap sensitiviti yang saya gunakan adalah sangat baik, walaupun tanpa menggunakan mousepad.

Secara keseluruhan, terdapat 11 butang yang boleh diubah mengikut kegunaan, selain daripada dua butang fizikal yang terdapat di bahagian kiri tetikus, terdapat juga tambahan tetapan yang boleh dilakukan di butang kiri dan kanan, roda juga boleh digerakkan ke kira dan kanan untuk tambahan butang bersama dengan menekan roda itu sendiri.

Manakala di bawah roda terdapat butang untuk menukar tetapan roda yang mempunyai mod iaitu Tactile bagi penggunaan yang lebih jitu dan Free-Spin untuk tatar dengan lebih cepat. Tetapan Smart-Reel juga boleh dibuka untuk tetikus ubah secara automatik antara Tactile ataupun Free-Spin mengikut kelajuan anda menatal.

Bagi penggunaan semasa bermain permainan FPS contohnya, terdapat Senstivity Clutch di bahagian kiri berdekatan dengan tempat rehat ibu jari.

Bagi reaksi penggunaan saya tidak mempunyai sebarang masalah, saya tidak merasa sangat sebarang selar masa di antara pergerakan tetikus dengan pergerakan di monitor, walaupun semasa penggunaan yang cepat dan berterusan. Saya mengujinya menggunakan Polling Rate 1000Hz, tetikus ini juga menyokong 125Hz dan 500Hz.

Seperti mana-mana perkakas Razer, Basilisk V3 Pro juga boleh diubah tetapan menggunakan perisian Razer Synapse yang juga mempunyai tetapan untuk mengawal Chroma. Melalui Synapse anda boleh tetapkan penggunaan butang-butang yang berbeza, serta menambah profil yang berbeza untuk kegunaan berlainan. Profil boleh ditukar dengan mudah melalui butang yang terdapat di bahagian bawah tetikus.

Basilisk V3 Pro menyokong tiga jenis sambungan iaitu menggunakan Bluetooth, 2.4Ghz dan juga secara berwayar menggunakan kabel USB-C. Sebahagian besar semasa saya mencuba tetikus ini, saya menggunakan sambungan bluetooth semasa di komputer riba dan 2.4Ghz semasa di PC dan saya tidak merasa sebarang perbezaan.

Jika ingin mengecas ataupun sekadar ingin menggunakan secara berwayar, anda boleh gunakan kabel USB-C untuk menggunakan secara berwayar dan boleh menutup sambungan bluetooth dan juga 2.4Ghz bagi menjimatkan penggunaan bateri.

Bateri

Razer mengatakan yang Basilisk V3 Pro boleh bertahan sehingga 90 jam jika tidak membuka sebarang RGB, pada penggunaan saya sendiri, saya boleh katakan tetikus ini bertahan lebih kurang 70-80 jam untuk satu pengecasan penuh yang bagi saya sudah cukup baik, terutama kerana walaupun bateri sudah kosong, tetikus masih boleh digunakan secara berwayar.

Selain melihat di bahagian bluetooth, ataupun melalui perisian Synapse, tetikus ini juga menggunakan lampu untuk memperlihatkan status bateri dengan apabila berkelip merah menandakan bateri kurang daripada 5%.

Menggunakan perisian Synapse, anda boleh menetapkan jika ingin meletakkan tetikus di dalam mod ‘Sleep’ selepas beberapa minit tidak digunakan, selain itu boleh juga menetapkan tetikus untuk memasuki Low Power Mode apabila bateri mencecah peratusan tertentu yang mengurangkan tracking speed serta sensor acceleration untuk mengurangkan penggunaan bateri.

Bagi pengecasan pula, anda boleh menggunakan kabel USB-C, ataupun secara nirwayar tetapi memerlukan pembelian yang berasingan seperti saya katakan di atas. Pengecasan mengambil masa lebih kurang 4 jam dari kosong ke penuh.

Rumusan

Akhir kata, Razer Basilisk V3 Pro adalah tetikus yang sangat selesa untuk digunakan terutama kerana saiznya adalah bersesuaian dengan saiz tangan saya, selain itu tetikus ini juga mempunyai berat yang saya sukai. Bagi yang mempunyai saiz tangan yang lebih kecil ataupun lebih menyukai tetikus yang ringan, pengalaman mungkin akan berbeza.

Dengan pelbagai teknologi yang disertakan di dalam tetikus ini menjadikannya sebagai antara tetikus terbaik yang pernah saya guna. Setiap pergerakan serta tekanan terasa lancar, walaupun untuk bermain permainan-permainan yang berbeza kelajuannya. Perlu disebut juga yang rekaan sangat baik dan penggunaan RGB Chroma menjadikannya satu tetikus yang menawan untuk dilihat.

Semasa pelancaran, Razer Basilisk V3 Pro ditawarkan dengan harga RM799, ataupun RM859 untuk tambahan Wireless Charging Puck dan RM1,019 untuk bersama dengan Mouse Dock Pro serta Wireless Charging Puck.

Fotografi oleh Khairunisa Aqilah untuk Aksiz

Sohor Kini