Ulasan John Wick 4

Jardani Jovonovich, Baba Yaga atau nama sebenar John Wick adalah seorang pembunun upahan yang legenda. Beliau terkenal dengan skil pembunuhan dengan menggunakan sebatang pensel sahaja. Wick bekerja di bawah organisasi pembunuh upahan High Table yang telah pencen dan hidup bahagia. Tetapi suatu hari anjing beliau yang dihadiahkan oleh mendiang isteri dibunuh beliau kembali berkhidmat. Tetapi kali ini untuk membalas dendam.

Bayangkan hanya disebabkan seekor anjing sahaja, beliau telah menyebabkan keruntuhan organisasi High Table yang mengendalikan ribuan atau mungkin jutaan pembunuh upahan lain. Bukan itu sahaja, filem John Wick juga telah sampai yang keempat.

Di saat ini siapa sahaja tidak mengenali John Wick yang dilakonkan oleh Keanu Reeves? Artikel kali ini adalah mengenai pengalaman aku menonton John Wick 4 di pawagam. Berani aku katakan ini adalah filem John Wick terbaik (pada aku). Tetapi adakah filem ini sesuai untuk semua orang? Malah adakah jika anda menontonnya ia akan menjadi filem aksi ngeri terbaik untuk anda?


Apa Kisahnya?

Seperti sekuel John Wick yang lain, John Wick 4 bersambung secara terus kepada filem sebelumnya. Cuma permulaan kali ini sedikit berbeza kerana sudah filem bermula dengan Wick yang sedang berlatih. Filem kali ini mengisahkan Wick untuk membalas dendam kepada High Table yang telah menganiaya beliau. Ini bermakna beliau perlu membunuh Elder dan menghentikan High Table demi kebebasan dan keamanan sendiri.

Tetapi sebelum itu, beliau harus menempuhi banyak cabaran kerana ada musuh yang akan cuba menghentikan beliau. Bukan itu sahaja, pengembaraan Wick ini turut memaksa beliau menyerang kawan baik walaupun tidak diingini.

Selain pelakon biasa dalam filem John Wick 4, Donnie Yen turut berlakon dalam filem ini sebagai Caine iaitu seorang pembunuh upahan buta yang juga merupakan kawan baik Wick. Kemudian menyertai beliau adalah Bill Skarsgård sebagai Marquis Vincent de Gramont orang kuat High Table yang mencabar Wick, Hiroyuki Sanada sebagai pengurus Osaka Continental Hotel, anak beliau Akira sebagai pekerja rencam dan Shamier Anderson sebagai pembunuh misteri.

Pengalaman Menonton

John Wick 4 adalah filem aksi ngeri tanpa henti terbaik pernah aku tonton. Mula sahaja filem sudah ada aksi tembak-menembak yang akan mengingatkan aku kembali kepada filem John Wick: Chapter 3 – Parabellum. Filem kali ini bukan sekadar aksi mantap sahaja tetapi penuh dengan drama dan emosi yang akan memberi kesan kepada penonton.

Sebelum aku tonton filem ini, aku telah maratonton ketiga-tiga John Wick, jadi memori aku masih segar. Filem ini meneruskan watak Bowery King lakonan Laurence Fishburne yang membantu misi membalas dendam John Wick. Ini mengukuhkan lagi hubungan Wick dan King sebagai kawan yang baik dan membuktikan kepada penonton pembunuh upahan hebat pun boleh ada ramai kawan.

Fokus filem ini bukan sahaja pada Wick ingin memburu High Table, tetapi organisasi pembunuh upahan ini turut mempunyai wakil yang berkuasa iaitu Marquis Vincent de Gramont yang mencabar Wick. Apa yang Marquis lakukan dalam filem ini akan membuatkan penonton persoalkan, kenapa hebat sangat kuasa beliau. Cara beliau cuba menghentikan Wick adalah pada tahap ekstrem dengan menyerang semua individu yang terlibat dengan Wick, baik kawan lama atau yang membantu beliau.

Watak yang dilakonkan oleh Bill Skarsgård ini membuatkan aku bertambah minat kepada pelakon ini. Watak beliau nampak bersahaja, tetapi sebenarnya tidak kerana menyimpan dendam dan merupakan seorang yang hidung tinggi. Cuma aku tidak boleh buang imej Pennywise dalam minda aku.

Menjadikan filem ini lebih menarik adalah lakonan Shamier Anderson yang menjadi pembunuh misteri yang turut memburu Wick. Beliau yang menggelarkan diri sebagai Mr. Nobody merupakan seorang yang berbakat dan sama hebat seakan Wick. Motif beliau hanyalah inginkan wang ganjaran memburu Wick, tetapi prestasi lakonan beliau cukup meyakinkan aku dan mengharapkan jika ada filem sampingan aku ingin tonton filem ala John Wick lakonan Anderson.

Bukan filem John Wick jika tiada anjing. Tetapi anjing dalam filem ini ada twist. Aku tidak ingin beberkan kenapa, tetapi anjing ini sungguh menggerunkan dan telah membantu Wick untuk menjayakan misi beliau.

Watak seterusnya yang aku ingin kongsi adalah Caine lakonan Donnie Yen. Beliau adalah seorang pembunuh upahan juga di bawah High Table. Tetapi lebih hebat kerana merupakan seorang yang buta. Caine juga telah pencen sama seperti Wick, tetapi dipaksa untuk kembali berkhidmat. Lakonan Donnie Yen adalah apa yang aku jangkakan. Seperti mana anda lihat beliau dalam filem IP Man dan dalam treler John Wick 4 sehebat itulah beliau beraksi. Sungguh hebat, menakutkan dan jangan sesiapa berani sentuh beliau kerana percayalah dalam beberapa saat sahaja beliau boleh ragut nyawa anda.

Untuk John Wick sendiri lakonan Keanu Reeves, beliau adalah sepertimana dalam filem sebelum. Cara lakonan seakan orang yang malah kerana bercakap sepatah demi sepatah. Tetapi entah kenapa dalam minda aku, beliau sentiasa nampak cool dalam filem ini. Mungkin kerana sudah tahu berdasarkan video di sebalik tabir, kebanyakan aksi beliau lakukan sendiri. Malah cara mengendalikan senjata juga beliau belajar sendiri untuk prestasi lakonan yang realistik.

Filem ini turut memuaskan kerana penulisan skrip yang baik. John Wick 4 penuh dengan drama dan seperti aku katakan tadi turut bermain dengan emosi. Filem ini mempunyai durasi 2 jam 48 minit, yang mana adalah sangat panjang untuk sebuah filem aksi ngeri. Tetapi dengan arahan Chad Stahelski yang baik, filem ini tidak rasa perlahan pun. John Wick 4 masih menggunakan format seakan filem Parabellum, di mana banyak melibatkan Wick merantau ke banyak negara luar.

Setiap adegan pada aku penting kerana membina watak dengan baik serta meneroka lagi dunia John Wick yang besar. Berdasarkan apa yang aku tonton, jelas sekali studio boleh kembangkan francais John Wick ke siri dan filem sampingan yang lebih banyak selain Ballerina dan Continental.

John Wick 4 turut menyelitkan banyak elemen komedi yang menceriakan lagi keadaan yang menggerunkan. Ramai di kalangan penonton semasa aku tonton tadi memahami setiap jenaka dan kami ketawa bersama. Sudah tentu tidak lupa juga kepada koreografi aksi tumbuk-menumbuk, tembak-menembak dan lawan pedang. Setiap aksi membuatkan aku tonton dengan pengalaman mengasyikkan.

Walaupun aksi dalam filem ini nampak sama, tetapi menjadikannya unik dan berbeza dengan filem John Wick lain adalah pergerakan dan sudut pandangan kamera. Ada satu adegan ini mempertontonkan dari pandangan atas seakan sebuah permainan video bergerak dalam pagar sesat. Aku rasa aku tidak pernah tonton lagi filem aksi dengan pandangan sebegini.

Kesimpulan

Filem ini hanya akan ditayangkan di pawagam pada 23 Mac nanti iaitu pada hari pertama Ramadan. Mereka yang meminati John Wick, John Wick 4 adalah sebuah filem yang wajib ditonton. Dengan drama yang baik, aksi yang hebat serta cerita yang lebih menarik aku yakin ramai akan sukakan filem ini. Tetapi penyampaian filem ini pada aku mungkin tidak semua akan bersetuju dengan pendapat aku.

John Wick 4 di Malaysia menerima rating 18 oleh LPF. Filem ini tidak dipotong langsung dan anda boleh saksikan semua aksi ngeri di dalamnya dengan penuh kepuasan. Cuma bahasa kesat sahaja telah dibisukan.

Oh ya, jangan lupa untuk tunggu sehingga habis kredit kerana ada satu adegan tambahan pasca-kredit.

John Wick 4
Tayangan Bermula 23 Mac
John Wick kali ini memburu High Table kerana tidak puas hati dengan keputusan mereka. Tetapi beliau telah dihalang oleh High Table dengan mereka menghantar lebih banyak pembunuh dan memaksa kawan baik berubah menjadi musuh. Ini adalah filem aksi ngeri terbaik pernah ditayangkan, penuh dengan drama serta turut ada komedi. Peminat John Wick pasti akan gembira dengan filem ini.
Positif
Prestasi lakonan yang hebat oleh watak sampingan
Pembinaan dunia John Wick yang lebih besar dan banyak potensi
Koreografi aksi yang memuaskan tanpa sebarang adegan dipotong
Penulisan skrip yang baik dengan keseimbangan antara aksi, drama, emosi dan komedi
Negatif
10

Sohor Kini