Anda mungkin mengenali Zachary Levi sebagai pelakon dalam filem SHAZAM! dan Fandral dalam filem Thor: Darkworld serta Thor: Ragnarok. Tetapi saya mengenali beliau dalam siri Chuck.
Chuck sehingga hari ini masih lagi salah satu siri kegemaran saya. Chuck mengisahkan Levi sebagai Chuck Bartowski seorang pakar IT di sebuah kedai gajet Buy More (parodi kepada BestBuy). Dalam siri ini beliau secara tidak sengaja mengakses Intersect, program yang dipenuhi maklumat rahsia kerajaan Amerika termasuk data-data perisik CIA dan terus “terpasang” ke dalam otak beliau.
Chuck adalah siri aksi komedi dengan lima musim. Ia mula disiarkan pada tahun 2007 dan tamat pada tahun 2012. Levi kini menyatakan beliau masih berharap Chuck akan diadaptasi ke filem.
Dengan Levi bekerja bersama Warner Bros. untuk Shazam! dan studio ini juga memegang hak kepada siri TV Chuck, perbincangan awal untuk menghasilkan filem Chuck sudah bermula. Pencipta Chuck iaitu Josh Schwartz dan Chris Fedak turut dikatakan bersetuju untuk menulis skrip filem.
Bukan itu sahaja, Levi turut berharap yang jika filem dihasilkan pelakon asal seperti Yvonne Strahovski, Adam Baldwin, Joshua Gomez, Sarah Lancaster dan ramai lagi akan turut dapat kembali bersama.
Sumber: Deadline