Ted Lasso Musim 3 Bermula Dengan Penuh Drama Menarik

Aku akhirnya berpeluang menonton siri TV komedi paling popular di Apple TV+ iaitu Ted Lasso musim ketiga. Siri ini turut memenangi banyak anugerah kerana penulisan skrip yang baik dan prestasi lakonan yang mantap.

Siri mengisahkan pengurus dan pelatih pasukan bola sepak AFC Richmond ini seronok ditonton, walaupun aku tidak meminati bola sepak (atau mana-mana sukan) aku masih boleh tonton Ted Lasso musim pertama dan kedua dengan pengalaman yang memuaskan.

Musim ketiga ini mempunyai 12 episod, tetapi ulasan aku ini adalah untuk episod pertama sehingga keempat berdasarkan akses awal yang Apple berikan. Ketika artikel ini ditulis, Ted Lasso musim ketiga baru satu episod sahaja disiarkan dengan episod kedua akan tiba pada 22 Mac nanti.

Bagaimanakah pengalaman menonton aku untuk empat episod siri TV ini? Adakah lebih menarik atau tidak, kerana musim ini adalah musim terakhir?


Apa Kisahnya?

Bagi yang mengikuti siri TV komedi ini, musim lepas pembantu Ted iaitu Nathan Shelly telah berpindah ke pasukan pesaing iaitu Westham United dan menjadi pengurus. Jadi musim ini memfokuskan perlawanan antara AFC Richmond dan Westham United. Richmond diketuai oleh Ted yang memendam banyak perasaan marah serta masih buntu akan masalah umah tangga ditemani oleh Roy Kent bekas pemain utama Richmond bersama dengan Beard. Sementara Westham pula oleh Nathan yang turut memendam perasaan benci kepada Richmond.

Disamping itu, watak-watak lain seperti Keeley yang sibuk membangunkan dan menjayakan syarikat PR beliau yang menguruskan pemasaran dan promosi Richmond, Rebecca pemilik pasukan bola sepak ini yang perlu memikul banyak tanggungjawab serta konflik antara semua pemain.

Pengalaman Menonton

Memandangkan ulasan ini adalah berdasarkan episod pertama sehingga keempat, aku tidak akan membeberkan apa-apa maklumat dan hanya akan menceritakan pengalaman menonton aku sahaja. Aku ingin anda semua tonton dengan pengalaman yang baik.

Baiklah, semasa aku menonton episod satu dan dua aku terus murung kerana rasa kecewa dengan penyampaian cerita siri TV ini. Aku nampak apa yang penulis dan pengarah ingin sampaikan, cuma pada aku ia tidak sampai. Ini secara tidak langsung menjadikan dua episod pertama rasa perlahan dan mengurangkan semangat aku untuk terus tonton.

Tetapi disebabkan ini adalah musim terakhir Ted Lasso, aku cuba beri peluang dan cuba teruskan menonton dua episod lagi. Mengejutkan, episod tiga dan empat adalah antara episod terbaik setakat ini. Malah aku rasakan dua episod ini adalah lebih baik dari mana-mana episod yang disampaikan pada musim pertama dan kedua.

Banyak komedi yang membuatkan aku tergelak terbahak-bahak kerana skrip yang bijak. Dilakonkan pula oleh pelakon yang sangat berbakat yang berjaya membawa watak masing-masing dengan penuh emosi.

Hanya kerana dua episod ini sahaja, siri TV ini terus memberi keyakinan kepada aku yang musim terakhir Ted Lasso ini mungkin antara yang terbaik. Aku tidak tahu apa yang siri ini sampaikan sama dengan kelab bola sepak di dunia nyata, tetapi untuk aku yang tidak mengetahui apa pun mengenainya sedikit sebanyak belajar apa yang berlaku di sebalik sebuah pasukan bola sepak.

Baik dari kisah pengurus yang mengendalikan setiap pemain, pemilik yang buntu untuk memastikan kejayaan, sebarang perjanjian untuk promosi, pengambil-alihan pemain kelab lain ke kelab sendiri dan banyak lagi.

Tidak lupa juga yang setakat yang aku tonton empat episod ini, semua pelakon masing-masin semakin berseri. Seronok aku lihat perkembangan watak masing-masing. Bagaimana setiap watak ini cuba sedaya upaya untuk berubah menjadi insan yang lebih baik turut memberi impak kepada diri sendiri untuk lebih sedar dan membentuk diri menjadi yang terbaik.

Sudah semestinya ini adalah siri TV Apple TV+, jadi kualiti produksi sentiasa hebat. Dari pergerakan kamera, suntingan, warna semuanya baik sekali. Ini adalah antara drama lain di platform penstriman video Apple yang berkualiti.

Kesimpulan

Jika anda sudah tonton Ted Lasso musim pertama dan kedua, aku amat sarankan anda tonton musim baharu ini. Aku masih tidak tahu apa yang akan berlaku dalam episod lima dan seterusnya, tetapi tidak kira apa yang berlaku aku tetap akan tonton kerana tidak tahu bila lagi aku akan dapat saksikan drama seperti ini. Mungkin nanti ada siri sampingan tetapi mungkin tidak. Siri ini penuh dengan drama menarik, nilai yang memberi pengajaran dan aku yakin akan memberi anda semua pengalaman menonton yang anda tidak pernah saksikan pada siri TV lain.

Ted Lasso musim ketiga episod pertama sudah boleh ditonton di Apple TV+, sementara episod kedua pada 22 Mac ini dan episod seterusnya adalah secara mingguan pada setiap hari Rabu.

Sohor Kini