Musim ketiga The Mandalorian mula ditayangkan tiga minggu lalu. Ulasan kami di Aksiz sedikit lambat kerana berdasarkan pengalaman terdahulu, siri TV memerlukan beberapa episod untuk “memanaskan enjin”. Dalam kes The Mandalorian, hyperdrive kelas satu yang digunakan dalam kapal angkasa Naboo N-1 milik Mando mengambil masa tiga hari untuk memanas membolehkan pergerakan antara najam yang lebih lancar.

Jelas keputusan untuk menangguh ulasan ini adalah langkah yang tepat kerana dua episod pertama terasa sedikit perlahan. Beberapa tahun sudah berlalu sejak berakhirnya musim kedua The Mandalorian. Maka banyak maklumat perlu diceritakan kepada penonton yang mungkin ramai tidak menonton The Book of Boba Fett. Mengapa Grogu tiba-tiba kembali diceritakan semula dalam satu episod. Kemudian kita melihat kepada apa yang berlaku kepada Bo-Katan Kryze selepas gagal memenangi Dark Saber daripada Moff Gideon.

Pada musim pertama kita mengikuti perjalanan Din Djarin dengan Grogu dan musim kedua pula melihat perjalanan Din Djarin memulangkan Grogu kepada kumpulan Jedi yang kini bertebaran selepas Order 66. Untuk musim ketiga perhatian diberikan kepada Din Djarin sepenuhnya dengan setakat ini kita disajikan dengan cerita bagaimana beliau boleh kembali diterima sebagai seorang ahli Mandalorian selepas dituduh “murtad” kerana membuka helmet.

Perubahan yang kami rasakan baik kerana sampai bila The Mandalorian ingin menggunakan Grogu sebagai penggerak plot utama. Siri ini diberikan nama The Mandalorian dan cocok sekali pada musim ketiga akhirnya kita dapat meneroka dengan lebih mendalam mengenai kaum Mandalorian yang mempunyai reputasi sebagai kaum gemar berperang seakan kaum Saiyan.

Misteri mengenai apa yang berlaku pada planet Mandalore, rahsia sebalik simbol tengkorak yang dianggap suci oleh kaum ini dan acara yang dilakukan ketika mereka kali terakhir membuka helmet disentuh dalam tiga episod pertama. Walaupun aku yakin peminat siri ini mungkin ramai sudah arif dengan lore kaum ini, penerangan yang lebih ringkas dalam siri ini adalah lebih mudah berbanding membaca puluhan artikel di Wookiepedia.

Episod ketiga setakat ini mungkin episod yang terbaik kerana meneroka apa yang terjadi kepada bekas pengikut The Empire selepas kematian The Emperor, Darth Vader dan meletupnya Death Star. Tumpuan diberikan kepada watak sampingan yang kecil sekejap sahaja kemunculannya dalam musim-musim terdahulu. Jika anda sering tertanya-tanya apa yang terjadi kepada kesemua kapal angkasa, senjata, baju zirah, dan teknologi The Empire pasca episod 6? The Mandalorian musim ini ada jawapannya.

Aku tak akan spoilerkan apa yang berlaku tetapi cerita yang bergerak secara sisi daripada jalan cerita utama seperti ini memang cukup gemari. Sama seperti episod tiga (Long, Long Time) The Last of Us dan episod enam (The Sound of Her Wings) The Sandman. Tetapi aku akui ada sebilangan penonton yang tidak sukakan episod “filler” yang tidak menggerakkan plot utama.

Permulaan musim ketiga setakat ini adalah agak perlahan tetapi menghampiri penghujung episod 3 hala tuju jalan cerita semakin jelas. Jika anda tidak suka dengan pacing setakat ini, anda tiada pilihan kerana This is The Only Way dari sudut pandangan Feloni dan Favreau.

Sohor Kini