Ulasan Imaginur

Dalam lambakan filem-filem tempatan yang kita boleh kategorikan sebagai kurang menarik ataupun biasa-biasa sahaja, akan ada beberapa filem yang melepasi segala jangkaan dan memperlihatkan kualiti yang kita boleh katakan “kagum, filem ini adalah hasil buatan tempatan”. Antara filem tersebut adalah KIL yang dikeluarkan pada tahun 2013 dan diarahkan oleh Nik Amir Mustapha dan lakonan Redza Minhat.

10 tahun kemudian, filem terbaru arahan Nik Amir sekali lagi saya boleh letakkan di dalam kategori filem yang melepasi segala jangkaan. Filem yang ditulis olehnya bersama dengan Redza Minhat adalah satu penceritaan yang akan mengelirukan tetapi memberi kepuasan pada akhirnya. Filem ini berjaya membawa elemen romantik, kehidupan dan juga misteri dengan baik sekali dan setiap-nya menguatkan satu sama lain.

Berbeza dengan filem KIL, di mana saya sekadar ‘ter’-tengok, saya tonton Imaginur selepas mendengar ulasan yang baik dari orang-orangnya menontonnya. KIL adalah satu serendipity manakala Imaginur saya mempunyai jangkaan tersendiri dan saya boleh katakan Imaginur memberikan pengalaman tontonan yang lebih baik berbanding KIL walaupun saya tonton dengan harapan yang agak tinggi.

Penceritaan memfokuskan kepada seorang lelaki bernama Zuhal lakonan Beto Kusyairy, seperti satu planet, yang mengalami kecelaruan di dalam kehidupannya. Dia sedang menjaga bapanya yang mengalami alzheimer tetapi pada masa sama, dia juga sering hilang dari arus kehidupan dan tidak sedar dengan apa yang berlaku di persekitarannya.

Di dalam percubaan untuk merawat perkara tersebut, Zuhal telah pergi bertemu dengan Dr Ramli lakonan Afdlin Shauki yang mempunyai cara rawatan yang aneh dengan menggunakan hipnosis. Berbanding dirawat, keadaan Zuhal menjadi semakin bercelaru dan pada masa sama dia juga telah bertemu dengan seorang perempuan bernama Nur lakonan Diana Danielle.

Dengan cara penyampaian filem ini, mungkin ramai yang cuba untuk menganalisa segala adegan semasa menonton, dan cuba memahami apa yang berlaku. Filem ini akan meminta-minta untuk penonton berfikir, tetapi pada masa sama, tidak memberikan segala informasi untuk membantu pemikiran tersebut. Namun, bagi saya cara terbaik untuk menonton filem ini adalah dengan membiarkan sahaja setiap adegan berlaku.

Filem ini membicarakan topik yang agak berat seperti realiti ataupun fantasi, satu memori ataupun perkara yang sedang berlaku, masa depan atau masa lepas, akan tetapi setiap bahagian disampaikan dengan ringan dengan memberi keutamaan kepada perhubungan Zuhal dengan orang-orang disekitarnya, terutama dengan Nur.

Jika dibuang segala perkara yang membawa kemisterian di dalam filem ini, Imaginur masih lagi filem romantik yang baik, yang juga boleh dianggap sebagai satu komedi akan tetapi Nik Amir dan Redza Minhat menjadikan filem ini lebih daripada itu yang akhirnya memberikan pengalaman menonton yang memuaskan.

Lakonan kedua-dua watak utama bersama dengan beberapa lagi watak seperti Isma lakonan Nadiya Nissa yang merupakan kakak kepada Zuhal, Bapa Zuhal lakonan Mior Hashim Manap membawa watak mereka dengan sangat baik. Semasa sesuatu adegan meminta untuk menyampaikan sesuatu emosi emosi, setiap lakonan berjaya disampaikan dengan berkesan.

Filem ini juga disampaikan dengan ringkas, dari segi pilihan adegan, suntingan, penggunaan kamera kesemuanya adalah ringkas sahaja yang bagi saya membantu untuk memberi fokus kepada misteri melalui penceritaan dan bukan melalui penggunaan suntingan ataupun kesan efek yang terlalu melampau. Kesederhanaan ini bagi saya memberi pengalaman yang lebih baik untuk saya menontonnya.

Kebiasaan untuk filem-filem yang berat ataupun membuatkan penonton berfikir, adakah pengakhiran menjadi tidak jelas, ataupun seperti saya menonton TENET dan perlu melakukan carian di Google untuk memahami apa yang berlaku? Bagi Imaginur saya merasakan tidak, selepas penceritaan habis saya boleh katakan memahami apa yang berlaku. Ia berlainan dengan apa yang saya rasakan pada awalnya, tetapi masih jelas dan faham dengan apa yang benar-benar terjadi.

Bagi saya perkara itu bukanlah sesuatu yang negatif, sebaliknya membantu untuk memberikan kepuasan tontonan, oleh kerana perkara ini jugalah yang saya katakan di atas, penonton tidak cuba untuk merungkai setiap bahagian sebaliknya menerima sahaja apa yang berlaku kerana di pengakhirannya kesemua perkara tersebut akan serba sedikit masuk akal. Sedikit rungutan yang saya boleh katakan adalah ada beberapa bahagian yang disampaikan dengan terlalu cepat yang mungkin menyebabkan kekeliruan kepada penonton.

Akhir kata, Imaginur adalah satu filem yang menyentuh pelbagai perkara yang bukan sesuatu sering dibincangkan di dalam filem-filem tempatan, pada masa sama, filem ini juga tidak terlalu ingin menjadi mengelirukan sebaliknya memberikan satu misteri yang apabila terjawab memberi kepuasan kepada penonton tanpa perlu untuk membuatkan penonton tergaru-garu kepala bagi memikirkan apa yang ingin disampaikan. Saya boleh katakan, filem ini menggunakan konsep less is more dengan baik sekali dan saya tidak boleh katakan dengan lebih lagi – tontonlah filem ini.

Imaginur
Imaginur adalah filem penuh dengan imaginasi dan juga cahaya misteri yang membantu memberikan pengalaman yang baik untuk ditonton.
Positif
Penceritaan Menarik Dan Mendalam
Lakonan Berkualiti
Penyampaian Ringkas Tetapi Berkesan
Negatif
Ada Bahagian Penting Disampaikan Dengan Terlalu Cepat
9

Sohor Kini