Microsoft melalui kenyataan yang diberikan kepada Competition and Markets Authority (CMA) dikongsikan oleh CharlieIntel, mengatakan yang perancangan jangka panjang untuk penawaran permainan mudah alih mereka adalah menamatkan sokongan Call of Duty Mobile selepas Warzone Mobile dikeluarkan.
Buat masa ini masih tidak disahkan lagi jika COD Mobile akan betul-betul ditamatkan, kerana permainan ini tidak dibangunkan oleh Activision secara sendiri, sebaliknya ia sepenuhnya dibangunkan dan diterbitkan oleh TiMi Studios.
Penerbitan COD Mobile di Asia Tenggara juga dikawal selia oleh Garena, dan bukan Activision. Oleh itu, pengumuman ini sudah semestinya mencetus persoalan jika TiMi Studios dan juga penerbit lain seperti Garena ingin menamatkan penawaran permainan ini.
Perkara ini boleh dikatakan sama dengan pengeluaran PUBG New State oleh PUBG Corporation namun mereka tidak meminta untuk PUBG Mobile ditamatkan kerana permainan tersebut dibangunkan oleh LightSpeed & Quantum Studio dan diterbitkan secara global oleh Level Infinite dan bukan oleh mereka sendiri.
Buat masa ini TiMi Studios dan juga Garena masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai masa depan permainan COD Mobile.