Hellboy adalah filem pada tahun 2004 yang diadaptasi dari komik Dark Horse Comics, Hellboy: Seed of Destruction oleh Mike Mignola. Filem in menerima sambutan yang baik sehingga sekuel Hellboy II: The Golden Army ditayangkan pada tahun 2008. Kedua-dua filem ini diarah dan skrip ditulis oleh Guillermo del Toro, sementara Ron Perlman memainkan watak Hellboy.
Tahun 2019, filem diolah semula dengan David Harbour sebagai Hellboy. Kali ini skrip adalah oleh Andrew Cosby dan diarahkan oleh Neil Marshall. Tetapi filem ini tidak menerima sambutan yang baik.
Kini, Variety melaporkan Hellboy akan diolah semula. Di mana filem olahan semula ini akan diadaptasi dari komik Hellboy: The Crooked Man yang turut akan menjadi judul filem. Mike Mignola kali ini akan menjadi penulis skrip dengan Brian Taylor sebagai pengarah.
Dalam komik, kisah The Crooked Man ini berlaku pada tahun 1950-an di Appalachia. Hellboy bekerjasama dengan seorang ejen muda untuk merungkai komuniti ahli sihir yang menyembunyikan diri. Filem baharu ini tidak akan ada kaitan dengan filem lepas dan dikatakan akan menjadi versi asli untuk kisah dan perwatakan Hellboy dalam bentuk filem.
Masih tiada tarikh tayangan, sinopsis penuh serta senarai pelakon lagi. Tetapi filem ini akan memulakan penggambaran pada bulan Mac nanti.