Skip to main content

The Fabelmans adalah filem yang menceritakan mengenai seorang kanak-kanak yang di bawa untuk menonton filem buat pertama kali dan terus jatuh cinta dengan seni menghasilkan filem, namun ini bukan fokusnya.

The Fabelmans adalah filem yang menceritakan mengenai perhubungan suami yang seorang genius di dalam bidang teknologi dan seorang yang “kolar putih” manakala isterinya juga adalah seorang yang genius tetapi di dalam bidang muzik dan seorang yang lebih gemar hidup secara bebas, namun ini bukan fokusnya.

The Fabelmans adalah filem yang melihat bagaimana kanak-kanak berbangsa yahudi terpaksa menghadapi buli di sekolah dan bagaimana dia melaluinya di-samping masalah yang sedang berlaku di rumah, namun ini bukan fokusnya.

The Fabelman adalah filem yang mempunyai pelbagai fokus yang berlaku di dalam keluarga Fabelmans iaitu Burt Fabelman sebagai suami dan ayah lakonan Paul Dano, Mitzi Fabelman sebagai isteri dan juga emak lakonan Michelle Williams, Sammy Fabelman anak lelaki sulung yang dilakonkan oleh Gabriel LaBelle bersama dengan tiga lagi anak perempuan yang memainkan peranan lebih kecil tetapi tetap bermakna.

Kepelbagaian fokus ini menjadikan The Fabelmans bukan satu yang kita anggap berada di dalam kotak genre tertentu, sebaliknya filem ini boleh berada di mana-mana kotak, sama ada satu filem coming of age, drama ataupun komedi dan filem ini berjaya untuk menjadi sangat baik dan menarik di dalam setiap kotak-kotak tersebut.

Perkara ini juga membantu untuk menjadikan filem ini sukar untuk dijangka mengenai perjalanannya. Pada awal saya mengingatkan yang filem ini sekadar melihat bagaimana Sammy yang jatuh cinta dengan seni menghasilkan filem, mengembangkan lagi bakatnya kerana dari kecil lagi dia mempunyai bakat tersebut. Filem ini masih lagi menceritakan perkara ini, tetapi filem ini tidak sepenuhnya mengenainya.

Filem ini kemudiannya menyentuh mengenai perhubungan di antara Burt dan juga Mitzi yang luaran nampak bahagia tetapi dengan jelas mereka bukanlah pasangan yang bersesuaian dengan sama sendiri. Keretakan ini mula memberi kesan kepada perhubungan mereka yang turut dirasai oleh anak mereka terutama Sammy yang sebagai seorang yang suka filem, dia dapat melihat emosi dengan lebih jelas walaupun cuba disorok.

Selain daripada itu, filem ini juga adalah untuk yang menggemari seni penghasilan filem seperti watak Sammy Fabelman. Penghasilan filem diperlihatkan dengan menariknya yang benar-benar mengangkat bagaimana menghasilkan satu filem boleh menjadikan satu perkara yang sangat menarik dan juga memperlihatkan bagaimana emosi seorang yang menghasilkan filem, akan diperlihatkan melalui filem-filem yang dihasilkan olehnya.

Kesemua ini menjadikan The Fabelman yang saya sentiasa tertarik untuk melihat apa perkara seterusnya yang akan dibawa kerana filem ini jarang memfokuskan perkara yang sama untuk satu jangka masa yang lama. Ini juga benar mengenai penggunaan emosi di dalam filem ini, ada masa filem ini membawa perkara yang sedih tetapi tanpa memberi ruang kepada penonton untuk merasai emosi tersebut, filem ini akan menukar kepada satu emosi lain seperti jenaka.

Saya kebiasaannya tidak menyukai perkara ini kerana merasakan ia akan menjadikan penceritaan bercelaru dan kurang memberi impak kepada penonton. Namun, Steven Spielberg melalui pengalaman yang dia ada berjaya menjadikan perkara ini sebagai satu yang menjadikan filem ini lebih menarik, dengan tidak terlalu memfokuskan kepada satu emosi sahaja, juga berjaya untuk menjadikan filem ini tidak terlalu lama berada di dalam satu kotak genre dan beralih ke kotak yang lain dan masih memberi kepuasan kepada saya yang menontonnya.

Filem ini juga dibantu dengan lakonan yang baik daripada kesemua pelakon yang hadir, tidak kira watak utama ataupun watak-watak sampingan. Namun, pujian saya adalah sepenuhnya untuk Michelle Williams yang berjaya membawa watak Mitzi dengan sangat baik. Dia berjaya memberikan impak emosi melalui lakonan yang sama seperti yang diperlihatkan di dalam filem Manchester by the Sea yang bagi saya antara filem terbaik untuknya. Filem The Fabelmans sekali lagi memperlihatkan julat lakonan (range) untuknya dan saya sangat-sangat terpesona dengan lakonannya.

Muzik di dalam filem ini juga membantu untuk memberi impak emosi terutama seperti yang saya katakan sebelum ini sesetengah emosi tersebut hanya diberi ruang yang terhad untuk dikembangkan, oleh itu, filem ini perlu melakukannya dengan berkesan, muzik membantu untuk menjadikan adegan-adegan emosi tersebut lebih memberi kesan kepada saya.

Akhir kata, jika anda ingin menonton filem yang santai The Fabelmans adalah filem untuk anda, jika anda mencari filem drama yang baik, The Fabelmans juga adalah filem untuk anda. Ingin filem mengenai filem itu sendiri, The Fabelmans juga adalah filem itu. Kepelbagaian topik, kepelbagaian genre yang di bawa olehnya bukan sahaja tidak bercelaru, tetapi menjadikan filem ini pelbagai rasa dan akan memberi kepuasan kepada yang menontonnya.

Saya boleh katakan filem ini adalah filem yang boleh ditonton dengan baik, tidak kira apa sahaja perasaan anda pada waktu itu. Sedikit rungutan yang saya boleh katakan adalah mungkin filem ini tidak mengambil sesuatu perkara yang berat terlalu serius yang sedikit mengecewakan.

Penafian: Tayangan untuk filem The Fabelmans disediakan oleh UIP Malaysia untuk tujuan ulasan ini. Filem ini boleh mula ditonton di pawagam pada 9 Februari 2023.

The Fabelmans
The Fabelmans adalah satu filem yang bukan sahaja mengenai cantiknya seni penghasilan filem tetapi juga mengenai perhubungan di antara keluarga yang disampaikan dengan sangat berkesan.
Positif
Penceritaan Pelbagai Yang Menarik
Lakonan Yang Hebat
Muzik Yang Berkesan
Negatif
Sesuatu Emosi Tidak Dikembangkan Lagi
9

Leave a Reply

Final Score