Minggu ini, siri TV asli tempatan pertama Disney+ Hotstar akan disiarkan – iaitu Special Force: Anarchy. Ia adalah satu siri jenayah di mana kumpulan penjahat merompak dengan agenda lain yang kononnya satu revolusi, sementara pasukan Special Force cuba menghentikan jenayah ini. Siri ini berlaku dalam dunia fiksyen di negara Tenggara.
Hari ini aku diberi peluang tonton episod pertama di cara sidang media dan Syafiq Yusof serta para pelakon telah berkongsi serba sedikit mengenai siri TV ini. Semasa treler dikongsi minggu lepas, ramai persoalan adakah ini Money Heist versi Malaysia?
Sebelum aku kongsi pendapat mengenai apa yang telah aku saksikan, mari aku jawab beberapa persoalan berdasarkan apa yang telah dikongsi oleh wakil Disney dan Syafiq Yusof serta barisan pelakon.
Pertama sekali, Special Force: Anarchy dikatakan diadaptasi dari filem KL Special Force yang ditayangkan pada tahun 2018. Ia adalah satu olahan semula dalam dunia baru yang masih memfokuskan kepada pasukan khas polis. Tetapi apa yang menjadikan Special Force: Anarchy berbeza adalah, ia menekankan kepada watak polis wanita sebagai hero utama berbanding kebanyakan filem dan drama di Malaysia yang kerap menjadikan lelaki sebagai hero. Hero ini adalah Iman, seorang polis muda yang berani lakonan Puteri Aishah. Ia juga adalah siri TV yang turut akan menekankan kepada strategi polis vs strategi penjahat.
Kedua, apabila ditanya mengenai kenapa treler siri TV ini sama dengan Money Heist – Syafiq Yusof menjawab seperti berikut;
“Money Heist adalah siri rompakan yang popular dan dikenali ramai, jadi apabila ada kandungan rompakan baharu – ramai akan bandingkan dengan Money Heist. Untuk Special Force: Anarchy ia adalah olahan semula dari filem KL Special Force yang saya arah dan ditayangkan pada tahun 2018 lalu.”
Syafiq Yusof secara asasnya menafikan yang siri ini ada persamaan dengan Money Heist. Di sini aku agak skeptikal, tetapi turut ingin cuba percaya. Treler adalah satu bahan promosi yang menggabungkan klip-klip dari pelbagai episod menjadi satu agar nampak menarik dan cuba memancing orang ramai untuk menonton filem ini. Jadi walaupun nampak seakan sama dengan Money Heist, siri ini mungkin akan cuba menawarkan sesuatu yang berbeza dan yang tersendiri.
Tambahan Syafiq Yusof lagi, siri ini turut mempunyai keunikan tersendiri seperti – penggambaran berlaku di Kuala Lumpur di mana ada banyak bangunan tinggi. Jadi kesan visual khas digunakan untuk memadamnya agar nampak seperti lokasi di negara fiksyen yang digelar Tenggara. Apa yang aku nampak tadi, beberapa bangunan turut diubahsuai dengan menggunakan CGI untuk tukar papan tanda serta logo bangunan. Contohnya adalah bangunan Bank Republik Tenggara dan Balai Polis Tenggara.
Para pelakon turut menambah seperti Puteri Aishah, M. Nasir, Hasnul Rahmat, Johan As’ari, Yusuf Bahrain, Elizabeth Tan, Anas Ridzuan dan ramai lagi – menyatakan Syafiq Yusof adalah seorang pengarah yang cool dan sangat membantu. Ramai menyokong beliau sebagai seorang yang berbakat dan menurut M. Nasir Special Force: Anarchy dihasilkan dengan penuh cinta dan passion.
Special Force: Anarchy dari awal lagi memfokuskan kepada watak Iman lakonan Puteri Aishah. Seorang polis muda yang berani dan degil, di bawah pasukan bapa beliau Qabil (Hasnul Rahmat). Sepanjang episod ini beliau ditemani dengan Sara lakonan Elizabeth Tan rakan sekerja Special Force Unit. Turut kelihatan adalah Fify Azmi dan Chacha Maembong sebagai Merah dan Putih, Yusof bahrain sebagai Jeff, dan watak lakonan M. Nasir.
Episod pertama pada aku mempunyai penyampaian cerita yang sangat perlahan, dengan dialog yang lemah serta rasa cringe antara Iman dan Sara. Perbualan dalam episod ini juga banyak yang merapu dan ramai di antara mereka tidak menyampaikan skrip dengan penuh emosi dan terasa kosong. Bukan itu sahaja, suntingan dalam episod ini turut nampak aneh dengan pilihan pencahayaan yang tidak sedap mata memandang. Aku faham perkara ini, di mana pengarah ingin cuba ikut Hollywood setiap adegan ada tema tersendiri – cuma pada hemat aku ia kurang menjadi.
Aksi yang dipersembahkan nampak menarik, tetapi visual seperti tembakan masih nampak kartun – misalnya kesan tembakan yang tidak konsisten dan bergantung kepada bunyi sahaja. Setakat ini, persamaan Money Heist masih tidak kelihatan pada episod satu – cuma watak M. Nasir memberi sedikit vibe sebagai Professor dalam Money Heist. Aku mungkin akan cuba beri peluang untuk saksikan siri ini apabila ia mula disiarkan pada Sabtu ini, 14 Januari 2023.
Siri ini dihasilkan oleh Skop Productions dan juga Disney+ Hotstar. Aku sangat harapkan akan ada satu kelainan dalam siri ini dan tiada persamaan seperti Money Heist. Lihat sahaja reaksi orang ramai kepada Money Heist Korea – ia terlampau sama dan tidak menerima sambutan yang begitu hebat sehinggakan musim pertama bahagian kedua tidak menerima promosi yang gempak. Aku juga tidak ingin Syafiq Yusof ulangi kesilapan sama seperti yang dilakukan pada filem Misteri Dilaila yang terlampau salinan 1:1 dengan filem tahun 1986 The Vanishing Act.
Untuk Disney+ Hotstar mempunyai siri TV asli tempatan adalah satu perkara yang membanggakan, tetapi jika ingin terus berjaya, membina dunia Special Force dengan musim lain dan sebagainya – keunikan, keaslian dan elemen faktor WOW perlu disertakan.
Sama-sama kita nantikan siri TV ini nanti. Ia mempunyai 7 episod sahaja dan akan tamat pada penghujung Februari nanti.