Nintendo Switch OLED adalah konsol mudah alih yang menarik. Ia menawarkan banyak permainan video, mudah di bawak ke mana sahaja dan turut mempunyai dermaga jika ingin sambungkan kepada televisyen seperti konsol biasa.

Tetapi Nintendo Switch ada masalah besar pada alat kawalan Joy-Con mereka, iaitu analog yang hanyut (drift). Berdasarkan pengalaman sendiri, saya masih tidak mengalami isu ini – tetapi ada rakan-rakan yang sudah menukar Joy-Con sehingga beberapa kali kerana masalah ini.

Terkini, NYXI satu jenama aksesori Switch pihak ketiga telah memperkenalkan NYXI Wizard Wirleless Joy-pad yang mendakwa masalah analog hanyut pada alat kawalan mereka tidak akan berlaku.

Ini kerana, NYXI Wizard Wireless menggunakan sensor magnetik Hall Effect berbanding potentiometer pada Joy-Con. Sensor magnetik secara teorinya adalah lebih tahan lasak dan mengambil masa yang lama untuk analog pada alat kawalan berlaku masalah hanyut, sementara potentiometer adalah lebih mudah dan cepat.

Bukan itu sahaja, Wizard Wireless Joy-pad ini turut hadir dengan rekaan seakan alat kawalan GameCube dan turut menawarkan tema warna yang sama iaitu ungu. Analog pada alat kawalan ini turut boleh dicabut dan gegelung padanya turut boleh diubah untuk permainan berbeza. Butang bahu ZR/ZL turut dikatakan lebih lembut, pantas untuk ditekan dan selesa – sementara butang ABXY disusun dalam kedudukan aneh dengan XY mempunyai lampu LED menyala. Sokongan getaran Rumble turut terbina dengan tahap yang boleh dilaras.

Butang menghidupkan Switch dan tangkapan layar turut disediakan. Selain menjadi alternatif kepada Joy-Con, NYXI Wizard ini turut boleh digunakan sebagai alat kawalan biasa dengan sambungan nirwayar atau USB-C. Bahan binaan adalah ABS dengan kemasan yang mencengkam, bateri pula adalah 500mAh dengan dakwaan ketahanan mencapai 8.5 jam sekali cas.

Laman web mereka turut boleh menghantar belian ke Malaysia dan NYXI Wizard Wireless Joy-pad dijual pada harga RM306.24.

Sohor Kini