Skip to main content

Kita sudah memasuki tahun 2023 secara rasminya, dan kami boleh katakan yang mempunyai harapan yang tinggi bagi permainan video untuk tahun ini terutama dengan beberapa permainan menarik yang sepatutnya tiba pada tahun lepas telah tertunda ke tahun ini. Melalui artikel ini, kami akan kongsikan permainan-permainan menarik yang diumumkan ataupun dijangkakan akan tiba pada tahun ini. Kami akan membahaginya mengikut bulan dari Januari sehinggalah Disember.

Oleh kerana pembangunan permainan video adalah tidak menentu ada kebarangkalian yang permainan ini kemudiannya tertunda. Kami akan kemaskini senarai mengikut maklumat terbaru, termasuk juga menukarnya ke bulan yang betul ataupun membuangnya secara terus jika sesuatu permainan tertunda sehingga ke tahun hadapan.

Jangan lupa untuk terus melawat artikel ini dari semasa ke semasa kerana ia akan sentiasa dikemaskini dengan senarai terbaru.

Januari

One Piece Odyssey

Tarikh: 13 Januari 2023 | Platform: PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series, PC

Bagi peminat One Piece ataupun peminat permainan RPG, One Piece Odyssey sudah semestinya adalah permainan yang di dalam radar. Berbeza dengan permainan One Piece: World Seeker, Odyssey adalah permainan RPG yang mempunyai pertempuran mengikut turutan. Namun, kedua-dua permainan berkongsi elemen di mana membenarkan pemain untuk mengembara di dunia terbuka. One Piece Odyssey dibangunkan oleh ILCA dan diterbitkan oleh Bandai Namco.

Fire Emblem Engage

Tarikh: 20 Januari 2023 | Platform: Nintendo Switch

Intelligent Systems dan Nintendo akhirnya akan hadir dengan permainan mercu terbaru untuk siri Fire Emblem iaitu Fire Emblem Engage. Ia boleh dikatakan satu permainan yang sangat menarik di dalam siri ini kerana selain membawa penceritaan, kawasan dan watak baharu, ia juga membolehkan pemain untuk menggunakan watak-watak daripada siri Fire Emblem yang lepas. Ini termasuk juga watak seperti Edelgard, Dimitri dan Claude dari permainan sebelum ini iaitu Fire Emblem: Three Houses.

Forspoken

Tarikh: 24 Januari 2023 | Platform: PlayStation 5, PC

Dari treler pertama sehinggalah demo permainan yang dikongsi, Forspoken merupakan satu permainan yang berpotensi terutama dengan sistem pengembaraan dan juga pertempuran yang menarik. Ia adalah permainan dunia terbuka dan menurut pembangun iaitu Luminous Productions ia juga adalah permainan yang memfokuskan kepada penceritaan. Forspoken akan diterbitkan oleh Square Enix.

Dead Space Remake

Tarikh: 27 Januari 2023 | PlayStation 5, Xbox Series, PC

Visceral Games iaitu pembangun asal untuk siri Dead Space sentiasa menjadi contoh apabila bercakap bagaimana EA tidak menggunakan studio mereka dengan berkesan, bersama dengan penutupan studio tersebut adalah tamatnya siri Dead Space. Namun, lebih 8 tahun kemudian, EA bersama dengan Motive Studio cuba untuk menghidupkannya kembali dengan Dead Space Remake. Ia akan mengekalkan penceritaan permainan asal tetapi dengan tatamain serta grafik serba baharu.

Februari

Hogwarts Legacy

Tarikh: 10 Februari 2023 | Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC

Prospek untuk mendapatkan permainan dunia terbuka berdasarkan dunia Harry Potter sentiasa menjadi impian bagi peminat-peminat novel dan juga siri filemnya. Avalanche Software dan Warner Bros selaku penerbit bakal menjadikannya realiti melalui Hogwarts Legacy. Berdasarkan beberapa perkongsian yang dilakukan, ia benar-benar nampak satu permainan aksi pengembaraan yang menarik ditambah lagi dengan penggunaan sihir-sihir dan juga lore dari Harry Potter. Ia juga diumumkan untuk PS4, Xbox One dan Nintendo Switch tetapi akan dikeluarkan pada tarikh yang berlainan.

Wild Hearts

Tarikh: 17 Februari 2023 | PlayStation 5, Xbox Series, PC

Jika bercakap mengenai permainan memburu raksasa, Monster Hunter sudah semestinya menjadi sebutan. Permainan oleh Capcom tersebut telah menjadi permainan utama untuk genre ini. Wild Hearts adalah usaha Omega Force dan Koei Tecmo untuk hadir dengan permainan tersendiri di dalam genre ini. Selain menggunakan senjata biasa seperti pedang, panah untuk memburu, Wild Hearts juga mempunyai mekanik Karakuri iaitu pemain boleh membina sesuatu untuk membantu semasa memburu. Wild Hearts akan diterbitkan oleh EA di bawah label EA Originals.

Octopath Traveler II

Tarikh: 24 Februari 2023 | Platform: PlayStation 5, PlayStation 4, Nintendo Switch, PC

Octopath Traveler adalah satu permainan JRPG yang menarik terutama dari segi penceritaan yang memfokuskan kepada lapan watak yang mempunyai penceritaan tersendiri. Selain itu, ia juga menggunakan grafik yang menarik iaitu gabungan 16-bit dengan latar belakang 3D. Bagi permainan kedua ini, mereka menjanjikan penceritaan baharu dan juga tatamain yang lebih dikembangkan.

Mac

Wo Long: Fallen Dynasty

Tarikh: 3 Mac 2023 | Platform: PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series, Xbox One, PC

Selepas Nioh 2, ramai yang ternanti-nanti permainan ‘sukar’ seterusnya oleh Team Ninja, mereka telah hadir dengan Strange of Paradise pada tahun lepas, akan tetapi ia bukanlah seperti yang diharapkan untuk meneruskan Nioh 2. Wo Long: Fallen Dynasty pula boleh dikatakan permainan yang boleh dikatakan lebih menghampiri Nioh 2 dan dengan apa yang diperlihatkan ia adalah satu permainan yang akan menguji kemahiran pemain.

Resident Evil 4 Remake

Tarikh: 24 Mac 2023 | Platform: PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series, PC

Meneruskan apa yang dilakukan oleh Capcom untuk Resident Evil 2 dan Resident Evil 3, mereka kini akan hadir dengan Resident Evil 4 Remake, ia akan terus kekal menggunakan third-person seperti permainan asal, yang juga seperti dua permainan remake yang sebelum ini. Namun, ia akan menyertakan grafik, persekitaran dan juga rekaan watak yang lebih baik.

April

Star Wars Jedi: Survivor

Tarikh: 28 April 2023 | Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC

Star Wars Jedi: Fallen Order boleh dikatakan hadir pada masa yang tepat dengan ramai mengkritik EA kerana gagal untuk menggunakan IP Star Wars dengan baik, namun melalui Fallen Order, ramai yang menyukai pembawaan permainan tersebut. Oleh itu, melalui permainan susulan Survivor ini, sudah semestinya ramai yang berharap ia akan mengembangkan lagi penceritaan Star Wars Jedi ini dan juga mempertingkatkan tatamain untuknya. Star Wars Jedi: Survivor dibangunkan oleh Respawn Entertainment.

Dead Island 2

Tarikh: 28 April 2023 | Platform: PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox One, Xbox Series, PC

Diumumkan pada tahun 2014, permainan ini telah melalui pelbagai masalah pembangunan sebelum bersedia untuk dikeluarkan pada tahun ini iaitu lebih kurang 11 tahun selepas keluarnya permainan pertama. Mengekalkan konsep membunuh zombi dengan kreatif, Dead Island 2 akan membawa pemain ke kawasan baharu iaitu Los Angeles dan juga San Francisco. Bagi yang meminati permainan pertama, permainan ini sudah semestinya dinanti-nantikan.

Mei

The Legend of Zelda: Tears of the Kingdom

Tarikh: 12 Mei 2023 | Platform: Nintendo Switch

Permainan susulan kepada Breath of the Wild yang dikeluarkan pada tahun 2017, yang merupakan permainan terbaik pada tahun tersebut, Tears of the Kingdom sudah semestinya menjadi permainan yang paling dinanti-nantikan pada tahun ini. Oleh kerana itu, ia telah memenangi anugerah sebagai permainan yang paling dinantikan ketika The Game Awards 2022 dan juga Golden Joystick Awards. Ia akan diterbitkan oleh Nintendo dan mungkin permainan terakhir Zelda di konsol Nintendo Switch sebelum hadirnya konsol generasi baharu.

Suicide Squad: Kill the Justice League

Tarikh: 26 Mei 2023 | Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC

Suicide Squad: Kill the Justice League meneruskan lagi pengeluaran permainan video berdasarkan DC dengan Gotham Knights dilancarkan pada tahun lepas. Gotham Knights tidak menerima penerimaan yang baik akan tetapi ramai yang sudah semestinya lebih mengharapkan untuk Suicide Squad menjadi permainan yang lebih baik terutama dengan ia dibangunkan oleh Rocksteady Studios yang hadir dengan siri permainan Batman: Arkham sebelum ini.

Jun

Street Fighter 6

Tarikh: 2 Jun 2023 | Platform: PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series, PC

Street Fighter 6 menjadi permainan yang dinanti-nantikan oleh ramai pengikur permainan perlawanan adalah kerana ia akan menjadi Street Fighter pertama dikeluarkan untuk konsol generasi terkini iaitu PlayStation 5 dan Xbox Series. Selain itu, ia juga adalah permainan baharu selepas Street Fighter V dikeluarkan 6 tahun yang lepas, dan dengan apa yang diperlihatkan oleh Capcom buat masa ini, ia berpotensi untuk membawa era baharu kepada judul ini.

Diablo IV

Tarikh: 6 Jun 2023 | Platform: PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series, Xbox One, PC

Diablo III dikeluarkan pada 10 tahun yang lepas, oleh itu permainan seterusnya untuk siri ini sudah semestinya satu yang diminta-minta daripada Blizzard. Mereka mengecewakan ramai pemain dengan pengumuman Diablo Immortal yang dikeluarkan untuk peranti pintar, akan tetapi dengan Diablo IV akan dikeluarkan tidak lama lagi, kekecewaan tersebut mungkin sudah dipulihkan.

Final Fantasy XVI

Tarikh: 22 Jun 2023 | Platform: PlayStation5

Ada beberapa perkara yang membuatkan ramai ternanti-nanti permainan terbaru untuk siri Final Fantasy ini, pertama ia adalah penceritaan baharu selepas Final Fantasy XV dikeluarkan pada 6 tahun yang lepas, seterusnya adalah ia dibangunkan oleh Creative Business Unit III yang bertanggungjawab untuk Final Fantasy XIV yang boleh dikatakan sebagai permainan Final Fantasy paling berjaya untuk Square Enix.

Julai

[akan dikemaskini]

Ogos

Baldur’s Gate III

Tarikh: Ogos 2023 | Platform: PC

Baldur’s Gate adalah satu IP yang boleh dikatakan sebagai siri klasik yang menjadi panduan untuk pelbagai permainan lain. Selepas menanti lebih 22 tahun, permaianan terbaru untuk siri ini akhirnya akan tiba melalui pembangun baharu iaitu Larian Studios berbanding BioWare sebelum ini. Namun, dengan rekod yang baik melalui siri Divinity Original Sin mereka, Larian Studios mampu untuk membawa kembali siri ini ke tahap yang diharapkan. Baldur’s Gate III sebelum ini telah dikeluarkan secara akses awal dan akan dikeluarkan secara penuh Ogos ini.

September

[akan dikemaskini]

Oktober

[akan dikemaskini]

November

[akan dikemaskini]

Disember

[akan dikemaskini]

2023

Permainan-permainan yang diumumkan akan tiba pada tahun ini akan tetapi masih tiada tarikh yang tetap.

Alan Wake 2

Tarikh: 2023 | Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC

Semasa Alan Wake dikeluarkan buat pertama kali pada tahun 2010 ia adalah antara permainan aski pengembaraan seram yang menjadi perbualan ramai. Oleh itu, tidak mengejutkan apabila Remedy Entertainment mengumumkan permainan susulan, ditambah lagi dengan mereka juga mengeluarkan versi penambah-baikkan untuk Alan Wake, ramai yang ternanti-nanti permainan ini tidak kira pemain baharu dan juga lama.

Assassin’s Creed Mirage

Tarikh: 2023 | Platform: PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, PC

Assassin’s Creed boleh dikatakan satu IP yang terus menjadi popular tetapi ramai juga yang mengatakan ia telah hilang identiti. Melalui Assassin’s Creed Mirage, Ubisoft menjanjikan permainan yang kembali ke asal dengan memfokuskan kepada penceritaan yang lebih linear dan mengurangkan elemen Role Playing di dalamnya. Agar pemain boleh memfokuskan untuk menjadi Assassin iaitu Basim Ibn Ishaq tanpa terlalu memikirkan cara untuk membina kekuatan watak.

Final Fantasy VII Rebirth

Tarikh: 2023 | Platform: PlayStation 5

Final Fantasy VII Rebirth merupakan permainan kedua daripada tiga bahagaian untuk Final Fantasy VII olahan semula, dengan bagaimana Final Fantasy VII Remake berakhir sebelum ini, ramai yang ternanti-nanti bagaimana penceritaan dilakukan untuk bahagian ini, adakah membawa penceritaan seperti permainan asal ataupun membawa sesuatu yang benar-benar baharu. Jika dikeluarkan tahun ini, ia adalah permainan kedua Final Fantasy oleh Square Enix bagi tahun ini.

Forza Motosports

Tarikh: 2023 | Platform: Xbox Series, PC

Berbanding Forza Horizon yang memfokuskan kepada sesi permainan sosial dan juga perlumbaan arked, Forza Motosports lebih memfokuskan kepada simulasi perlumbaan. Walaupun merupakan permaiann kelapan untuk siri ini, Microsoft telah mengumumkan yang ia akan dikenali sebagai Forza Motosports sahaja menandakan ia mungkin permulaan baharu bagi siri ini.

Marvel’s Spider-Man 2

Tarikh: 2023 | Platform: PlayStation 5

Marvel’s Spider-man 2 oleh Insomniac Games akan menjadi permainan Spider-man yang akan menyertakan Peter Parker dan Miles Morales di dalam satu permainan, selepas menerima permainan tersendiri sebelum ini. Ia juga akan memperlihat hadirnya Venom yang mungkin menjadi watak jahat utama. Oleh itu, ia adalah satu permaiann susulan yang dinanti-nanti terutama setakat ini, Marvel’s Spider-man adalah antara permainan adiwira terbaik pernah dikeluarkan.

Starfield

Tarikh: 2023 | Platform: Xbox Series, PC

Dikatakan sebagai Skyrim di angkasa lepas, ia adalah permainan yang paling dinanti-nantikan daripada Bethesda, tambahan lagi ia juga akan menjadi permainan besar seterusnya yang menjadi eksklusif untuk platform Microsoft. Selepas beberapa kali tertunda, Starfield akhirnya akan dikeluarkan pada tahun ini, dan ramai tidak sabar untuk meluangkan ratusan jam meneroka dunia Starfield.

Leave a Reply