Puss In Boots adalah watak kucing comel yang muncul kali pertama dalam filem Shrek 2 pada tahun 2004. Selepas berjaya memikat hati ramai penonton, DreamWorks meneruskan pengembaraan Puss In Boots dalam dua lagi filem Shrek, filem sampingan pertama tahun 2011 Puss In Boots dan juga siri animasi The Adventures of Puss in Boots.
Kini selepas 11 tahun daripada filem pertama dan sekitar empat tahun daripada siri animasi DreamWorks Animation dan Universal Pictures hadir dengan filem kedua pula Puss In Boots: The Last Wish.
Aku berpeluang tonton filem ini tadi, melalui akses awal oleh UIP untuk ulasan. Sudah lama aku tidak tonton animasi DreamWorks dan percaya atau tidak, aku cukup teruja dan tidak sangka watak yang aku pernah suka masa kanak-kanak aku masih boleh suka ketika sudah dewasa. Puss In Boots: The Last Wish adalah filem animasi pengembaraan yang penuh dengan komedi yang menggelikan hati.
Filem ini berlaku selepas filem Puss In Boots pertama dan sekitar selepas Shrek Forever After. Kucing jingga digelar Puss ini amat popular dan dilabelkan sebagai seekor legenda kerana menjadi adiwira di San Ricardo dan terkenal sebagai perompak licik. Selepas pelbagai pengembaraan, perlawanan dan pertempuran kucing yang kita semua tahu ada sembilan nyawa, Puss kini tinggal satu.
Jadi suatu hari ada bintang hajat jatuh dan Puss ingin melakukan hajat agar nyawa beliau dikembalikan. Seperti Shrek, sepanjang filem ini penonton akan dapat saksikan watak-watak dari kisah dongeng seperti Goldilocks and the Three Bears, “Big” Jack Horner (iterasi watak dari lagu kanak-kanak Little Jack Horner), cengkerik dalam Pinocchio, dan ramai lagi.
Tetapi fokus filem ini adalah kepada Puss lakonan suara Antonio Banderas, bersama-sama dengan Kitty Softpaws lakonan suara Salma Hayek, Perrito oleh Harvey Guillén, Wolf oleh Wagner Moura, Goldi oleh Florence Pugh, Momma Bear oleh Olivia Colman, Papa Bear oleh Ray Winstone, Baby Bear oleh Samson Kayo dan Jack Horner lakonan suara John Mulaney.
Cerita asal adalah daripada Tommy Swerdlow dan Tom Wheeler, skrip ditulis oleh Paul Fisher dan Tommy Swerdlow, penerbit eksekutif adalah Andrew Adamson dan Chris Meledandri, penerbit pula Mark Swift dan pengarah bersama Januel P. Mercado serta pengarah Joel Crawford.
Filem ini bermula dengan Puss In Boots beraksi dan tunjuk lagak kehebatan beliau dan betapa ramainya peminat beliau. Puss dalam filem ini masih sama seperti sebelum ini, iaitu berlagak dan tidak gemar mendengari nasihat orang lain sehinggalah beliau pelajari yang hidup di dunia ini tidak bolweh berseorangan sebaliknya bantuan daripada orang lain turut diperlukan.
Filem ini sangat ringkas. Penyampaian cerita juga secara berterusan dan tidak meleret sehingga ia menjadi mengarut. Suatu hari, apabila Puss menyedari beliau hanya tinggal satu nyawa semuanya mula berubah dan hidup beliau mula murung dan berada dalam kesedihan. Puss juga mula bertemu dengan rakan baharu iaitu seekor anjing yang menggelar diri beliau sebagai Perrito.
Di sinilah bermulanya pemburuan Puss, kerana ada kumpulan penjahat ingin cuba mengupah beliau untuk mencuri peta ke lokasi di mana bintang hajat jatuh dan mereka adalah Goldilocks and The Three Bears dan penjahat utama Big Jack Horner. Puss juga mula bertemu kembali dengan Kitty Softpaw, iaitu bekas kekasih beliau.
Sepanjang aku tonton filem ini, 80% adalah ketawa dan 20% adalah termenung memerhati bentuk animasi yang digunakan. Penyampaian cerita yang tidak begitu berat ini amat mudah untuk dihadamkan dan difahami apa yang cuba penulis dan pengarah sampaikan. Prestasi lakonan kebanyakan watak dalam filem ini adalah baik sekali. Tetapi ada sahaja beberapa watak yang tidak cukup hebat kerana dari segi emosi yang tidak begitu meyakinkan penonton. Tetapi ini adalah animasi dengan lawak yang pada sesetengah orang mungkin cringe, jadi emosi atau lawak mengarut mudah untuk dimaafkan dengan perkara baik lain yang filem ini tawarkan.
Filem ini juga tidak membazir masa, kerana setiap adegan itu penting dan wajib disaksikan agar tidak terlepas perkara menarik. Aku kurang suka Big Jack Horner kerana wataknya agak menjengkelkan, tetapi aku suka Goldilocks dan amat inginkan beliau mempunyai masa skrin yang lebih lama.
Untuk bentuk animasi, pada awal semasa tonton treler filem aku tidak suka dan rasakan ia kurang berkualiti atau mungkin belum disiapkan lagi. Tetapi ketika menonton aku menjadi teruja, kerana tidak pernah saksikan filem animasi DreamWorks sebegini. Ia seakan gabungan 2D dan 3D yang nampak unik dan rasa berbeza. Direka dengan cantik, dengan pergerakan yang mencukupi untuk cerita sebegini. Mungkin bukan sehebat Spider-Man Into The Spider-Verse, tetapi untuk sesuatu yang unik seperti ini ia memberikan pengalaman menonton yang memuaskan.
Puss In Boots: The Last Wish adalah sebuah filem animasi yang baik dan sangat menghiburkan. Ia bukan di tahap sempurna, tetapi sangat menyeronokkan kerana aksi yang lucu yang tidak melampau. Ia juga adalah filem yang anda tidak perlu pun tonton yang pertama kerana masih boleh faham. Malah anda tidak perlu tonton Shrek pun tidak mengapa.
Dengan bentuk animasi yang cantik, cerita yang menarik – filem ini adalah satu lagi filem animasi yang aku sarankan semua orang tonton di pawagam untuk pengalaman menonton yang memuaskan.
Puss In Boots: The Last Wish akan ditayangkan di Malaysia pada 22 Disember di pawagam seluruh Malaysia. Pastikan anda duduk sehingga habis kredit untuk saksikan adegan rahsia yang berkait dengan Shrek.