Avatar: The Way of Water dilihat menerima sambutan yang cukup baik. Ia adalah sekuel kepada filem pertama yang ditayangkan pada tahun 2009 dan selepas lebih 10 tahun ia kembali semula dengan penceritaan baharu.
Sehingga hari ini juga, Avatar pertama masih lagi filem dengan rekod kutipan tertinggi dunia. Sempena Avatar The Way of Water, Aksiz diberi peluang untuk menemuramah Stephen Lang iaitu pelakon bagi watak Colonel Quaritch.
Bagi yang tidak tonton filem pertama, Quaritch telah mati dan apabila disahkan watak ini akan kembali dalam sekuel banyak persoalan timbul. Usah risau, artikel ini tidak akan mempunyai sebarang beberan filem kedua dan hanya beberapa jawapan Stephen Lang kepada soalan kami.
Soalan: Apakah perasaan kembali berlakon watak sama selepas 10 tahun?
Sangat gembira dan bersyukur, kerana selepas filem pertama James Cameron tidak menjanjikan apa-apa jika Quaritch akan kembali. Jadi untuk kembali bersama dengan pasukan Avatar ini rasa sangat memuaskan dan indah. Kemudian untuk melibatkan diri dalam Avatar The Way of Water saya perlu pelajari banyak perkara baharu, seperti latihan dalam air – di mana bukan untuk belajar kaedah menahan nafas tetapi bagaimana untuk berlakon dan melakukan aksi dalam air.
Walaupun filem ini melibatkan air, Quaritch adalah watak yang handal dalam air tetapi tidak menggemarinya. Jadi, pengalaman baharu seperti ini membuatkan saya lebih semangat dan sukakan bekerja untuk Avatar.
Soalan: Bukankah Quaritch telah mati dalam filem pertama?
Benar, Quaritch telah mati dalam filem pertama dan bukan rahsia lagi Quaritch hidup kembali kerana ada dala treler. Tetapi Quaritch dalam filem ini adalah versi baharu yang berbeza dengan filem pertama, di mana boleh dikatakan beliau adalah watak baharu juga.
Walaupun begitu, elemen Quaritch yang semua orang kenal masih dikekalkan. Cuma dengan penambahan sesuatu perkara misteri dari Pandora ke dalam watak ini akan memberi kejutan kepada orang ramai mengenai Quaritch. Watak ini juga adalah individu yang mengenali diri sendiri, tetapi tidak tahu dia adalah diri dia.
Untuk membawa semula watak ini, perkara baharu wajib dipersembahkan kerana tiada gunanya menghidupkan semula watak ini dan membawa semula perkara yang sama – kerana ia akan membuatkan penonton rasa bosan.
Soalan: Apakah halangan antara berlakon aksi nyata dan motion capture?
Ada dan tiada. Ada adalah dari segi penggunaan teknologi, misalnya apabila berlakon untuk watak Avatar sut motion capture perlu dipakai. Ia sedikit sukar, tetapi mahu atau tidak itu sahaja caranya untuk menjayakan filem ini dan dengan kaedah yang berbeza dengan berlakon aksi nyata. Ia tidak mengambil masa yang lama pun membiasakan diri dengan berlakon menggunakan prop dan sebagainya.
Dari segi prestasi lakonan, Lang hanya menjadi diri sendiri iaitu berlakon sebagai watak yang telah diberikan. Jadi antara aksi nyata dan makhluk Avatar, penonton akan masih mengenali siapakah Quaritch kerana penyampaian watak adalah yang sama sahaja cuma kaedah berlakon sahaja perlu mengikut situasi tertentu.
Avatar: The Way of Water sudah pun ditayangkan di pawagam sejak 15 Disember lalu. Saksikan filem ini secara eksklusif di pawagam dan menurut James Cameron, filem ini harus ditonton dalam format IMAX 3D.