Saya yakin bukan saya seorang sahaja yang merasakan aplikasi Disney+ Hotstar baik di telefon pintar atau di televisyen adalah menjengkelkan dan tidak mesra pengguna. Ia terlampau asas, tidak menyokong profil pengguna dan ketika saya ke Singapura ia terus log keluar kerana tidak menyokong ciri merantau ke luar negara.
Semasa di Singapura untuk acara Disney Content Showcase APAC 2022, saya sempat berbual dengan wakil Disney yang namanya perlu saya rahsiakan dan telah pun saya lupa. Perbualan ini adalah mengenai kenapa Disney+ Hotstar di Malaysia dan Disney+ di negara lain dan kenapa Hotstar tidak menawarkan pengalaman penggunaan yang bagus berbanding Disney+?
Wakil Disney ini menyedari akan isu Disney+ Hotstar dan ramai pengguna melaporkan masalah yang sama. Contoh, tidak semua televisyen Samsung dapat menggunakannya, antaramuka yang tidak mesra pengguna untuk menerokai kandungan, dan penawaran yang tidak konsisten dengan Disney+. Malah pesaing seperti Netflix, Prime Video dan HBO GO yang asas adalah lebih baik.
Tambahan beliau lagi, Disney sebenarnya pernah merancang untuk menggabungkan Disney+ dan Disney+ Hotstar. Tetapi semua ditunda kerana Covid-19 dan masih tidak tahu bila gabungan ini akan diteruskan. Perancangan asal ini adalah untuk menyertakan kandungan tempatan di ruangan khas, seperti Marvel, Star Wars, Pixar dan lain-lain yang ada segmen tersendiri. Malah di beberapa negara kandungan Starz yang ada beberapa kandungan tempatan negara masing-masing turut ditawarkan pada Disney+ tetapi tiada di Amerika Syarikat.
Di India, Disney+ Hotstar telah pun hadir dengan aplikasi baharu di mana kini sedang dalam fasa beta terbuka untuk pengguna yang bertuah.
Cuma sehingga hari ini masih tiada perkembangan mengenai kemaskini ini, sama ada khusus untuk India sahaja atau aplikasi baharu ini akan diberikan kepada semua pengguna Hotstar. Mungkin dengan kemaskini baharu ini, gabungan Hotstar dan Disney+ ditunda lagi?
Versi baharu ini turut dilihat menyokong profil pengguna dan menawarkan antaramuka yang lebih mudah digunakan, lebih segar dan selari dengan banyak platform penstriman video pesaing.
Di Malaysia kita akan masih “tersangkut” dengan versi Hotstar sahaja dan tidak tahu jika ia akan diedarkan secara lebih meluas. Sama-sama kita nantikan.