Bumilangit Cinematic Universe adalah dunia adiwira Indonesia yang besar dan mungkin adalah paling besar di Asia. Seperti Marvel, Bumilangit turut mempunyai komik sendiri dan perancangan untuk hadir dengan pelbagai filem yang berkait antara satu sama lain. Dalam BCU kita sudah ada Gundala, Sri Asih dan akan datang Tira.

Tira mengisahkan watak Suci lakonan Chelsea Islan iaitu seorang pelagak ngeri wanita yang mempunyai cita-cita tinggi. Tetapi beliau telah dikenakan sumpah dan untuk membebaskan diri, beliau perlu menewaskan sembilan orang penjahat yang dirasuki naga purba. Tetapi tanpa beliau sangka, penjahat paling berkuasa dan kejam berada berdekatan dengan beliau. Siri TV Tira diarahkan oleh pengarah MalaysiaZahir Omar yang sebelum ini mengarah filem Sebelum Pagi Berakhir atau Fly By Night di Netflix.

Ketika acara Disney Content Showcase, saya berpeluang menemuramah Suci/Tira iaitu Chelsea Islan. Dalam peluang ini beliau menjawab pelbagai soalan-soalan saya dengan baik.

Soalan: Bagaimanakah pengalaman bekerjasama dengan pengarah Malaysia, Zahir Omar untuk dunia adiwira yang semakin besar ini?

Senang! Zahir Omar memberi kebebasan kepada pelakon untuk mengolah sendiri watak yang pelakon mainkan. Walaupun, Tira adalah berasaskan komik dan perlu ikuti komik agar tidak mengecewakan penonton dan peminat komik – tetapi jika ada perubahan yang sesuai untuk adaptasi aksi nyata Zahir menerima cadangan dengan sangat baik. Beliau juga adalah seorang pengarah yang penyabar dan menjaga setiap kru yang terlibat dengan baik sekali.

Soalan: Adakah aksi Tira dalam siri TV ini dilakukan Chelsea sendiri?

Aksi sesetengah dilakukan sendiri, lebih-lebih lagi rakaman jarak dekat itu semua adalah sendiri. Tetapi satu perkara biasa untuk setiap pelakon mempunyai pelagak ngeri sendiri kerana siri aksi adiwira seperti ini mempunyai risiko seperti aksi di udara dan lompat di tempat tinggi atau di tebing. Cuma untuk Tira, latihan koreografi adalah 2 bulan sahaja dan penggambaran adalah 66 hari – di mana latihan aksi lebih fokus kepada bagaimana melindungi diri sendiri daripada cedera ketika beraksi di set penggambaran.

Soalan: Ini adalah siri aksi pertama Chelsea, apakah halangan yang ditempuhi?

Sangat sukar untuk memainkan watak ini, kerana perlu banyak belajar perkara baharu. Tetapi dengan pasukan lakonan dan kru yang sangat baik yang memberi semangat, ia menjadi lebih mudah. Jika ada masalah, pengarah juga tidak memberi tekanan kepada pelakon kerana memahami had masing-masing.

Soalan: Sukar atau tidak berlakon dalam francais adiwira yang besar yang berkait dengan Gundala, Sri Asih dan akan datang Godam dan Tira?

Amaran! – Beberan Sri Asih dalam jawapan Chelsea

Benar, Tira ini dalam Bumilangit Universe sama dengan Gundala dan Sri Asih. Tetapi untuk Tira, ia tidak sukar kerana skrip yang diberikan memfokuskan kepada siri Tira sahaja dan tidak begitu berkait dengan filem akan datang. Misalnya, Gundala ada pasca-kredit untuk Sri Asih dan dalam Sri Asih ada pasca-kredit untuk Godam iaitu watak Awang. Filem seterusnya adalah Godam dan Tira – di mana pelakon juga tidak didedahkan sama ada siri Tira ini berlaku di garis masa mana, selepas filem apa dan sebagainya.

Tira akan disiarkan secara eksklusif di Disney+ Hotstar sekitar tahun hadapan. Masih tiada tarikh dan jumlah episod didedahkan lagi. Sama-sama kita nantikan ketibaan siri TV ini nanti.

Sohor Kini