Jika di Amerika Syarikat ada The Conjuring Universe, sebagai francais filem seram yang mana setiap filem berkait dengan satu sama lain – di Indonesia ada Danur Universe yang mempunyai banyak filem seram yang juga berkait antara satu sama lain.

Filem-filem dalam Danur Universe adalah Danur (2017), Danur 2: Maddah (2018), Danur 3: Sunyaruri (2019), empat filem sampingan Asih (2018), Silam (2018), Asih 2 (2020) dan Ivanna (2022). Kesemua filem ini diadaptasi daripada novel karya Risa Saraswati yang dikatakan adalah berdasarkan pengalaman hidup beliau yang pernah diganggu oleh makhluk mistik dan turut boleh berhubung dengan alam ghaib.

Kini, Risa bekerjasama dengan pengarah filem KKN Di Desa Penari iaitu Awi Suryadi bersama-sama dengan Disney+ Hotstar untuk hadir dengan siri TV Jurnal Risa.

Di Indonesia, Jurnal Risa adalah kandungan podsiar dan saluran YouTube mengenai pengembaraan mencari hantu. Jurnal Risa juga adalah sebuah novel iaitu Jurnal Risa: Teror Liburan Sekolah yang menceritakan pengalaman Risa ketika masih kanak-kanak pada tahun 90-an. Di masa ini, ia adalah pertama kali Risa bertemu dan diganggu oleh hantu bersama-sama dengan saudara-mara beliau.

Ketika di acara Disney Content Showcase, treler Jurnal Risa dipertontonkan dan saya terus melihat persamaan dengan Stranger Things dan filem It. Apabila diberi peluang bertanyakan soalan kepada Risa Saraswati;

Soalan: Apakah persamaan siri Jurnal Risa dengan siri seram dan filem di Amerika Syarikat?

Siri ini bukan sekadar kisah seram, tetapi juga mengenai perkembangan setiap watak seperti A Angga, Nicko, Kakang, dan Riri serta pengembaraan ketika di zaman sekolah, zaman tiada gajet dan teknologi belum berkembang dan gemar bermain di luar seperti masuk ke hutan. Jurnal Risa diadaptasi terus daripada novel Teror Liburan Sekolah di zaman 1990-an iaitu pengalaman sendiri ketika kanak-kanak. Jadi ia adalah satu kisah benar yang disampaikan dalam bentuk siri TV. Jadi tidak ada persamaan dengan filem-filem Amerika Syarikat.

Soalan: Apakah kaitan Jurnal Risa dengan filem lain di Danur Universe?

Jurnal Risa adalah prekuel kepada semua filem-filem Danur Universe, memfokuskan kepada pengalaman pertama Risa ketika usia muda berhadapan dengan pelbagai mistik, gangguan dan menyebabkan bahaya kepada saudara-mara. Jadi ia berlaku di dalam universe sendiri untuk siri TV dan tidak begitu berkait secara terus dengan filem-filem Danur Universe. Walaupun terpisah ia masih dalam dunia sama, ia ada potensi untuk terus berkembang ke pelbagai segmen lain.

Soalan: Dalam 1 ke 10, apakah tahap seram siri TV ini?

Jika siri seram ini ditonton oleh kanak-kanak, tahap seramnya adalah 10. Manakala jika ditonton oleh orang dewasa tahap seramnya adalah sekitar 7.5. Jurnal Risa dihasilkan agar sesuai untuk ditonton oleh semua orang.

Jurnal Risa akan disiarkan secara eksklusif di Disney+ Hotstar. Buat masa ini tiada tarikh siaran lagi, tetapi siri seram ini akan mempunyai 8 episod secara keseluruhan dan akan menawarkan konflik pada episod awal lagi untuk memberi penonton pengalaman menonton yang memuaskan.

Sohor Kini