Mechamato Movie sepatutnya menjadi satu filem pengenalan kepada penonton untuk IP baharu daripada Animonsta Studio, ia juga sepatutnya menjadi pendahuluan sebelum siri Mechamato disiarkan. Namun, disebabkan oleh pandemik covid-19 yang menyekat daripada penonton untuk mengunjungi pawagam, Monsta telah mengambil keputusan untuk menundanya ke tahun ini dan siri disiarkan terlebih dahulu.
Bagi anda yang ternanti-nanti untuk filem ini, saya ada berita baik kerana ia adalah satu filem yang sangat baik. Walaupun saya sebagai yang tidak pernah menonton mana-mana episod untuk Boboiboy, ataupun siri Mechamato sendiri, akan tetapi saya masih lagi mempunyai masa yang baik menonton filem ini. Ia mempunyai penawaran yang mencukupi sama ada di dalam pengisian penceritaan, dan juga pengisian lagak aksi.

Filem ini memfokuskan kepada permulaan untuk kisah Amato iaitu bapa kepada BoBoiBoy semasa dia masih budak sekalah dan juga bagaimana dia berjumpa dengan MechaBot iaitu salah satu Sfera Kuasa yang jatuh ke bumi. MechaBot mempunyai kuasa di mana dia boleh bergabung dengan apa-apa sahaja harian untuk menjadi senjata ataupun kenderaan menggunakan konsep “Mechanize”. MechaBot juga boleh bergabung dengan Amato untuk menjadi ‘Mechamato’.
Di dalam filem ini, Grakakus adalah watak jahat utama di mana dia mempunyai obsesi untuk mengumpul Sfera Kuasa dengan MechaBot adalah antara yang dia ingin dapatkan. Di dalam usahanya untuk melarikan diri dari Grakakus lah MechaBot menjadikan Amato sebagai tuan baharunya dan bersama mereka melawan Grakakus yang tidak akan berhenti walaupun dengan menyerang bumi untuk mendapatkan MechaBot.

Penceritaan yang disampaikan bagi saya adalah ringkas, tidak mempunyai misteri yang mendalam dengan plot yang mudah untuk dijangkakan, namun ia bukan satu masalah kerana penyampaian yang baik dan juga penulisan dialog yang mencuit hati. Perwatakan untuk setiap watak yang tiba, seperti Amato bersama dengan rakan-rakannya iaitu Pian, Mara dan Deep juga dilakukan dengan baik dan saya tidak memerlukan masa yang lama untuk menyukai watak-watak ini.
Watak penting yang lain adalah Maskmana yang merupakan seorang lagi adiwira bertopeng, jika anda sudah menonton filem BoBoiBoy 2, dia sudah membuat penampilan dan di dalam filem ini ia memainkan peranan yang penting dan siapa dirinya sebenar juga menjadi misteri utama di dalam filem ini, namun saya merasakan ia bukanlah satu misteri yang akan membuatkan penonton terkejut, sebaliknya sekadar misteri yang mencukupi untuk menjadikan ia menarik pada bahagian awal filem ini.

Sedikit perkara mengecewakan mengenai penceritaan dan watak adalah ia terlalu bergantung kepada Grakakus untuk menjadi penjahat utama, Grakakus adalah watak yang baik akan tetapi saya merasakan jika Grakakus mempunyai konco-konco yang hebat, yang ada masa akan bertempur dengan Mechamato ataupun Maskmana, ia akan memberikan variasi kepada filem ini dan menjadikan ia lebih menarik. Namun, di dalam filem ini dari awal sehingga akhir mereka bertempur dengan Grakakus sahaja, walaupun Grakakus mempunyai cara serangan yang berbeza tetapi ia masih terasa sama.
Seperti yang saya katakan sebelum ini, Mechamato Movie mempunyai dialog yang baik dan mencuit hati. Percakapan dan jenaka yang disampaikan terasa bersahaja dan menjadikan ia lebih senang dan juga menarik untuk didengari. Jenaka yang dilakukan juga adalah jenaka yang saya boleh katakan ‘sangat Malaysian’, yang secara sendirinya adalah satu keunikan untuk filem ini, berbanding filem-filem animasi luar negara.

Tarikan utama di dalam filem ini sudah semestinya adalah aksi pertempuran, dan ia tidak mengecewakan. Setiap aksi dilakukan dengan baik dengan menyertakan pelbagai elemen tempatan seperti menggunakan jurus silat. Melihat Mechamato memulakan pertempuran dengan membuka langkah silat terlebih dahulu sangat membanggakan. Setiap perlawanan di perlihatkan dengan jelas dengan pergerakan tidak kira sama ada Mechamato, Maskmana ataupun Grakakus di lakukan dengan sangat menarik, dan setiap perlawanan adalah mengujakan.
Bersama dengan kualiti yang baik untuk aksi pertempuran adalah kualiti animasi itu sendiri yang bagi saya di kebanyakan bahagian dilakukan dengan baik memberikan animasi yang boleh dibanggakan. Namun sedikit rungutan yang saya boleh nyatakan adalah terdapat beberapa bahagian terutama di bahagian persekitaran kualiti yang digunakan adalah tidak sama dengan watak utama ataupun perkara utama yang berlaku di dalam sesuatu adegan, perbezaan kualiti ini menjadikan adegan tersebut sedikit janggal.
Selain itu, walaupun membawa aksi yang baik, akan tetapi kesan pertempuran seperti letupan dan kehancuran di kawasan-kawasan tersebut, tidak diperlihatkan dengan baik. Beberapa letupan sekadar memperlihatkan asap sahaja tetapi tidak benar-benar memberi perasaan yang letupan baru sahaja berlaku.

Akhir kata, Mechamato Movie adalah satu filem yang cukup lengkap dengan penceritaan yang baik, dialog yang menarik dan juga aksi pertempuran yang berkualiti. Ia adalah pengalaman menonton yang memuaskan walaupun satu filem yang agak panjang. Ini saya katakan sebagai penonton yang tidak pernah menonton mana-mana kandungan Monsta, jika anda memang peminat untuk siri dan IP ini, filem ini sudah semestinya menjadi satu kepuasan.
Ia mempunyai beberapa kekurangan seperti terlalu bergantung kepada satu watak jahat sahaja untuk menggerakkan penceritaan, selain itu, kualiti animasi ataupun rekaan bagi perkara-perkara di persekitaran juga tidak sama tahapnya dengan rekaan watak ataupun perkara yang penting, selain itu kesan letupan ataupun pertempuran juga tidak dilakukan sebaik pertempuran itu sendiri. Namun, ia adalah rungutan kecil sahaja dan tidak menjejaskan pengalaman menonton secara keseluruhannya.
Penafian: Tayangan perdana untuk Mechamato Movie disediakan oleh Monsta dan Astro Show. Filem ini akan ditayangkan secara rasmi bermula pada 8 Disember 2022 dengan tiket sudah boleh mula dibeli.